Wednesday, November 5, 2008

Beza

Aku percaya bagi peminat persoalan dasar dan tokoh, terlepas dari perspektif mana sekalipun sama ada politik, ekonomi dan sosial, kemenangan Barack Obama tentulah menjadi persoalan yang boleh dikupas dengan banyak mana.

Majalah TIME tidak menunggu lama untuk mendapatkan kenyataan beberapa tokoh di seluruh dunia dan yang menarik pada aku ialah adanya DS Anwar Ibrahim, Vaclav Havel, Amartya Sen dan Mahbubani di antara mereka yang terpilih.

Kita berdoa agar lembaran baru pentadbiran dunia akan bermula tidak lama lagi selain bertegas menolak tragedi John F. Kennedy menghumban harapan rakyat (dalam kes ini di Amerika). Politik aku lebih hebat atau aku paling hebat cara Bush ditolak terlepas dasar apa pun yang dibuat. Politik Obama ternyata nampak lebih rendah diri.

Di Malaysia, pasca Pilihan Raya 2008, peruntukan pelancongan kepada negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat telah dinilai semula dan khabarnya hubungan dengan kerajaan-kerajaan negeri ini sangat dingin dalam urusan berkaitan tanggungjawab bersama.

Namun, 'Mak' Menteri, Datuk Azalina Othman menafikan kenyataan ini di Parlimen sebelum dijawab oleh wakil kerajaan Selangor Darul Ehsan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pelancongan sebagai EXCO yang dilantik.

Di Malaysia, realiti politik semasa (baca: amalan kerajaan pusat) adalah cukup berbeza. Tanda-tanda perubahan zaman dan cara berfikir ini gagal dibaca dan dihadam dengan baik justeru penerusan politik busuk kekal diambil.

Politik jenis ini juga terus bersarang di Universiti, berbeza dengan bagaimana kempen yang hangat digerakkan semasa pemilihan Presiden Amerika. Kita juga dapat melihat bagaimana rasa bangga rakyat - anak muda dan warga tua - untuk memberikan komentar tanpa rasa takut terhadap sikap dan pilihan mereka.

Keangkuhan politik tetap tertolak di mana-mana dan ia tidak memerlukan Amerika untuk mengajar kita. Jika Amerika yang dikenali sebagai 'syaitan dunia' sedia berubah, masakan tidak kita?

Kata kunci kepada manusia ialah kita punya potensi untuk berubah - kepada baik atau sebaliknya. Dan perubahan ke arah yang lebih baik bermula dari harapan. Harapan ini kemudian diambil sebagai keyakinan.

Perubahan - kita boleh meyakininya!

No comments:

Post a Comment