Aku sedikit gembira kerana usai mengendalikan program Akademi Merdeka anjuran Malaysia Think Tank, ada riak yang jelas dari segi penyertaan golongan muda dalam hal ehwal ekonomi. Bukan sebelum ini tak ada, mungkin tidak jelas.
Aku mungkin tidak hairan jika wacana ekonomi di kalangan generasi muda muncul dari kelompok yang mengambil pandangan Sosialisme kerana asas wacana dalam konteks Sosialisme bermula di sana. Yang menarik pada pandangan aku ialah Malaysia Think Tank seakan menzahirkan tawaran berbeza meskipun sebenarnya pendokong idea Liberalisme (Klasik) ini memang sedia ada di Malaysia.
Mungkin ini berpunca daripada aliran liberalisme yang seakan mencabar pandangan Islam di Malaysia di mana ia dikaitkan dengan Jaringan Islam Liberal di Indonesia. Jarang pandangan ekonomi liberal dipanjangkan di Malaysia secara terbuka.
Krisis ekonomi di Amerika yang kian merebak menjadikan wacana ekonomi mendapat tempatnya yang tersendiri. Tambahan pula Pakatan Rakyat (PR) mengambil posisi untuk menawarkan Belanjawan 2009 untuk mencabar Bajet 2009 yang harus diakui terkeluar dari konteks suasana ekonomi semasa.
Aku tidak pasti sama ada Belanjawan 2009 ini adalah sama dengan pandangan Ekonomi yang Manusiawi sebagaimana Dato' Seri Anwar cuba gambarkan dalam Gelombang Kebangkitan Asia. Pada aku, Belanjawan 2009 ini mungkin konsensus Pakatan Rakyat yang tentunya memiliki rencam pandangan.
Bagi mereka yang mendokong Islamisasi Ilmu, mungkin mereka ada pandangan berkaitan Ekonomi Islam. Dalam program di UKM yang pernah aku anjurkan, ternampak seakan tidak ada struktur jelas untuk menawarkan pandangan Ekonomi Islam ini dan jika ada, adakah ia mirip Sosialisme atau Liberalisme atau ia mengambil kedua-duanya atau ia berdiri sendiri dalam konteks berbeza.
Ini mungkin sesuatu yang menarik di celah kerencaman masalah dan wujudnya pendakwaan bahawa menjenamakan Islam pada sesuatu itu perlu dan tidak perlu.
Tuesday, October 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment