Thursday, June 19, 2008

Kebebasan dan Masa Depan Malaysia

Bantahan dan penarikan semula hasrat untuk melakukan demo membantah konsert sempena perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Singapura oleh Pemuda PAS Selangor, yang kemudiannya disambut dengan sokongan dari Pemuda PAS Pusat serta Pemuda PAS Wilayah Persekutuan sebenarnya membawa kepada isu yang bersifat fundamental untuk aku.

Maksud aku PAS sebagai organisasi politik dan menerima demokrasi sebagai jalan ke arah kuasa berdepan dengan realiti yang sebenarnya memerlukan pengolahan yang lebih tajam dan jitu. Belum kita dengar perincian rasmi dari PAS tentang dasar-dasar tersusun mencakupi banyak perkara. Jika kita tanya, kebanyakan aktivisnya mungkin sekadar menjawab "berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah" dan ini umumnya tidak cukup untuk memuaskan hati ramai pihak.

Ya, dialog penting tetapi bukan sebagai alat yang mewajibkan sesuatu keputusan. Ia mungkin lebih bersifat konsensus untuk mengutamakan yang utama. Begitulah hal dalam bekerjasama (baca:berpakat).

Aku percaya ada pendekatan lain yang membolehkan konsert tersebut dialihkan dalam bentuk lain. Aku hanya rasakan bahawa PAS tidak bersedia menjadi kerajaan. PAS, sebagaimana DAP (baca:Lim Kit Siang) mungkin telah terpasung dek lamanya menjadi pembangkang. Tapi pengalihan dalam bentuk lain sebenarnya tidaklah menyelesaikan masalah fundamental, mungkin sekadar alternatif semasa. Tapi entahlah, dunia artis, meskipun PAS tidak berhajat begitu, nampak seolah PAS sangat tidak mesra. Bukan saja dunia artis, tapi hampir seluruh ruang bebas dari lingkungan PAS nampak sangat tidak mesra.

Dialog dan wacana yang mengetengahkan PAS bersama panel-panel lain telah banyak diadakan di sekitar Lembah Klang, dan kebanyakannya ia bukan diinisiatifkan oleh PAS. Ini untuk aku adalah satu tanda bahawa kehadiran PAS dalam lanskap politik Malaysia bukanlah ditolak sepenuhnya, malah PAS punya peranan yang tidak sedikit untuk menampilkan citra muslim yang lebih baik di mata umum. Jujurnya aku tidak pasti sama ada PAS punya kerangka kerja bertahap untuk dicapai atau hanya mengikut arus dan bersifat responsif.

Ahli PAS tidak harus melihat argumentasi bertentangan dengan pendirian PAS sebagai pihak lawan yang mengancam. Perbezaan secara aman adalah hakikat kehidupan dan ia sebenarnya mengajak atau membuka ruang yang luas terhadap dakwah. Meletakkan perbezaan ini sebagai 'kelompok batil' adalah satu pendekatan yang tidak bijak untuk aku. Pengertian dakwah tidak akan muncul dari sikap awal yang begitu.

* PAS dalam tulisan ini tidak semestinya tertunjuk kepada seluruh ahli PAS, tetapi kepada amalan dan sikap umum PAS yang tertonjol berbanding yang lain.

No comments:

Post a Comment