Obama kini sah Presiden baru Amerika dan akan mula menduduki Rumah Putih bermula Januari ini.
"Tiada orang kulit putih Amerika, tiada orang kulit hitam Amerika, ......., tiada orang Asia Amerika....yang ada ialah Negara Amerika" begitu sebahagian teks ucapannya pada kempen 2004 untuk Parti Demokrat.
Sebenarnya jika kita merujuk kepada polisi ekonomi, aku percaya sebuah negara industri seperti Amerika akan lebih gemarkan McCain. Tapi hidup bukan hanya persoalan ekonomi meskipun ia adalah bahagian yang penting dan menentukan.
Aku percaya rakyat bosan dengan Bush sebelum ini dan menolak perang Iraq di mana aksi berani McCain mempertahankan pilihan Bush tentu sekali mengundang reaksi kurang selesa di kalangan negara luar terutamanya negara Islam. Malah Obama juga dilihat tersepit dalam membicarakaan persoalan ini.
Semasa di San Diego, California bulan Julai lepas, aku sempat berkenalan dengan seorang sahabat kurang upaya yang mengikuti kursus pendek tersebut. Dia berpendapat bahawa ia adalah kerja bermoral apabila Amerika membantu membebaskan rakyat di negara lain. Dari raut wajahnya dia nampak jujur menyatakan pandangan (atau mungkin kerana dia OKU maka aku simpati?). Contoh yang dinyatakan agak valid - berkenaan penghapusan etnik di Yugoslavia dulu hingga menyebabkan Bosnia dan Sarajevo menjadi padang jarak padang tekukur. Dia sangat berminat untuk mendengar pandangan aku sebagai seorang muslim tentang Amerika. Minatnya bertambah kerana aku muslim dari rantau yang agak asing dan unik pada mereka.
Aku nyatakan sikap secara jelas bahawa umat Islam sebenarnya bermasalah dengan Amerika kerana mereka melihat Amerika cuba menjadi polis dunia sedangkan tidak mengambil sikap yang jelas dalam masalah Palestin. Aku kira pandangan aku ini mungkin pandangan yang berani dalam realiti aku berada di negara mereka dan mungkin saja aku sedang dikelilingi Yahudi Amerika?
Aku menggesa bahawa Amerika boleh memainkan peranan kuat tanpa membelakangkan Bangsa Bersatu. Melawan penghapusan etnik misalnya atau masalah tuduhan pemilikan senjata nuklear di Iraq harus melalui Bangsa Bersatu. Realiti bahawa tiada penemuan senjata nuklear hanya mengesahkan lagi bahawa Amerika hanya berminat dengan minyak dan helah kediktatoran Saddam hanya alasan lain kerana kami sebagai muslim juga menolak kediktatoran Saddam.
Sebahagian kenalan yang berbangsa Yahudi di sana nampak cukup terbuka dan tidak menunjukkan minat berkenaan hal perbezaan warna kulit dan agama.
Ini mungkin realiti yang membawa Obama ke puncak kuasa. Memang dasar ekonomi yang dibawa Obama tidak memberi minat yang banyak kepada penggiat industri tetapi Obama adalah simbol baru bahawa politik sama rata (baca: semua bangsa mempunyai peluang yang sama) telah berjaya diangkat ke kerusi paling disebut di dunia - Presiden Amerika.
Ekonomi kekal satu faktor lain yang pada hemat aku boleh memerdekakan rakyat. Hanya saja orang Amerika percaya, selain dasar ekonomi, mana-mana Presiden harus kekal bertanggungjawab memastikan jaminan Perlembagaan mereka sebagaimana ditegaskannya
"Our pride is based on a very simple premise, summed up in a declaration made over two hundred years ago: "We hold these truths to be self-evident, that all men are created equal, that they are endowed by their Creator with certain inalienable Rights, that among these are Life, Liberty and the pursuit of Happiness."
Tuesday, November 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment