Thursday, October 23, 2008

Zakat Kepada Bukan Islam

Amanah ALLAH kepada pengurusan zakat dalam ayat 60 Surah al-Taubah itu hendaklah dipandang berat.

Firman ALLAH: (maksudnya) Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum Yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.


Semalam waktu aku menikmati makan tengah hari yang agak lewat, aku bersembang dengan super senior aku dari Kelab Outward Bounders, UPM (seingat aku dia ambilan pertama dan aku keempat belas, walhal jika aku masuk sejak tahun pertama di universiti, aku dalam ambilan ke 11) yang kebetulan mungkin sama dengan aku - makan tengah hari lewat.

Aku tidak betul-betul kenal dengan senior ini selain nama dan cerita dari senior-senior serta rakan yang lain. Ya, kami pernah berborak panjang sebelum ini dan bertegur sapa di banyak tempat. Pendek kata, kami cepat mesra.

Kelmarin isu yang dibual selama dua jam sambil menikmati makan dan minum petang banyak berkisar kepada isu yang selalu kami bualkan jika duduk semeja - mungkin kerana keperihatinan yang sama, minat yang sama dan sedikit perbezaan kaedah menanganinya dalam realiti Malaysia.

Ya, aku percaya dia kenal aku dari mulut orang lain dan tak sangka juga blog aku sering dikunjunginya. Entah kenapa, mereka yang berbual dengan aku selalu segan untuk mengasosiasi diri dengan UMNO dengan kata "aku bukan sokong UMNO", "aku taklah fanatik UMNO" dan sebagainya. Pada aku masyarakat harus dibebaskan. Apa salah menjadi ahli UMNO sekalipun? Dalam sistem politik yang sihat, ia tidak patut jadi isu. Dari titik itu perbualan kami yang segar terheret kepada isu bangsa Melayu, Islam dan ekonomi.

Kebetulan antara perkara yang dibincangkan ialah persoalan Zakat kerana dia menyatakan rasa tidak setuju terhadap tindakan kerajaan Selangor memberi duit zakat kepada bukan Islam. Argumentasi aku (yang selalunya valid, meskipun orang mahu lekas menafsirkannya berunsur liberal) menyebabkan perbincangan kami tergantung.

Aku percaya, meski kita mahu diri dilihat liberal, sosialis dan sebagainya, sebagai muslim, aku tetap melihat justice-centric sebagai persoalan yang tidak boleh diabaikan malah aku sedia menanggalkan label apa pun yang dipakaikan kepada aku jika aku rasa perlu ada pergelutan untuk memberikan hak kepada yang berhak dan mengambil hak dari yang tidak berhak.

Ustaz Asri menulis dengan sederhana di webnya tentang isu ini.

Sebenarnya, Islam melalui zakat telah lama membuat pemberian ini di bawah peruntukan golongan muallaf.

Muallaf itu bukan sekadar mereka yang baru menganut Islam seperti tafsiran singkat sesetengah pihak. Bahkan ia merangkumi mereka yang belum menganut Islam dan diharapkan dengan pemberian zakat tersebut menjinakkan hati mereka kepada Islam. Juga para pemimpin yang lemah iman. Diharapkan dengan pemberian itu menguatkan iman mereka. Juga pemimpin yang kuat iman namun mempunyai saingan dengan kaum kuffar. Dengan pemberian itu diharapkan pesaing mereka akan tertarik kepada Islam.

Bahkan untuk golongan bukan Islam yang diharapkan pemberian zakat dapat mengelakkan mereka menyakiti umat Islam dan akan suka kepada agama ini. Dr Yusuf al-Qaradawi mengumpulkan peluasan ini dalam karyanya Fiqh al-Zakah. Jika hal ini dilihat dengan luas betapa kita dapat menggunakan zakat untuk berbagai aktiviti dakwah agar bukan muslim tertarik kepada Islam. Termasuklah memberikan bantuan kepada mereka yang cuba dipengaruhi agar murtad. Dengan pemberian zakat, boleh kembali menguatkan semangat Islam mereka.

Malangnya, bukan sahaja tafsiran kita tidak luas tentang muallaf ini, bahkan ’saudara baru’ yang sedia ada pun tidak dijaga dengan baik oleh wang zakat. Sehingga ada yang keluar semula kerana tidak mendapat perhatian dari masyarakat Islam. Selepas itu kita hairan kenapa ada orang ingin murtad!!. Sepatutnya persatuan-persatuan saudara baru diberikan peruntukan zakat yang banyak agar wajah kita yang tercemar dek kisah ramai yang ingin murtad bertukar menjadi kisah ramainya orang yang ingin menganut Islam”.

Lihat Buku Beliau : Mengemudi Bahtera Perubahan Minda

Dengarlah kata-kata Saidina ‘Umar r.a.: “Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”. Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): “Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini” (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah) Maka Saidina dalam kepimpinannya berusaha mengeluarkan mereka yang fakir dari daerah kefakiran dengan menggunakan harta zakat. Bukan sekadar memberi mereka beberapa suap makanan atau beberapa dirham wang. (lihat: Al-Qaradawi, Fiqh al-Zakat, 2/568, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Para mujtahid Islam (ahli ijtihad) berijmak (sepakat) bahawa zakat boleh dipindahkan ke negeri lain jika ahli negeri zakat tersebut sudah mencukupi atau tidak memerlukan lagi. Lihatlah perbahasan hal ini dalam kitab-kitab fekah. Pemerintah atau pengeluar zakat itu sendiri boleh membawa zakat ke negeri atau tempat yang lain, jika berdasarkan keyakinan adanya keperluan atau kemaslahatan yang patut diutamakan di tempat atau negeri yang lain. (lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/820). Bahkan pendapat al-Imam al-Bukhari mengharuskan secara mutlak dipindahkan zakat ke negeri lain di atas keumuman dalil Surah al-Taubah ayat 60 yang hanya menyebut asnaf yang layak menerima zakat tanpa dikhususkan tempat. (lihat: Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, 3/357, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Pada zaman ‘Umar bin ‘Abd al-Aziz beliau memerintahkan agar diiklankan setiap hari: “Sesiapa di kalangan orang yang miskin, yang berhutang dan yang ingin berkahwin sila dapatkan peruntukan dari Baitul Mal” (ibid, 2/569) - (selingan: aku senyum panjang membaca ini!)

No comments:

Post a Comment