Ini tulisan yang lewat.
Malam Karyawan anjuran kerajaan negeri Selangor aku hadir dari jemputan lewat penganjur - mungkin hanya untuk memenuhi kerusi yang masih kosong. Tapi tidak apa, ia satu peluang besar untuk aku mendekati aspek lain dari tema pembangunan yang rencam dan selalu digesa DS Anwar untuk dirumuskan melebihi perhitungan ekonomi.
Malam itu aku rasa satu malam yang tidak cukup bertenaga. Meskipun ramai teman lama dapat bersua muka, seakan ada kekosongan - mungkin kerana ia diselenggara IKD dan ABIM bagi pihak kerajaan Selangor justeru dinamika budaya itu tersedut dengan wacana politik dan agenda Melayu. Mungkin hanya DS Anwar dan teman-teman lingkungan Bangsar yang tahu pertarungan falsafah dan budaya yang menatijahkan Malam Karyawan 2, lanjutan dari program awal sebelum PRU-12.
Malam itu kurang elemen humor, hanya sdr Hasmi Hashim yang sedikit mengendurkan ketegangan budaya tunggal yang seakan wujud pada malam itu. Pak Khalid seperti biasa risau dengan kecetekan perspektif dalam teks Menteri Besar.
Malam itu aku, Najwan dan Nik Nazmi mengambil tempat di meja yang sama. Seperti usikan nakal aku pada Nik "ramailah yang tepuk bahu kau sekarang". Nik dalam diam mengakui dan aku sebagai teman yang 'rapat tak rapat sangat' sekadar yakin kekuatan luar biasa dari segi prinsip Nik menolak elemen rasuah yang mendekati. Hanya saja kami bertiga mungkin lebih risau dengan elemen yang mendekati mereka yang muda dan tidak cukup teruji falsafah politik mereka dalam lingkungan yang lebih dekat dengan DS Anwar.
Suka atau tidak elemen muda ini pernah meremehkan kegilaan falsafah Pak Khalid! Tapi mereka pasti malu jika perbandingan obsesi politik Khalid dibandingkan dengan mereka, juga dengan kegiatan intelektual untuk menampung lompong pandangan dan sikap politik rencam dalam PKR dan gerakan Reformasi amnya.
Politik idea akan mengambil tempat. Ingat pandangan aku pasca PRU-12? Ideologi politik akan bertarung kejam perlahan-lahan. Dan ini akan menguji sikap gabungan BN serta PR. Tapi sebelum ia mengambil tempat, seperti biasa politik popular kini lebih rancak. Buktinya perebutan posisi politik dan obsesi terhadap teori peralihan kuasa, maksud aku siapa lompat dan tidak.
Dalam diam, teguran Pak Khalid kepada aku dan Najwan malam itu disambut aku dengan akur. Ya, kadang kala politik popular itu sebenarnya tidak peduli dengan politik idea.
Wednesday, June 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment