Aku pasti di luar sana cukup ramai yang tidak sukakan Dr. Asri tapi mantan mufti negeri aku ini pada aku punya karisma tersendiri tanpa aku perlu bersetuju sepenuhnya dengan beliau.
Hari ini aku baca kenyataan Dr. Asri dalam satu wawancara di MStar. Sebahagian kenyataan Dr. Asri adalah cukup dekat dengan aku dari hal partisipasi aktif dalam politik. Ya, aku tidak berparti dan aku hanya mendokong agenda reformasi untuk negara ini.
Sebagai orang Perlis, sebenarnya tak banyak yang dapat difikirkan dalam gambaran nyata untuk apa yang boleh dibuat di sana. Tapi hidup bercampur sejak kecil sehingga sebelum aku menjejakkan kaki di ibu kota cukup untuk aku memahami kesakitan hidup yang ada. Meskipun aku mahu katakan aku membesar dalam kesusahan, aku tahu bahawa ada lagi mereka yang susah dan aku pernah bersama sebahagian daripada mereka ini.
Politik Malaysia sebenarnya berada di fasa transisi yang biasa dialami oleh banyak negara membangun - maksud aku dari segi isu. Perangkap kenanaran budaya sentiasa mahu membaham kita - kau, aku dan mereka yang kadang terlupa. Ia lebih tajam dalam realiti kita di Malaysia tidak ekabudaya.
Jose Rizal dalam pidatonya di Madrid pada 1883 menekankan bahawa "kemanusiaan tidak mungkin diselamatkan selagi akal masih terkongkong, selagi kepercayaan ingin menundukkan fakta, selagi nafsu dijadikan raja dan selagi ada bangsa memijak bangsa yang lain".
Kita tidak harus menyemai angin jika tidak mahu menuai badai. Benarlah sabda Rasul s.a.w. bahawa sesiapa yang Allah s.w.t. inginkan kebaikan yang banyak padanya akan dikurniakan kefahaman yang banyak.
Ya Allah, kurniakan kami dengan kebaikan yang banyak dan selamatkanlah kami dari apa yang kami tidak mengerti (dan sebenarnya membahayakan kami dunia dan akhirat).
Thursday, November 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment