Berita 1
Dua laporan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dibuat terhadap Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Misbahul Munir Masduki atas dakwaan salah guna kuasa. Laporannya mendakwa Misbahul Munir mengeluarkan surat arahan meminta Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyerahkan kerja menyenggara sungai, parit dan tali air kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) secara runding terus.
Perang ideologi sedang bermula tanpa sedar. Sebab itu bila timbul isu bagaimana libertarian atau sosialis mengungkap pandangan ekonomi, kita tidak harus cepat membuangnya sebagai 'sistem kuffar' dan 'tidak Islamik'. Ia tidak semudah itu tetapi harus pergi lebih dalam dan jauh (cewah, pinjam lirik M.Nasir sikit).
Yang menarik dalam real politik ialah jika BPR berani mengambil tindakan (selepas aksi berani luar biasa mereka dalam kes sebelumnya di Perak), UMNO-BN pasti menggelupur kerana istilah runding terus ini bukan asing bagi mereka. Bagi PAS-PR pula, rakyat sedar bahawa UMNO-BN sentiasa mengintai peluang untuk meremehkan mana-mana usaha selain mereka. Tapi jika laporan ini benar, ia tidak semestinya menyalahi peraturan yang manusia buat. Bagaimanapun, kempen tender terbuka harus dilaksanakan. Korupsi sebenarnya bermula dari pemikiran. Cukuplah kita menjadi manusia korup bila kita bersetuju bahawa jalan pintas untuk menjadi kaya ialah menyalahguna kuasa dan rasuah. Meski aku cenderung kepada sistem ekonomi anjuran libertarian, aku masih miskin, hehe...
Berita 2
Tengku Razaleigh sokong syor bahagian sokong pencalonan pemimpin belum cukup kuota. Ku Li mungkin antara 'negarawan' yang masih tersisa (tidak muktamad, dan sentiasa boleh dipertikaikan istilah negarawan itu).
Entah kenapa, Ku Li sepatutnya tidak terlalu bodoh untuk melihat bagaimana sistem dalam UMNO sendiri korup. Sistem kuota yang meminimakan peluang persaingan (yang tentunya berbeza dengan sistem pasaran bebas) memungkinkan (dan telah sering kedengaran) korupsi dalam UMNO. Bagaimana boleh mereka yang memperoleh mandat dari sistem yang korup menjamin sesuatu yang dapat mencabar korupsi mereka (pada bila-bila masa) hidup?
Berita 3
Ibu kepada persoalan di Malaysia - kontrak sosial jangan digugat. Demikian tegas Majlis Raja-Raja Melayu. Untuk aku, sebagai generasi pasca Merdeka, sudah tentu jerit perih kepayahan dan kompromi generasi terdahulu sukar untuk dimengertikan. Aku boleh menghormati aspek kontrak sosial ini memandangkan ia termaktub dalam Perlembagaan.
Aku pasti pertikaian muncul bila tafsiran yang longgar dan memberikan kelebihan serta pada masa yang sama mewujudkan ketidakadilan dalam masyarakat. Orang Melayu tidak harus menjadikan kontrak sosial sebagai alat untuk wewenang kerana pada rujukan yang sama juga termaktub bahawa seorang Melayu itu Islam dan siapakah yang berhak atas kewarganegaraan.
Aku menolak pandangan bahawa semakin baik orang Melayu semakin baiklah Islam. Keluasan definisi Melayu di dunia tidak harus menjadikan Melayu di Malaysia buta. Sementelahan pula, Islam tidak harus disandarkan pada bangsa semata-mata kerana sifat rahmatan lil alamin.
Aku pasti di mana-mana ceruk dunia, di mana-mana zaman sekalipun, isu keadilan menjadi kunci kepada peradaban tinggi. Islam versi Melayu Malaysia agaknya mahu ke mana?
Berita 4
Tan Sri Zaki Tun Azmi, peguam UMNO akan menjadi Ketua Hakim menggantikan Tun Abdul Hamid. Berbalik kepada persoalan keadilan di atas - apa boleh kita harapkan dengan Malaysia saat Kedaulatan Undang-Undang memilih bulu?
Thursday, October 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment