Masa belajar di uni, kawan-kawan bergraduat awal - 100 kredit dengan pengecualian (kerana kami bekas pelajar Diploma) sebanyak 30 kredit. Sebelum kami, senior boleh buat lebih pengecualian kredit berdasarkan keputusan pengajian Diploma. Ramai yang bengang sebab semua nak lekas graduat, kerja dan kahwin.
Tapi aku pandai-pandai bergraduat dengan kredit lebih kurang 130. Pendek kata, aku sempat kenal junior sampai 6-7 generasi. Urm, sebenarnya mula dari generasi ke-empat, banyaknya mereka yang kenal aku, bukan aku kenal mereka.
Oh, bukan itu yang aku nak kisahkan. Yang aku nak kisahkan ialah antara kursus luar fakulti yang aku ambil ialah Psikologi. Sebenarnya dalam bidang aku ada kursus Psikologi Sosial yang perlu diambil. Tapi aku pandai-pandai ambil lain-lain subjek yang aku fikir berguna untuk memahami sebahagian kehidupan.
Antara yang aku belajar ialah - Mekanisme Helah Bela Diri (dan sebahagiannya berbentuk falasi) dan pada aku ia tidak sepenuhnya salah. Sebab itu pada tajuk masukan (entry) ini aku tak letak perkataan 'helah', ia berbunyi negatif.
Manusia memang sukar berubah. Saidina Umar r.a. pernah kata "ubah gunung lebih senang dari ubah manusia". Dan kerana itu kerja Nabi s.a.w. adalah kerja yang hebat - dakwah! Dan semua dari kita adalah pendakwah (berdasarkan satu hadis Nabi s.a.w.).
Kita guna helah bela diri untuk redakan dari rasa takut, tidak pasti atau tekanan. Selalunya kita tidak sedar saat kita gunakan perkara ini kerana ia terletak dalam minda separa sedar kita. Dengan mekanisme ini kita membina alasan untuk tidak atau lambat berubah. Manusia memang tidak gemarkan sesuatu yang mereka tidak pasti kerana sama ada mereka rasa tidak selamat atau rasa tidak dapat mengawal. Selain itu ia jadi pelindung untuk rasa penolakan, pengabaian atau hal merendahkan keyakinan mereka. Kalau dalam hal bercinta misalnya "alah, awek tu tak layan aku macamlah aku nak sangat kat dia" atau dalam hubungan lebih luas "cermin diri awak dulu sebelum kata kat saya".
Bentuk helah bela diri antaranya:
1. Rasional dan Penafian: ramai orang kita nak tunjuk cool dan hebat tidak mahu mengakui mereka sedang berdepan masalah. Ini akan buat masalah itu tidak dilihat dengan cara yang betul dan ia akan tersimpan dalam minda separuh sedar. Misalnya "saya keluar dengan lelaki/perempuan lain bukan buat apa pun". Bunyinya sangat rasional dan di situ penafian juga wujud seiring kerana bila pasangan mempersoalkan, jelas ada persoalan yang tidak terjawab. Percaya kata aku, seorang yang konon tidak kisah keluar dengan orang lain tanpa mempedulikan perasaan pasangannya sebenarnya tidak sanggup berdepan dengan perkara yang sama jika berlaku padanya.
2. Pindah tempat atau bentuk: Seseorang yang ada masalah di tempat lain sering melepaskan tekanan atau rasa marah itu pada orang lain misalnya anak-anak di rumah, rakan-rakan atau pasangannya yang mungkin ada terbuat salah dan silap (yang sebenarnya tidak besar mana dan boleh dimaafkan). Sedar atau tidak, sumber tekanan itu sebenarnya dari pihak lain, tapi pihak lain yang kena...hai la badan. Cara lain ialah pindah ke bentuk yang lain misalnya sukan atau kerja macam orang gila tak tau rehat. Cara lain boleh jadi tiba-tiba nak tukar kebiasaan dengan bercucuk tanam.
3. Projeksi: Ini yang sering menghancurkan hubungan. Misalnya seorang lelaki kritik wanita kerana banyak komplen sedangkan sebenarnya dia yang banyak komplen. Atau seorang wanita tuduh lelaki kutuk dia di belakang sedangkan dia yang buat.
Ada banyak lagi sebenarnya tapi aku selalu ingatkan orang bahawa sains sosial bukan teori mati 1+1=2 dan ia tidak sepenuhnya dapat memberi jawapan kepada masalah manusia. Ia sekadar corak umum. Masa aku buat Sarjana, pelajar sains tulen memang ada masalah memahami dinamika sains sosial. Aku pun sains tulen dulunya sebelum "bersara" kerana jatuh cinta dengan sains sosial. Yang buat sains tulen jangan pula anggap ini kempen, tapi kekallah pada hal yang kamu minat dan jadilah yang terbaik dalam bidang yang kamu minat.
Sebab itu, dalam dakwah kau kena faham manusia itu boleh berubah. Dalam hal iman pun disebut iman para sahabat turun dan naik, iman umat akhir zaman masuk dan keluar! Berpagi dengan iman, berpetang dengan kufur atau sebaliknya! Na'uzubillah.
Kadangkala ketakutan ini yang mendorong kita jadi perfectionist dan memaksa manusia berfikir cara perfectionist tanpa kita sedar, walhal mulut mengaku manusia tak sempurna. Cliche. Aku mungkin berbeza. Aku sentiasa percaya hidup mesti dimulakan dengan rasa kasih sayang, terbuka, memaafkan dan sentiasa berusaha dengan susah payah memperbaiki kekurangan dan jangan mengherdik kekurangan orang lain selagi tidak zalim. Carilah nilai sepunya sebagai landasan awal untuk menyelesaikan masalah. Sebab itu kita ada undang-undang (pihak ketiga dan kita maklum ciri hakim harus adil walau aku difahamkan 2/3 hakim akan masuk neraka). Pendek kata mesti ada satu nilai lain yang kedua-dua tertakluk padanya dan tidak bias. Oh, banyak betul aku nak tulis sebenarnya ni!
Kenapa ini berlaku? Kerana manusia diajar takut buat salah sebab nanti akan ada mereka yang perasan bagus panggil kau LOSER. Berhenti jadi begini! Raikan persamaan dan rayakan perbezaan. Komplimen dan kau akan tahu manisnya kebebasan dan keadilan. Helah bela diri tak sepenuhnya negatif. Ia bergantung kepada cara kau tempatkan persoalan yang timbul. Bila ada masalah jangan terus pergi kepada hal yang kau persoalkan tapi tetapkan dulu apa nak dicapai (begin with the end in mind). Misalnya, kalau suami isteri atau couple atau kawan-kawan gaduh, mulakan dengan "kita nak hubungan yang ada ini baik dan makin kukuh di sebalik segala persamaan dan perbezaan yang timbul". Selalunya sesuatu itu gagal kerana ada pengkhianatan, itu saja. Pun begitu, ia masih boleh diselesaikan. Yakin?
Beb, aku rasa hidup kita sangat bermasalah bila tak letak sesuatu pada tempatnya (ini definisi adil dalam Islam). Aku syukur kerana pengalaman bertabligh menjadikan aku kuat fikirkan tentang Ikram Muslimin dalam susah dan senang. Dan aku harap aku akan baiki hal ini dari masa ke masa dengan izin Tuhan.
Ada masalah, selesaikan...lari dari masalah tak akan selesaikan apa-apa, silap-silap menambah masalah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment