Wednesday, October 29, 2008

Kenapa Blog?

Aku tulis blog bukan untuk membuktikan aku paling benar. Jauh sekali niat berkenaan. Ia lebih kepada terapi di samping beberapa objektif lain seperti mengasah bakat menulis, mengasah gaya pemikiran dan sebagainya.

Beberapa prinsip juga penting dan aku sangat setuju gesaan tegas Ustaz Hasrizal di Saifulislam.Com untuk tetap memastikan akhlaq dipelihara dalam proses berbeza pendapat. Meskipun sikap manusia kadangkala terlanjur, kita tidak harus ralat untuk minta maaf. Sebagai penulis blog, aku mengambil sikap yang terbuka untuk berkongsi. Ini antara satu aspek penting dalam prinsip pergerakan PKPIM iaitu sedia belajar, mengajar dan diajar. Kesombongan terhadap ilmu tidak akan membawa kita ke mana dan ilmu ini pun bukan milik mutlak kita.

Di saat kekangan kepada kebebasan bersuara dan berbeza pendapat secara aman dikekang, aku rasa blog telah memberi harapan baru kepada pengertian ini. Sudah tentu ada blog yang biasa-biasa, ada blog yang luar biasa dan sebagainya. Bercambahnya blog politik bukan satu masalah. Blog bukan politik juga popular misalnya blog 13May yang cukup menghiburkan aku (sebab aku gila-gila juga sebenarnya, hehe).

Pada aku fenomena blog medan terbaik kita menguji pengaruh pasaran bebas dan bagaimana ia sebenarnya tidak bermasalah sangat pun. Sebahagian tokoh agama juga mengambil ruang ini dengan cukup baik dan bertenaga dan ini satu perkembangan yang aku rasa sangat positif.

Sebenarnya aku fikirkan jika pensyarah akademik mewajibkan pelajar membuat tugasan menggunakan blog, ia tentu menarik. Di samping menggalakkan budaya penulisan, ia dapat mencambah perkembangan idea dalam bidang itu sendiri. Dan sebenarnya apa yang aku lihat ialah mahasiswa sebahagiannya mengambil langkah pro-aktif tanpa perlu disuruh pensyarah.

Syabas!

No comments:

Post a Comment