DS Anwar bukan asing dalam fenomena politik Malaysia. Sejak zaman pelajar, dia diakui telah mencipta nama - baik atau buruk - tergantung bagaimana kita mahu melihatnya.
Pasca pembebasan DS Anwar, argumentum ed hominem kekal mengambil tempat, mungkin kerana Reformasi 1998 tidak kuat dinatijahkan dari halus akal budi (baca:budaya) untuk merumus keperluan pergerakan ini. Mujur sekurang-kurangnya garis kasar rangka perjuangan ada - Perisytiharan Permatang Pauh.
DS Wan Azizah wajar diberi kredit yang banyak. Seorang wanita berhati waja, dan beruntunglah DS Anwar kerana memilikinya sebagai teman hidup.
Jika politik boleh mahu dikaitkan dengan ahli politik, nisbah yang mungkin dekat ialah untuk kekal popular. Dari perihal popular ini aku merumus politik sebagai pertarungan komunikasi berasaskan persepsi. Maka, suka atau tidak, politik Malaysia tidak lekas membina pertarungan yang sihat. Sebagaimana bola sepak, kita cemburu dengan persaingan bola sepak luar, khususnya Bola Sepak Inggeris, Seria A, Bundesliga dan sebagainya (baca:Eropah).
Adakah nilai yang kita puja secara tidak sedar itu muncul sendiri? Kekuatan apakah yang memunculkan ia dan bagaimana ia mengekalkan bentuk popularnya tanpa menghilangkan mutunya?
Begitulah acuan yang aku selalu pilih dalam melihat DS Anwar. Beliau dituduh sesumpah hanya kerana pidatonya memukau dan secara umum beliau berani berpendirian untuk menolak agenda Negara Islam sebagai yang dihajatkan PAS. Maka lekaslah panglima perang yang bergetar hatinya mahu lekas masuk ke medan. Mereka gagal menghimpun watak DS Anwar, maka mereka memilih watak-watak yang difikir cocok dengan agenda perang yang mereka sendiri canang dan mereka sendiri mahu umum siapa pemenangnya. Ya, sekurang-kurangnya kerana DS Anwar kekal jadi berita, kerana UMNO-BN terdesak untuk memulihkan citra perjuangan mereka, kerana mahu lekas jadi terkenal..sebenarnya mereka mahu menumpang populariti DS Anwar secara psikologi terbalik. Wah, hebat dia kerana berani kritik DS Anwar. Dan dia yang mengkritik kekal di luar gelanggang, paling tidak akan mengelak bertarung di medan yang penuh duri.
Aku tidak fikir DS Anwar bak sesumpah. Politik adalah seni dan sains yang tidak mudah - tetapi DS Anwar kekal dengan tema yang sama sepanjang zaman. Kerana dakwah itu bak air, memilih bentuk yang sesuai untuk kekal memberi manfaat. Pada tingkatnya yang menyegarkan, ia akan mengalir tanpa boleh disekat. Dan air pada masanya tidak harus dibiar lama bertakung.
DS Anwar tidaklah perlu disanjung sebagai manusia sempurna, tapi cukup untuk kita mengerti bahawa dalam realiti itu beliau pilih untuk bertarung dan membina erti hidup di mana-mana. Kita yang hidup jangan lekas mahu menolak orang ke neraka. Apakah kalian risau syurga akan penuh?
Sampai sekarang dan sampai bila-bila aku tidak akan faham DS Anwar, dan apa perlu kita faham? Sekurang-kurangnya mari kita fahamkan bagaimana proses hidup ini bergerak.
Ada sesiapa boleh muktamadkan pada aku DS Anwar agen Libya, Amerika, Israel, Arab Saudi atau dari mana lagi? Islam ala yang korang nak dia faham, Liberal atau Sosial Demokrat, atau malah seorang terroris?
Politik Malaysia selalu bosan! Tapi bosan itu bukan sebab untuk aku berhenti mengenali dan berurusan dengannya. Hanya saja masa aku akan tiba untuk memunggah kepalsuan. Dan aku tidak harus berpeluk tubuh untuk itu!
Monday, June 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
catatan yang berjiwa besar, ulasan yang penuh dwirasa, dan luahan yang mengusik citra jiwa..saudara mempunyai kemahiran sastera yang baik dalam penulisan..jarang sekali dijumpai penulis blog sebegini..
ReplyDeleteTerima kasih sdr Azli,
ReplyDeleteSaya bukan penulis, hanya sekadar suka membaca dan menulis pun sekadar cuba menyatakan rasa jiwa.