Harap maklum bahawa tulisan ini mengambil semangat pembentangan Belanjawan (bukan bajet ya!).
Masa aku mengharungi dunia kampus, aku dapat kenal pasti bahawa aktivis mahasiswa ceter keupayaan membincangkan isu ekonomi. Tapi aku ada berjumpa beberapa orang mahasiswa yang sebenarnya agak arif (kerana mereka pelajar ekonomi). Cuma mereka tidak berminat untuk beraktivisme dalam bentuk yang lazim difahami.
Aktivis=Demonstrasi, mestikah?
Aku cuba membayangkan dalam wawancara di UmmahOnline bahawa lesu harus diukur dalam konteks idea. Aktivisme bagi aku satu ruang yang luas selagi mana ia bergerak dengan idea. Sebab itu ia bergantung kepada lingkungan pengaruh dan minat (area of concern dan area of influence).
Ada sekelompok pelajar di mana aku aktif ikut bersama dulu. Mereka ini akan kekal menjadi tanda penting dalam sejarah penglibatan pelajar dalam Reformasi. Mereka menamakan diri sebagai Universiti Bangsar Utama (UBU) dengan tagline Universiti Bukan Universiti (juga UBU).
Semasa 'disoal siasat' pegawai BTN dan polis cawangan khas dulu, aku kekal mempertahankan UBU. Masih sehingga sekarang meskipun ia sudah tidak wujud lagi. Idea asas hentaman terhadap UBU tentu sekali berkisar soal ideologi sosialis dan juga cara hidup yang tidak Islamik. Waktu itu imej aku berkopiah ala Raihan, malah di kolej kadang kala berjubah berserban. Ada kawan-kawan dari kalangan aktivis dakwah sinikal dengan aku hanya kerana aku seorang yang aktif dakwah tabligh tapi bercampur dengan kelompok sosialis.
Bagi aku UBU adalah ruang dan bukan organisasi tersusun sebagaimana yang lain. Meskipun aku maklum waktu itu Jonah dikenali sebagai Ketua Umum dan Black a.k.a Amin Iskandar adalah SU Agungnya, pergerakan UBU umumnya pada aku lebih kepada membentuk ruang.
Di ruang tamu merekalah tusyen percuma dijalankan untuk anak dalam kategori miskin kota. Di sana juga forum dan dialog digerakkan. Dan ruang ini tidak wujud atau sangat sukar ditemukan di kampus. Sebab itu konsep ruang ini adalah konsep universiti, tetapi UBU bukan universiti. aku rasa di situ timbulnya tagline UBU.
Di UBU, nada aku masih kekal dakwah. Tapi aku sedar kemampuan aku terhad kerana aku tidak melalui sistem pelajaran agama yang dalam seperti kawan-kawan lain. Di situ timbul tanda tanya dalam diri aku, kenapa dalam dialog pun mereka tidak sedia hadir? Dunia ini hitam putih kah? Pengalaman membawa pandangan Islam di UBU ternyata menyedarkan aku keperluan memperkasa diri dalam aspek ilmu. Sebenarnya bila dalam wawancara dalam UmmahOnline aku nyatakan 99% berbeza, aku hanya cuba menggambarkan banyaknya perbezaan kami tapi kenapa tidak 1% baki itu kita jadikan sebab untuk sedia mendengar dan bersetuju untuk tidak bersetuju?
Idea yang digerakkan di UBU banyak cuba diimplementasi di banyak tempat. Tusyen percuma atau pada kadar murah yang dijalankan di Desa Mentari, DUN yang dipimpin oleh sahabat aku YB Nik Nazmi Nik Ahmad mungkin contoh yang diambil dari UBU di mana beliau pernah hadir berforum dan mengisi slot di sana. Ini zaman Suara Anum dulu..hehe
Maaflah kerana panjang menulis soal UBU. Aku masih hargai tawaran Jonah dulu untuk mengambil alih UBU usai aku menamatkan mogok lapar sebagai protes kepada ISA sekitar tahun 2002. UBU sebenarnya adalah contoh awal yang aku dapat lihat sendiri dan ikut dari dekat, satu kelompok pelajar yang banyak merujuk kepada idea sosialisme (baca:ekonomi). Mungkin sebab itu UBU dapat tampil lebih meyakinkan. Aku masih ingat dalam ribut isu Negara Islam pasca PRU-10 pada tahun 1999, sahabat aku Shaharudin yang kami biasa panggil Din Petai di UBU bersungut "berapa banyak minyak dalam tanah ni lebih dekat dengan keperihatinan rakyat berbanding nak namakan negara ini Islam atau tidak" (lebih kurang maksud ayatnya. Hujah Din tidak sepenuhnya salah, lihat saja bagaimana ribut selepas Perdana Menteri mengumumkan kenaikan harga minyak sebelum ini dan bagaimana DS Anwar mengambil isu ini sebagai landasan mengemudi kempen.
Tapi pernah aku katakan kepada kak Lateefah Koya dulu (kak Munirah mungkin ingat) dalam siri Negara Hasrat di mana aku sebut bahawa fundamental kepada negara bagi orang Islam ialah agama kemudian baru ekonomi. Maksud aku nilai agama itu yang menampung aspek nilai dan moral yang sering hilang dalam ekonomi sehingga manusia gila merasuah, ekonomi jadi sebab menindas dan sebagainya. Ya, tentu sekali perkataan 'rakyat', 'penindasan' adalah slogan popular sosialisme namun perinciannya harus didebatkan.
Pada aku, ekonomi Malaysia harus:
i. Respon kepada inflasi dan pengangguran.
ii. Merangsang pertumbuhan ekonomi.
iii. Mempengaruhi struktur ekonomi dan
iv. Mempengaruhi agihan kekayaan.
Aku kekal melihat dasar pasaran bebas akan membantu kita mencapai objektif di atas. Ya, mungkin perdebatan yang muncul ialah persoalan campur tangan kerajaan. Selalunya aku percaya campur tangan yang positif (membantu mencapai objektif di atas dan bukan sebaliknya).
Friday, October 17, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment