Monday, March 23, 2009

Air Mata Juga Bahasa...Andai Ada Yang Mahu Memahami

Siapa yang pernah baca atau dengar kisah aku dan perjuangan Reformasi (jika boleh dianggap aku berjuang la), insyaAllah akan tahu kisah aku berpesan pada emak "jika Amin ditangkap, emak jangan datang jumpa Amin menangis ya?"

Sebak. Aku hilang kata bila mula baca tulisan Raja Petra semalam. Aku tahu Pak Raja jujur dalam mengungkapkan ini.

Jujur mungkin sebuah bahasa yang sukar diungkap saat kekuasaan menggila. Hidup zaman edan, Ronggowarsito sang bijaksana dari Indonesia itu pernah mengungkap dalam karyanya di para tujuh tentang Zaman Edan.

hidup di zaman edan
suasana jadi serba sulit
ikut edan tak tahan
tak ikut
tak kebagian
malah dapat kesengsaraan
begitulah kehendak Allah
sebahagia - bahagia orang lupa
lebih bahagia orang sadar dan waspada


Pernah sekali kawan bertanya apa keberanian yang ada pada aku. Aku ketawa. Berani kata kau? Sebenarnya dalam jutaan manusia yang berjuang dalam Reformasi, akulah yang paling penakut. Tapi aku lekas faham pada satu garis pesan yang aku baca dulu - bahawa manusia yang berani ialah manusia yang hanya Tuhan dan dia sahaja yang tahu dia sedang takut.

Tulisan Pak Raja benar-benar buat aku rasa getarnya. Dulu waktu aku nekad menawarkan diri mogok lapar membantah 365 hari tahanan politik ISA, aku nekad bahawa jika nyawa aku melayang saat itu dari kerja tangan durjana, redhalah aku pada perjuangan. Waktu itu aku tidaklah kenal siapa-siapa sangat. Aku sekadar seorang yang percaya bahawa ini masa untuk aku melengkapkan kata-kata Rendra - perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata.

Ia tidak mudah dan aku tidak sepenuhnya berjaya. Namun, usia muda aku...aku belajar merasa apa itu akal budi di balik kata perjuangan.

Pernah kami berbual larut malam - "orang yang akan gagalkan perjuangan kita ialah mereka yang kita sayang". Baik emak ayah, keluarga, isteri, anak-anak mahupun sang kekasih, karya syurga dari Tuhan untuk kita. Perlahan, air mata bertakung dan turun diam membasahi pipi.

Benarlah firman Tuhan bahawa Dia akan menguji manusia dengan keluarga dan harta benda kita.

Dalam diam, biar apapun orang mahu menghukumi Pak Raja, aku tetap tabik pada beliau dan Kak Marina. Dan tentu saja pada mereka yang telah nekad bahawa inilah masanya perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata.

Ia pilihan sukar. Sangat sukar.

Lelaki, sehebat mana pun...segagah mana pun...kami juga menangis. Dan itu tanda kami juga manusia. Bila telah habis atau separuh habis ikhtiar, bagi kami yang percaya Tuhan, pada Dia kami mengadu. Dan kami akan menangis untuk mereka yang kami sangat sayang tapi kami mungkin tidak upaya bahagiakan. Bukan kerana kami tidak mahu, tapi kami percaya kasih sayang Tuhan lebih besar di sebalik ikhtiar dan air mata kami.

Ya Allah, Kau permudahkanlah mereka yang ikhlas dan jujur membina keyakinan untuk apa yang Kau sifatkan ujianmu dan Kau ganjarkanlah mereka dengan kasih sayang dan balasan yang setimpal di sisi-Mu.

Kami tak pandai berdoa, kami jahil Ya Allah...kami lalai Ya Allah..kami banyak buat dosa Ya Allah. Janganlah Kau palingkan kasih sayang-Mu kepada kami ya Allah. Kau takdirkanlah kebaikan untuk kami dan pilihlah kami untuk berjuang jika itu yang terbaik di sisi-Mu Ya Allah. Dan Kau fahamkanlah mereka yang kami sayang bahawa Kaulah Pemelihara Langit dan Bumi. Dan Kau temukanlah kami semula di Jannah sebaik kau ikhlaskan segalanya dari kami semata-semata untuk Kau.

* Aku mahu berjuang, dan aku sayang kalian semua...demi Allah aku tak pernah mahu membenci dan menyakiti...aku hanya manusia yang tak sunyi dari salah dan silap. Aku hanya mahu memohon sebuah kemaafan yang paling tulus dan halalkan apa juga yang kau sifatkan hutang aku pada dirimu: dalam erti harta benda, perasaan dan segalanya. Andai bisa aku tebus, Kau permudahkanlah Ya Allah.

** Masukan (entry) ini ditulis dalam realiti separuh tekanan...

No comments:

Post a Comment