Saturday, March 21, 2009

Hari Minggu Yang Lepas dan Sekarang

Mak datang untuk kursus umrah, insyaAllah bulan depan mak akan tunaikan umrah. Maka, seperti biasa aku kena entertain.

Minggu lepas semasa nenda meninggal adalah hari jadi mak, tapi kami tak celebrate apa-apa sebab masing-masing sedang menghormati jenazah. Abang pun balik sekejap dari Singapura dan berkumpullah kami adik-beradik ramai-ramai. Dah lama tak berkumpul begitu almaklum bila semua dah berkahwin, nak menyantuni dua keluarga besar.

Dan paling letih bila aku ikut bantu di dapur, dapat soalan cepu emas pasal kahwin. Yang jadi mangsa masa tu ialah aku dan Farah, sepupu aku sebab kami ni kiranya dah masuk kategori patut bersedia. Adoi!

Puncanya saudara mara tanya kat mak dan mak ambil strategi lain untuk tahu - suruh mereka tanya aku. Sepupu sepapat aku yang sebaya dan dah kahwin setahun dua ni memang tak tunggu terus panggil aku duduk buat kerja dengan mereka dan terus bagi soalan cepu emas ni. Aku dah agak dah!

Beb, jodoh kan kerja Tuhan dan kita manusia hanya berusaha. Emak sebelum ni memang ada borak pasal sepupu aku di Mata Ayer yang kahwin dengan duda anak dua di Beseri. Aku dengar je, kang terlepas cakap pulak! Hidup unik, semua manusia impikan pasangan yang mereka cinta dan sedia berusaha untuk mencapai bahagia. Tapi aku dan Farah berjaya menangis asakan bertali arus dari makcik-makcik dan sepupu sepapat kami. Ingat senang ke nak kahwin?

Aku buat survei dan rata-rata setuju. Lelaki ada egonya. Kami kalau boleh nak semua sedia untuk kahwin. Bukanlah tak ada perasaan. Jika boleh biarlah keluarga sebelah perempuan pun yakin dengan kestabilan kami dan tak jadi isu lelaki menumpang perempuan. Itu ego lelaki kot? Bukan apa, sekarang perempuan umur 22 dah ada Ijazah. Jika yang bercinta itu sebaya, lelaki akan fikir perlu masa untuk lebih bersedia. Jika cinta itu lebih muda, mungkin lelaki akan lebih cool sebab ada masa sementara perempuan bersedia. Memang sebuah hubungan yang matang tak akan berkira kot? Tapi suka atau tidak, ada keluarga yang letakkan hantaran yang tinggi hanya kerana anak perempuan mereka ada Ijazah. Ada juga yang berkira nak lelaki itu juga setaraf pendidikan. Aku percaya keluarga boleh terima kot jika lelaki itu benar-benar stabil.

Ada doktor yang kahwin dengan staf biasa - rasanya berstatus Diploma sebab jadi HA (sekarang orang panggil MA tak silap aku). Puncanya, tak nak jadi anak dara tua. Sanggup jadi isteri kedua. Tapi ada je yang berjaya, pendek kata kena ada give and take. Latar belakang pendidikan mungkin mempengaruhi kematangan fikir, tapi tak semestinya. Aku pernah kenal farmasis yang bagitau aku ayah dia tak setuju dia bercinta dengan seorang MA juga kerana tak setaraf pendidikan. Kadang-kadang kesian. Cinta kenal ke semua tu? Kenapa ada orang tua begitu ya?

Aku tak ingat di blog mana aku baca (di kalangan blog yang aku subscribe), pernah bincang soal ni dan nampak imbang betul pandangan masing-masing. Ah, aku tak tahu sama ada aku terlalu idealis, terlalu percaya cinta itu suci.

Semalam di FB ada seorang pembaca blog aku tegur (dia tak pernah komen di blog). Kami borak tentang karakter manusia dan isu. Sebenarnya kami bincang soal politik cuma fokus kami pada karakter. Ramai orang tak dapat bezakan isu, pandangan dan karakter. Ramai orang anggap ia datang secara pakej dan ia benar pada tahap tertentu kerana pandangan tidak bergerak sendiri dan isu juga ada pelakunya. Tapi untuk aku, jika kita tidak rasional dan kuat didorong emosi, kita tidak akan merayakan kepelbagaian ini.

Bila kepimpinan jadi subjek paling banyak dikaji di dunia, ia jelas menyentuh sikap dan perilaku karakter manusia. Ia menarik kerana memang aku sendiri banyak menghabiskan waktu dengan tambahan sebeban jumlah kredit di universiti dulu untuk memahami kompleksiti ini.

Kita harus bersetuju pada nilai dan prinsip umum, itu sudah memadai. Mencari persamaan 100% adalah kerja sia-sia dan untuk aku membosankan. Kerja menghukum orang itu salah dan aku betul juga kerja sia-sia untuk aku. Aku tak pernah minat dengan pendekatan itu. Tapi aku akan tegaskan prinsip apa yang kita sama-sama perlu capai. Selalunya prinsip yang aku letak tidak mudah sebab aku akan cabar diri aku sendiri untuk pegang prinsip itu.

Misalnya, dalam menyelesaikan masalah dua pihak - meskipun tentu kita ada pandangan sendiri dan kita akan mempertahankannya, kenapa kita tidak mulakan dengan pandangan Imam Syafie "aku mungkin salah". Imam Syafie ada pandangannya sendiri yang telah dimazhabkan. Tapi dalam berpandangan, beliau kekal membuka peluang untuk dikritik dan menganjurkan pada orang ramai untuk mengambil pandangan yang lebih kuat. Aku suka sikap ini dan insyaAllah aku cukup senang untuk berbuat begini. Ini adalah kerja kebebasan individu dalam realiti interdependence. Ia terpakai dalam semua lapangan hubungan kemanusiaan - politik sampai ke hubungan antara individu. Misalnya dalam politik isu di Perak antara Raja Azlan, UMNO-BN dan PR. Jalan penyelesaian ialah undang-undang dan kita akur nilai dalam hukum ialah keadilan. Di sanalah indahnya kata-kata Saidina Ali k.w. "jangan melihat kebenaran itu pada ahlinya, kenallah kebenaran nanti anda tahu siapa ahlinya". Pendek kata, nilai sentiasa lebih tinggi dari manusia.

Dalam hal inilah aku menjadi seorang pengamat politik yang reluctant. Politik selalu keras - aku betul dan orang lain salah. Aku benci sikap ini tapi itulah hakikat politik. Aku terpasung dalam banyak realiti hidup kerana aku gemarkan jalur kelabu meskipun aku punya sikap terhadap isu. Aku akan sentiasa mempertahankan hak orang lain untuk bersuara dan aku tidak akan segan mengaku jika aku silap atau lemah dalam pandangan. Mungkin sebab ini semasa Kak Nirah keras bertanya DS Anwar tentang Annapolis Summit, dia merasakan aku (dari tulis BECOK pada komentar lanjut) selepas ada komen balas yang mahu komentar lain mempertahankan hak Kak Nirah bersuara berbanding tali arus hentaman kepadanya. Ya, hak demokratik semua orang harus dipelihara selagi kekerasan tidak jadi saluran.

Tapi suka atau tidak, tidak ramai yang benar-benar kenal peribadi seseorang di sebalik hukum yang sering diluncurkan. Dan lebih malang, kita tidak memberi masa untuk diri sendiri mengenali seseorang dan senang terhadap pengecualian dari kata "hukum (malah dalam pendekatan fiqh sendiri) adalah untuk perkara yang zahir". Di sanalah aku mungkin berbeza dalam pendekatan dengan orang lain. Aku terlalu merayakan perbezaan dan membiar diri larut dalam pluralisme (meski aku ada sikap sendiri).

Ada lagi nak tulis dari hal ini dan bukti sejarah. Mungkin aku beza kerana aku merayakan kebebasan sedang orang lain mencemburuinya dalam erti kata melihat kebebasan sebagai ancaman. Dalam hubungan personal, aku telah cuba juga merayakan kebebasan, tapi sayang ia selalu tidak dimanfaatkan dari hal "tikam belakang dan main kayu tiga". Tapi itu tak jadikan aku membenci kebebasan kerana untuk aku kebebasan sentiasa akan menunjukkan true colours setiap dari kita.

Aku gembira dengan kawan-kawan yang terus jadi kawan dengan perbezaan yang kami ada. Hidup unik dan tidak bosan. Kadangkala ada ketegangan berlaku tapi nilai sahabat itu jadi lebih besar dalam hal menyantuni perbezaan. Kadangkala aku kesian dengan DS Anwar kerana realiti politik sering tidak mengizinkan jiwa bebas beliau kekal bebas kerana banyak pihak yang perlu disantuni sampai beliau dianggap political chameleon dalam upaya menghidupkan prinsip pada realiti pelbagai.

Sebab itu aku setuju dengan Stephen Covey bahawa masalah manusia ada pada keinginan quick fix dan kadangkala aku terperangkap dalam masalah yang sama. Benarlah sabda Rasul s.a.w. bahawa mereka yang paling kuat ialah mereka yang paling sabar.

Untuk mereka yang tidak betul kenal aku tapi terlepas menghukum aku. Maaf untuk tindak balas aku yang tidak sepertinya. Kadangkala aku juga tidak sabar tapi aku bukan pendendam dan aku paling lekas memaafkan. Sudah tentu aku mengharapkan yang sama pada kalian tapi itu di luar kuasa aku. Aku hanya percaya "kita harus melayan orang sebagaimana kita mahu dia melayan kita". Dan dari situ juga aku sering terlepas melayan orang sebagaimana mereka melayan aku. Tapi aku gembira kerana aku sendiri mahu sabar dan selalu ada rakan-rakan mengingatkan aku tentang sabar.

Setiap manusia unik dan hebat dalam erti kata tersendiri. Kita kawan dan aku tidak tahu masa depan kita semua harus lebih baik dari apa yang ada.



No comments:

Post a Comment