Masa balik Perlis tempoh hari aku hadir dalam satu program khusus berkaitan isu Melayu-Islam. Fokusnya tidak lain dan tidak bukan berkaitan Raja, kedudukan Melayu dan bahasa. Aku datang sebab tengok panelis macam menarik. Macam saja. Selain tokoh-tokoh PPSMI yang lebih berani sikit, yang lain semua hanya datang untuk mengabsahkan kemahuan politik UMNO. Perbincangan jadi buruk bila sejarah disempitkan perspektifnya, penganjur dilihat tidak serius dalam pengendalian masa dan perspektif hujah yang rencam.
Aku nak bincangkan Melayu dalam konteks Perlembagaan sebagaimana tertera pada Artikel 160 yang berbunyi:
Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Tanah Melayu atau Singapaura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Tanah Melayu atau Singapura.
Dalam memahami sejarah, kita harus meruntuhkan sempadan beku kerana Sejarah Malaysia dan Melayu itu tidak bermula pada 1957 atau 1963 misalnya. Ada usaha menggali sejarah Melayu pra-kedatangan Islam dari kalangan kelompok akademisi di Malaysia dipandang sinis kerana ia secara tidak langsung menggugat faham Melayu pada definisi di atas. Jika kita jujur pada Sejarah, kita akan temukan banyak persoalan dalam banyak peristiwa.
Pada aku, masalah paling besar dalam paradigma Melayu dan diburukkan oleh politik ialah apabila Perlembagaan menjustifikasikan Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu.
Dari kenyataan di para atas ini, dah ada belum yang anggap aku nak merosakkan Melayu? Ada atau tidak, biar aku terus tulis.
Keburukan ditambah dengan Melayu-Islam mesti UMNO dan Islam-Melayu mesti PAS. Fanatisme meresap masuk secara halus dan bahasa fanatisme ini boleh dilihat dalam kempen-kempen serta percaturan politik di mana-mana. Hanya saja pasca Reformasi 1998, ia membuka peluang untuk dibincangkan - dan juga penuh emosi.
Kita harus duduk bersandar sebentar dan benar-benar memikirkan ini. Kita telah lama mengambil sikap sambil lewa terhadap banyak perkara hanya kerana adanya Artikel 160(2) ini dan peruntukan lain dalam Perlembagaan yang memberi 'keselesaan' kepadanya.
Aku percaya bukan saja aku yang sedar masalah ini tapi yang terlihat ialah tidak adanya keberanian untuk benar-benar menilai semula persoalan ini. Tun Saleh Abas dan Prof. Abdul Aziz Bari juga pernah seakan membela peruntukan ini, tapi mereka sebagai muslim yang komited, aku lihat ada pengecualian apabila melayu itu sendiri melayu bermasalah. Dalam hal ini mungkin aku berbeza pendapat sikit.
Persoalan ini pernah aku jelaskan di Biro Tata Negara (BTN) dulu dan memang tidak ada siapa yang menjawab. Bukan saja di sana tapi di banyak tempat dan ia buat aku rasa sangat tidak selesa kerana ia mengukuhkan lagi pandangan aku bahawa politik telah menelan kebijaksanaan manusia hampir di semua tempat!
1. Dalam definisi Artikel 160(2), jelas pembolehubah kepada Melayu ialah Islam.
Sebabnya, sebelum lahir ke muka bumi tidak ada siapa pun minta dari Tuhan untuk dijadikan Melayu, Cina, India, Mat Saleh, Latin dan sebagainya. Pendek kata, persoalan bangsa bukan persoalan pilihan. Ia telah ditentukan Tuhan. Tapi persoalan agama ialah persoalan pilihan. Seseorang boleh pilih untuk beriman atau sebaliknya dan berkaitan pilihan inilah, keluwesan Islam itu telah diburukkan dengan penyempitan konteks - sama ada dengan asosiasi kekal dengan Melayu dalam Perlembagaan atau asosiasi boleh ubah dengan parti politik yang penuh kepentingan. Dalam bahasa mudah, sentimen keagamaan telah jadi 'alat untuk mendapat kuasa'.
2. Jika Melayu-Islam di Malaysia itu murtad, maka dia jadi bangsa apa?
Persoalan ini mungkin disapu ke bawah tikar kerana orang Islam umumnya percaya muslim tak boleh murtad, jika murtad harus dibunuh. Ada khilaf dalam pandangan ini dan jujurnya aku mengambil pendapat paling mudah. Murtad boleh berlaku tanpa perlukan pengisytiharan. Justeru, mekanisme pentadbiran diusulkan untuk mengelakkan banyak kes-kes lain berlaku di kemudian hari misalnya kes rebut mayat, harta pusaka dan lain-lain, sekadar contoh. Aku cenderung bersetuju dengan Sheikh Rashid al-Ghanoushi bahawa murtad tidak semestinya bunuh. Ini sensitif dan tentunya ruang di blog ini aku biar terbuka untuk dibincangkan secara waras.
Tafsiran ini longgar dan untuk aku sangat bermasalah kerana ia telah jadi sumber dasar yang dimainkan banyak pihak dan sebab itu akhirnya aku rasa persoalan ini mesti betul-betul dicabar supaya garis jelas prinsip dan keluwesan itu diletakkan pada tempatnya. Rasa selamat dan wewenang dari definisi ini adalah satu status quo yang telah membinasakan pemahaman kita kerana:
i. Orang Melayu rasa dengan memberi kepercayaan bulat tanpa soal kepada parti-parti politik Melayu beerti telah mengangkat Islam pada kedudukan yang tinggi.
ii. Orang-orang UMNO khususnya percaya dengan membela Melayu, beerti kita membela Islam. Seolah-olah Islam itu yang bersandar pada Melayu, bukan sebaliknya.
iii. Orang-orang PAS sebelum ini (dan masih ada) yang segan-segan nak membela bukan Melayu apabila ada perselisihan dengan sikap dan pandangan Melayu yang lain kerana nanti dilihat 'tidak membela Islam' (yang secara halusnya telah diasosiasikan dengan Melayu).
iv. Orang-orang Melayu yang beranggapan Melayu itu Muslim percaya bahawa hanya sama ada UMNO atau PAS adalah wadah tunggal yang benar-benar cocok dengan Islam. Di sini bermula penambahan definisi secara kasar (Melayu-Islam-UMNO dan Melayu-Islam-PAS). Dan ini sebenarnya menjadi satu tambahan tembok yang jika tidak diteliti akan mengheret wacana lelah dalam Malaysia. Dari sinilah timbulnya juga orang agama atau ulama' yang tak cenderung kepada parti sekian-sekian dilihat sebagai pengecut, senget atau 'tidak benar-benar membela agama'.
v. Kekayaan wacana umat Melayu-Islam di Malaysia tersekat dalam 'rasa takut' dan 'rasa selamat' dari Artikel 160(2) ini.
Kita akan bersambung nanti, semoga ia jadi perbincangan yang kaya.
Wednesday, March 25, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment