Hidup aku kebelakangan ini nampak macam tersusun. Ya, dulu aku selalu sebut dan aku percaya bahawa hanya manusia yang sibuk punyai masa. Manusia yang tidak sibuk sebenarnya tidak punya masa - sebab tu mereka tidak isi masa itu. Konon-konon berfalsafah tentang masa di situ, hehe.
Alhamdulillah, adik aku ke Indonesia dan dapatkan aku beberapa buku yang baik (sebahagiannya aku pesan). Indonesia memang hebat dalam bab ini dan aku terdetik percaya bahawa tanpa korupsi, Indonesia akan bergerak pantas berbanding kita. Bukan tidak patriotik, tapi indikator kemajuan untuk aku bukan pada bangunan, tapi pada kemanusiaan dan keilmuan.
Hari-hari aku ke Institut Goethe kecuali hujung minggu - belajar bahasa Jerman. Seronok, tapi suka atau tidak belajar secara intensif ni juga agak menekan. Almaklum bahasa asing yang kita tak pernah tahu dan juga kerja sekolah, hehe. Bersama aku ialah 11 rakan lain terdiri daripada pensyarah, peniaga, suri rumah dan adik-adik lepasan SPM.
Kenapa aku belajar Jerman? Tahun ini resolusi Jalan Telawi ialah belajar bahasa ke-3. Cewah, padahal bahasa ke-2 iaitu Inggeris pun aku belum mantap. SPM skor tapi itu bukan tanda aku mantap dalam Bahasa Inggeris. Setakat membaca dan mendengar tu insyaAllah boleh...tapi menulis dan bercakap tu masih lemah. Maka aku berguru secara online.
Usai ke sekolah, aku ke ofis. Malaysia Think Tank akhirnya buat keputusan untuk beroperasi di Bukit Tunku. Memang kawasan elit, tapi agak jauh. Perjalanan pulang jika jalan tak macet pun dah ambil 40 minit (macam Kangar ke Alor Setar!). Tapi apa nak buat, tuntutan kerja dan aku beruntung sebab bos lepaskan aku ke sekolah.
Selain itu aku kemas rumah, susun semula perkakas dan perabot untuk menyedapkan mata memandang, hehe. Hujung minggu begini aku mahu bersukan sikit. Biasalah, yang asas ialah jogging. Selain itu siapkan kerja sekolah dan berhibur dengan filem-filem yang baru dibeli. Membeli belah? Ya, tempoh hari masa mak datang aku dah lakukan.
Semalam bersesi 'kaunseling' dengan kawan maya aku, seorang berdarah campur Jerman, mendakwa dirinya atheis dan pengkritik bebas, hehe. Dia cadangkan aku beli kucing. Humang aih, boleh dia cadangkan aku beli yang harga RM3000 di Mid Valley tu! Ceh, bukan soal boleh atau tak boleh beli. Meskipun aku minat arnab, arnab hanya sesuai hidup di habitatnya. Kucing memang keluarga aku di Perlis bela sejak dulu. Bucuk (nama kucing) hidup sampai 7-8 tahun. Kucing rumah arwah Tok kat Keramat dulu pun hidup lama, 7-8 tahun gak tak silap aku. Tapi kucing selalu mati kemalangan, adeh!
Sampai sekarang keluarga aku akan bagi makan kucing-kucing terbiar yang banyak di taman perumahan kami. Dah tak ada kucing yang betul-betul dibela. Aku pernah tulis dulu ayah bela ayam, kucing, burung dan merpati. Aku mungkin minat kucing, tapi aku rasa dari aku abaikan, baik aku relaks dulu.
Masukan (entry) ini agak kelam kabut kan? hehe
Friday, March 27, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment