Tuesday, November 25, 2008

Catur 4

Sebelum MSSM, kami menghadapi Kejohanan Catur Merdeka peringkat negeri dan 6 pemenang kategori Remaja akan dihantar ke Kejohanan Peringkat Kebangsaan. 9 pusingan, kerana over-confident, aku tewas pusingan pertama dalam realiti aku telah berada dalam kedudukan menang selesa. Satu pergerakan yang silap telah mengheret aku ke lembah kekalahan. Hari pertama berakhir 3 perlawanan dan aku kalah perlawanan pertama! Lemah longlai terasa sampai tengok bola di Stadium Utama malam itu seperti melihat padang yang kosong. Kawan-kawan yang sama mewakili negeri dan melihat permainan aku sangat terkejut kerana memang nyata awalnya aku di posisi menang selesa. Cikgu Darwis sekali lagi mengeluarkan kata sinis (aku tak bermusuh dengan dia ya, sebenarnya dia motivasi aku dengan cara terbalik).

Hasilnya aku menjuarai Kejohanan Catur Merdeka ini selepas mendapat kemenangan dalam 8 daripada 9 perlawanan. Waktu itu rasa syukur kerana kali pertama aku dapat pegang duit sebanyak RM150 dan Piala Pusingan dari hasil sendiri - selain sunat la! Dan aku akan mewakili negeri ke Kejohanan Catur Merdeka Kebangsaan serta memulakan MSSM dengan prestasi terkini.

Rupanya di MSSM telah diperkenalkan kategori bawah 15 tahun. Aku diletakkan sebagai pemain perseorangan dan untuk bawah 15 tidak ada acara berpasukan, hanya bawah 18 sahaja. Muziman mewakili negeri pada tahun ini untuk kategori bawah 12 tahun. Adli Fauzi telah mula perlahan dan tidak menunjukkan minat untuk serius bermain.

Aku tidak popular, maka aku akan berdepan dengan pemain yang punya ranking di peringkat Kebangsaan (berdasarkan mata terkumpul pelbagai Kejohanan). Lawan pertama aku Mohd Azan Saranon dari Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang baru menjuarai Kejohanan Primula di Terengganu.

Aku menang dan ia sekaligus meningkatkan keyakinan aku. Sasaran aku ialah berdepan dengan NM (National Master) Mas Hafizul Hilmi yang baru menjuarai Kejohanan Tertutup Malaysia (National Close) sekaligus mengambil alih kejuaraan daripada NM Ooi Chern Ee. Aku tidak ingat dengan siapa aku menang pusingan kedua. Pusingan ketiga aku terpaksa berdepan dengan juara Perak, Mohd Hossein Jamil. Kami seri perlawanan tersebut dan aku rasa sangat gembira kerana Hossein baru menduduki ranking ke-15 dalam National Close. Perlawanan keempat aku sudah bergerak ke meja depan dan akan bermain dengan seorang pemain dari Pulau Pinang.

Dalam kelompok catur di Malaysia, Selangor dan Pulau Pinang adalah negeri yang biasanya digeruni. Pemain mereka biasanya terlatih dengan sirkit Kejohanan yang banyak serta sumber bantuan dari pemain berpengalaman dan juga buku-buku rujukan. Di negeri lain, mereka biasanya terkenal sebagai individu.

Kami perlu menghabiskan 7 perlawanan di mana untuk setiap perlawanan peruntukan masa ialah selama 3 jam dan wajib mencatat pergerakan buah. Memang seronok melihat bagaimana kami cuba memberi tekanan psikologi kepada lawan masing-masing dan cuba membuat catatan yang cantik pada helaian yang diberikan.

Semangat berkobar-kobar lebih-lebih lagi cikgu Darwis membisikkan bahawa aku berpeluang untuk berhadapan dengan Mas Hafizul sekiranya menang.

Perlawanan keempat itu aku tewas meskipun aku memiliki kelebihan masa dan buah di atas papan. Dan ia telah buat aku down dan bersedih hati. Perlawanan-perlawanan seterusnya hambar dan aku hanya pulang dengan 4 mata daripada 7 perlawanan.

Aku kira, Catur Merdeka aku harus buktikan sesuatu...

No comments:

Post a Comment