Wednesday, March 25, 2009

Aku Pun Melayu 1 - Pengenalan

Aku suka tajuk buku baru Dato' Zaid Ibrahim dan insyaAllah aku akan dapatkan buku ini seberapa segera yang boleh. Aku dah lama berhajat nak tulis perkara ini terang-terang tapi aku tahu ia akan mengambil masa yang panjang. Ia akan mencabar ego manusia dan ia akan mencabar banyak perkara yang taboo dalam masyarakat Melayu di Malaysia khususnya.

Maka aku rasa mahu tulis sikit-sikit. Aku tak ada pilihan yang banyak kerana isu ini mesti selesai segera kerana aku bosan dengan wajah politik Malaysia. Benci tapi rindu kerana suka atau tidak aku tak mahu jadi pengecut yang lari dari tuntutan isu. Sebenarnya secara berkias, aku telah tulis beberapa tulisan serius tentang ini di WauBebas dan blog lama aku.

Isu ini untuk aku sangat mendesak kerana semakin dibiar taboo ini bergerak, semakin ia menggigit orang-orang bijak yang jiwanya terpasung dek rasa selamat dan puas hati.

Oleh kerana ini pengenalan, maka biarlah aku tulis sedikit latar belakangnya.

Aku mendokong Reformasi. Itu jelas. Dan suka atau tidak, parti politik paling rapat dengan agenda Reformasi tentu saja PKR. Umum di mana-mana memang cop aku orang PKR, orang Reformasi, orang Anwar walhal aku tidak berparti. Aku tak sepenuhnya membantah. Penjelasan memerlukan masa dan ruang. Orang kata aku tidak komited dari hal ini.

Reformasi yang dikaitkan dengan PKR digambarkan pengkhianat Melayu. Itu satu sebab utama dan sebab yang telah menghambat bukan saja PKR, malah PAS dan umumnya Pakatan Rakyat dan rakyat sendiri yang punya keinginan mendesak untuk berubah. Tuduhan khianat ini satu tuduhan serius dan ia wajib dijawab sejelas-jelasnya.

Tanpa sedar, kita masuk ke dalam lingkungan buruk yang diistilah Stephen R. Covey dalam Principle Centered Leadership (dan disebut juga tentunya dalam buku popular beliau iaitu Seven Habit) yang aku selalu petik - Fenomena Quick Fix atau ringkasnya kemahuan menyelesaikan masalah dengan segera.

Dan satu cara yang aku suka dalam usaha menyelesaikan masalah ialah Habit 2 - Begin with the end in mind. Mulakan dengan matlamat akhir dalam minda kita. Aku selalu bagi tamsilan begini: Kita mahu tunaikan haji di Mekah dan Mekah itu tetap di sana. Ada yang datang ke Mekah dari Malaysia, ada dari England, ada dari Argentina dan rata lagi pelusuk dunia. Tapi semua tahu Mekahnya tetap di satu tempat yang sama - hanya bacaan sudut barangkali berbeza. Cuba bayangkan Mekah itu boleh berubah-ubah. Dalam pertengahan jalan, kau dapat tahu Mekah itu telah beralih ke tempat lain. Jenuh juga kau terpaksa ubah perjalanan kau. Silap-silap tidak sampai!

Begitulah kita dan masalah. Dan ia mesti digerakkan dengan Habit 1 - Be Proactive iaitu kita mesti mengambil tanggungjawab (response-able). Untuk mengambil tanggungjawab, kita harus merdeka dalam erti kata bebas dan mengisi kebebasan ini dengan penuh tanggungjawab. Proaktif saja tidak cukup melainkan kita perlu tentukan keutamaan (Habit 3 First Things First). Dan oleh kerana kita berdepan dengan pelbagai perspektif, usahakan untuk mendapat Win-Win Situation (Habit 4). Habit 5 Seeks First to Understand Then to be Understood. Kemudian Sharpen The Saw (Habit 7) dari masa ke masa supaya menguasai dengan lebih baik. Habit ke 8 baru terbit dan aku rasa ia akan datang sendiri jika kita telah beri masa yang banyak untuk 7 Habit pertama.

Ok, itu hanya alat berfikir.

Aku dan kawan-kawan - sebahagian dalam UMNO, sebahagian PAS, sebahagian dalam PKR dan sebahagian bebas dan tidak berparti meski ada sikap politik bersetuju bahawa keutamaan isu yang ada kini ialah mengurangkan atau jika mampu menghapuskan sentimen perkauman yang negatif sebagaimana ada di Malaysia dan dirancakkan oleh pihak-pihak tertentu demi survival politik mereka.

Sebab kedua jika boleh aku nyatakan di sini ialah hampir seluruh masalah utama kita di Malaysia berlegar persoalan Melayu sama ada dalam bentuk kepentingan, kerosakan atau rasa terancam.

Sebab ketiga ialah kerana aku Melayu dan aku sayang bangsa aku. Dan aku akan tulis perkara ini sejelas-jelasnya dari akal fikir dan apa aku rasa supaya jika takdirnya aku dianggap pengkhianat dan dihukum, sekurang-kurangnya aku akan gembira bertemu Tuhan dan mahu meminjam kata Rasul s.a.w. "saksikanlah, aku telah menyampaikan".

Aku belum tulis apa-apa isi lagi. Untuk pengenalan ini aku hanya letak latar belakang isu. Secara tidak langsung, aku mungkin akan menjawab helah retorika Tun Dr Mahathir baru-baru ini tanpa menafikan ada kebenaran dalam penyampaiannya cuma aku kategorikan sebagai half-truth.

Apa yang bakal aku tulis mungkin akan mengusik pihak tertentu, mungkin akan membela orang tertentu dan mungkin bunyi macam bagus. Tapi aku seperti selalunya tidak akan memaksa untuk kalian bersetuju. Sebagai orang yang percaya kepada kebebasan dan keadilan, insyaAllah aku yakin proses maklum balas yang aku akan dapat akan membantu aku menstrukturkan semula faham dan gaya fikir aku.

Ok, jumpa lagi. Kena bersenam sikit dalam perjuangan marathon ni.

No comments:

Post a Comment