Malam tadi sesudah Isya', antara jam 9.30 malam hingga 1.30 pagi aku sempat mengunjungi seorang sahabat di Putrajaya. Jujurnya, dia adalah sumber inspirasi sewaktu gejolak jiwa muda menatang idealisme. Peliknya, dia hanya kutemui sekali dalam satu program anjuran IKD sekitar tahun 2002 jika aku tidak silap.
Dia masih seperti dulu, dan ia cukup mengekalkan rasa hormat aku padanya. Kami bertemu semula di arena maya sebelum bertukar talian telefon dan akhirnya bertemu untuk kali kedua. Pernah juga saling berhubung melalui panggilan telefon.
Debat (jika boleh dipanggil begitu) antara kami tadi cukup menarik. Aku kira ia sangat mencerahkan. Sebenarnya masih ada mereka dari lingkungan yang kekal berjuang melalui arus politik kepartian masih menghargai sahabat aku ini. Ya, sering juga aku munculkan namanya tetapi tidak ramai yang ingat - mungkin kerana aliran kelompok pergaulan yang terbatas.
Aku percaya sejak dulu, bahawa dia layak mengisi kelompongan ahli politik muda yang punya karisma dan upaya mengendong perjuangan. Sebenarnya perbualan kami tadi seperti tidak mahu tamat dek kerana persoalan yang berulang dan berkait. Mungkin asbab kelemahan pemahaman aku dalam banyak sudut.
Aku fikir, dalam proses tadi aku mungkin mewakili satu aliran pandangan yang sulit ditemukan secara terbuka dek kerana reaksi balas yang mengancam. Ya, bersoal jawab tentang Islam dan praktik kenegaraan. Ia mungkin sulit tapi keberanian untuk tahu, pada aku tidak salah. Kerana sahabat aku seorang peguam dan aku tahu dia bukan calang-calang peguam, mungkin dia tempat yang tepat aku utarakan isu ini yang mahu tidak mahu bersangkutan dengan aspek undang-undang.
Sudah lama tidak beradu pandangan begini...dan ternyata ia waktu yang bermanfaat.
Wednesday, October 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment