Friday, November 28, 2008

Ketuanan atau Kepimpinan?

Satu

Tadi masa makan tengah hari dengan kawan serumah, kami berbincang soal ketuanan atau kepimpinan. Ya, sejak Chua Soi Lek mengemukakan pandangan jujur dan berani tentang Ketuanan atau Kepimpinan Melayu, aku fikir erti Ketuanan atau Kepimpinan ini boleh diluaskan cakupannya kepada persoalan Ketuanan atau Kepimpinan Islam.

Suka atau tidak, aktivis Muslim sering berpegang kepada Ketuanan dan bukan Kepimpinan. Sebab itu kita dapat lihat pendekatan (approach) mereka sering ditakuti. Ketuanan mengendong persoalan kecenderungan mendominasi sebaliknya kepimpinan lebih cenderung kepada persoalan penerapan nilai tanpa menunjukkan satu pihak tinggi daripada pihak lain.

Islam (ya'lu wala yu'la 'alaih) mungkin konsep yang salah dalam konteks pembawaan umat bila ia bermaksud ketuanan dan bukan kepimpinan.

Dua

Palestin memang harus dikenang. Tapi aku fikir kita sebagai umat Islam sering salah membawa wacana di sana. Kenapa perlu kita mulakan wacana dengan kebencian terhadap Yahudi dan bukan bermula dan berterusan dengan kempen anti kezaliman, pro keadilan, anti keganasan dan pro keamanan?

Ayat al-Baqarah (2):120 (yang sering dikenal dengan ayat Wa lan tardha...) ialah ayat Madaniyyah yang turun dalam konteks perang di mana 1) Orang Yahudi dan Kristian meminta untuk al-hudnah iaitu melakukan genjatan senjata yang tentunya sebagai seorang Nabi s.a.w. yang kasih pada umatnya cenderung bersetuju. Ayat ini datang sebagai teguran kepada Nabi s.a.w. oleh Allah s.w.t.. 2) Ayat ini turun saat Yahudi dan Kristian meminta Nabi s.a.w. tetap menghadap kiblat lama di Masjidil Aqsa sedangkan Nabi s.a.w. telah diperintahkan untuk memindahkan kiblat umat Islam ke Makkah al-Mukarramah (al-Baqarah (2):144).

Dan tentu menarik untuk kita mengenal ayat sebelumnya (al-Baqarah (2):143) di mana Allah s.w.t. menjelaskan dengan lebih lanjut bahawa tujuan pengalihan kiblat ini adalah untuk menguji siapa yang benar-benar mengikuti ajaran Islam dan siapa yang berpaling daripadanya. Bagaimanapun, ayat ini bukanlah bertentangan dengan hakikat Islam sebagai rahmatan lil 'alamin kerana Allah s.w.t. tidak membezakan Timur dan Barat (al-Baqarah (2):114).

Ya, tentunya ia tidak tamat di sini. Kita boleh terus berwacana tentang ini :)

No comments:

Post a Comment