Hari ini Malaysia berdepan dengan cabaran yang tidak sedikit. Bagi mereka yang cenderung konservatif, aku lihat mereka mahu memulakannya dengan 'pintu-pintu yang tertutup'. Tidak untuk aku. Aku mahu pilih memulakannya dengan 'pintu-pintu yang terbuka'.
Dalam tempoh yang telah pun bermula dan entah bila akan berakhir, malah mungkin tidak berakhir (kerana dinamika perkembangan manusia dan kehidupan - kecuali mati dan kiamat), kita akan berdepan dengan proses mengolah makna baru tentang diri dan hubungannya dengan yang lain. Kerencaman ini hakikat dan ia muncul jelas dengan gesaan Tuhan untuk saling mengenali, maka aku melihat ia satu proses pintu terbuka, bukan tertutup.
Dalam hambatan perang psikologi yang jelas tidak kelihatan (tetapi dapat dirasa bahangnya), semacam ada lompong kosong yang wujud secara nyata di Malaysia.
1) Kelompok agamawan, lebih tepat mereka yang mahu diri mereka dikenali sebagai aktivis Islam sering melihat proses ini sebagai ancaman kepada Islam. Dan untuk aku, ada seolah-olah sikap apologetik dengan keterbukaan - sama ada mereka tidak bersedia untuk dialog atau mereka tidak punya apa untuk didialogkan.
2) Kelompok yang mahu dikenali sebagai liberalis atau sosialis pula seakan ada satu kegilaan untuk menghentam aktivis Islam (baca: kelompok no 1) yang sampai kadangkala aku tengok sampai ke tahap biadap.
Ini bukan pembelaan kepada mana-mana pihak. Liku pendek aku mengharungi kegetiran tuntutan Reformasi ini telah membawa aku mengenali banyak citra dan wajah perjuangan. Untuk aku mereka-mereka ini (baik dari kumpulan 1 atau 2, malah selain mereka) punya sumbangan yang tidak sedikit malah sebahagiannya boleh dibanggakan.
Tapi aku tidak fikir rekod perjuangan adalah kata putus untuk sikap. Ia hanya mungkin boleh jadi sebab untuk mengendurkan sedikit ketegangan dari segi pendekatan. Jujurnya aku kurang melihat gesaan Tuhan dalam konteks lita'arafu - saling mengenali.
Dalam proses ini aku rasa pendekatan paling cocok untuk diketengahkan ialah idea-idea yang ditawarkan melalui pendekatan Liberalisme Klasik - di mana keteraturan spontan ditentukan oleh pasaran dengan kerajaan minima menjamin kebebasan individu.
Aku banyak melihat kegopohan (malah kadang-kadang dari aku sendiri) dalam meneliti proses ini. Tapi memahami keteraturan spontan, aku hanya boleh kata Politik itu rencam, maka hidup mesti terus.
Thursday, June 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment