Saturday, October 18, 2008

Pilihan Raya Kampus 2

Sebagai seorang yang dilabel penggerak idea libertarian (yang mengakui dirinya centrist), aku berdepan persoalan penting berkaitan isu kampus. Persoalan ini pernah aku kongsikan bersama YB Nik Nazmi dan sdr Hilmi dalam pertemuan kami semasa berbuka puasa di rumah YAB Dato' Menteri Besar Selangor. Selain itu aku pernah berkongsi pandangan yang sama dengan sebilangan aktivis PMIUPM dan rakan-rakan berlainan bangsa di UPM.

Isunya bermula dari persoalan inklusif - sejauh mana pemimpin pelajar sedia untuk bersifat inklusif? Dalam pengalaman UPM, hampir mustahil untuk melihat adanya perwakilan mahasiswa berbangsa India dalam MPP. Ini mungkin berpunca dari kuota kemasukan pelajar yang agak terhad. Ia berbeza dengan jumlah perwakilan berbangsa Cina malah Borneo. Kempen halus bersifat perkauman di kampus-kampus memang wujud. Ia sama dengan sikap perkauman di dalam negara - seperti bom jangka. Kadangkala persoalan kaum ini disalut dengan wajah agama. Di Malaysia, kesulitan memisahkan bangsa dan agama memang berlaku justeru ia dikira satu kelebihan bagi mereka yang mahu menggunakan sentimen ini.

Sudah tentu libertarian tidak gemarkan kuota. Namun dalam konteks segregasi didasari pemikiran berasaskan kaum yang ada, kita harus memikirkan aspek ini. Apakah kita mahu berkempen supaya perwakilan mahasiswa memenuhi kuota berasaskan bangsa? Sediakan kita sebagai seorang Melayu-Islam mengangkat bangsa lain bagi memenuhi maksud premis persoalan yang ada? Sediakah bangsa selain Melayu bersikap serupa?

Inklusif dalam MPP pada aku cukup penting kerana MPP harus memainkan peranan mewakili suara pelajar dalam perjumpaan rasmi dan juga sikap umum mereka. Ia tidak mudah. Pada hemat aku kuota mungkin bukan pilihan terbaik tetapi ia sedikit sebanyak boleh menjernihkan 'monopoli' dalam MPP. Sudah tentu kita boleh memberi alasan bahawa kita boleh menjaga kebajikan etnik minoriti lain tanpa perlu mereka menjadi MPP. Tapi bukankah dengan penglibatan mereka dalam persoalan membuat keputusan dan menyelesaikan masalah secara terus dapat lebih membantu.

Untuk aku, ia juga membantu dalam proses kita menghidupkan semangat kesatuan dalam kepelbagaian yang menjadi realiti masyarakat kita. Kita harus sama berganding bahu membina kepimpinan generasi muda waima mereka ini dari kelompok mana sekalipun.

Walaupun bidang pengajian aku bersifat sains tulen, cabang yang aku halusi ialah sains sosial. Dan dari perspektif tersebut, aku fikir penglibatan mereka dalam proses, dan bukan berada di pinggiran akan lebih membantu (baca teori experiential learning). Kombinasi domain ilmu sains tulen dan sosial seharusnya juga tidak dipinggirkan dalam rancak kita mewacanakan ilmu Islam dan ilmu-ilmu yang lain seperti ekonomi dan kejuruteraan. Pada hemat aku, ia adalah tanda keluasan ilmu Yang Maha Pencipta dan kita sebenarnya tidak akan tahu seluas mana ilmu-Nya.

No comments:

Post a Comment