Tuesday, June 10, 2008

Selangor Menuju 100 Hari

Pasca PRU-12, kejatuhan Selangor kepada Pakatan Rakyat sudah tentu disambut hiba oleh BN. Usaha mereka tidak terhenti di situ, kita tahu sejak awal wujud rundingan dengan PAS kununnya atas nama Melayu-Islam PAS harus memisahkan diri dengan mewujudkan jambatan kerjasama dengan UMNO. Setelah usaha gagal, maka serangan bertali arus dilancarkan kepada kerajaan negeri Selangor yang baru.

Hanya kerana Selangor negeri paling kaya di Malaysia...

Maka sentimen konservatif dimainkan, sama ada oleh pendokong BN atau selainnya. Pokoknya sejak muncul PKR sebagai parti berbilang kaum di Malaysia, mereka yang menganut pemikiran konservatif ini 'panas punggung'. Ia diburukkan lagi dengan tempo perlahan dan respon dari elemen konservatif dari dalam kerajaan negeri Selangor sendiri.

Projek babi yang diumumkan secara politiknya salah, itu pandangan aku bila kawan-kawan mula ribut. Nilainya 100 juta! Tapi dalam banyak-banyak ribut konservatif ini, tidak pula aku tengok ada kemahuan objektif untuk menerangkan bahawa projek itu adalah tajaan Bangsa Bersatu dan sisi positif dari projek ini tidak pernah mahu ditawarkan langsung. Yang mereka mahu ialah sentimen kurang senang dalam masyarakat kerana babi adalah persoalan sensitif di kalangan kita, tanpa kita sedar lembu sepatutnya juga menjadi persoalan sensitif buat sesetengah penganut agama di Malaysia.

Perihal pendedahan rasuah oleh kerajaan BN sebelum ini untuk aku harus disambut berbelah bagi. Pertama, ia mengukuhkan bukti bahawa pilihan rakyat untuk menukar kerajaan negeri adalah tepat. Kedua, rasuah ini implikasinya langsung kepada duit rakyat..dan ia juga pada tahapnya mungkin menjejaskan potensi projek baru yang mahu dilaksanakan kerajaan negeri Selangor. Bayangkan jika sepatutnya tanpa rasuah kerajaan negeri mampu mempunyai lebihan dana untuk digunakan bagi manfaat rakyat, dan dana itu hilang kerana rasuah..maka rakyat berhak tahu dan sekurang-kurangnya mampu lebih rasional dalam menilai kemampuan kerajaan negeri Selangor dari hasil tinggalan kerajaan sebelum ini.

Projek air yang masih tersangkut menunjukkan kesediaan kerajaan negeri Selangor untuk mengorak langkah progresif, tetapi kita boleh lihat bagaimana aspek teknikal diguna pakai untuk melengah atau menggagalkan sekali projek ini. Kenapa rakyat tidak membuat desakan yang lebih nyata kepada Kerajaan Pusat dan SYABAS jika betul dakwaan bahawa perjanjian ini melibatkan mereka dan kerajaan negeri Selangor?

Pengisytiharan pengharaman projek Islam Hadhari di Selangor untuk aku tidak lebih dari kempen politik individu untuk pemilihan parti tidak lama lagi. Polemik yang boleh dimudahkan tidak harus mewujudkan sentimen buta dalam masyarakat.

Masalah yang lebih khusus untuk aku ialah pemahaman kita sebagai rakyat dalam proses hidup bernegara yang lebih luas. Ya, subsidi pada tingkat tertentu mungkin wajar, tetapi ia tidak harus dinilai mutlak. Masalah Kerajaan Pusat BN ini boleh kita lihat secara jelas. Apakah kewajaran yang dipilih untuk menaikkan harga minyak setinggi itu dan kemudiannya tergopoh-gapah membuat kenyataan bahawa 'kami akan mengkaji semula' kesan harga minyak dan alternatif-alternatif lain yang boleh diambil! Buat dulu baru fikir?

Pakatan Rakyat untuk aku tidak harus cepat puas hati untuk menawarkan 'emas dan perak' kepada rakyat. Aku sangat berharap DS Anwar kekal dengan pandangan ekonominya semasa menjawat kerusi Menteri Kewangan. Hasil negara bukanlah wujud untuk kita berwemah semata, kerana kita harus bersedia untuk tahun-tahun yang menguji. Fikiran pemimpin dan rakyat harus diluruskan. Kegagalan BN mengukuhkan nilai ringgit harus diinsafi, dan jangan terkejut bahawa siri pinjaman luar mungkin diusahakan sebagai alternatif menampung kemarahan rakyat.

Mengkritik memang mudah, tapi marilah kita menjadikannya lebih objektif dan rasional dalam konteksnya.

No comments:

Post a Comment