Tidak perlu berdalih bahawa aku mendokong agenda Reformasi dan aku memegang pendapat bahawa Reformasi adalah kerja semua pihak melangkau sempadan parti dan tokoh.
Dalam ribut Reformasi 1998, arus deras yang tersekat-sekat di pertengahan 2001 melangkah kepada momentum baru pasca persaraan Tun Dr Mahathir, ramai yang mendahulukan emosi berbanding rasionaliti. Dan rasional sahaja juga tidak cukup tanpa tawaran struktur dan proses yang dapat menggerakkan agenda Reformasi ini.
Hari ini Perdana Menteri Malaysia, DS Abdullah Ahmad Badawi mungkin tidak popular, sangat tidak popular rentetan keputusan meningkatkan harga minyak dan kenyataan-kenyataan lanjut yang dilihat rakyat sebagai gula-gula pahit dan sandiwara 'konon baik sangat'. Justeru mereka terpisah kepada beberapa segmen dan perhitungan Tun Dr M mungkin tepat, untuk membentuk satu segmen baru - bahawa protes terhadap UMNO tidak perlu sampai lompat kepada parti lawan kerana dengan sedikit keberanian Presiden UMNO dan Perdana Menteri boleh ditukar. Ya, idea yang bijak!
Tapi sekali lagi, kita jangan lekas menurut emosi. Ramai dari kita yang patut mempersoalkan sumbangan Tun kepada situasi DS Abdullah pada hari ini dari semua aspek. Tun mungkin mudah mengambil sikap mempertikaikan demokrasi dalam UMNO tapi umum maklum bahawa dia antara Perdana Menteri paling cemburu dengan demokrasi. Ramai yang pejam mata terhadap salah laku Tun yang sedang menanti masa penghukuman. Dan dalam situasi ini mereka pura-pura gagal melihat Perdana Menteri gagal, meskipun aku mahu juga katakan gagal pada tingkat tertentu yang mendefinisikan kepimpinannya.
Perdana Menteri, DS Abdullah pada hemat aku masih menjaga air muka Tun dengan sikap untuk menutup kes lama berkaitan bailout dan juga bagaimana Tun menjaga proksi dan sokongan politik terhadapnya seperti DS Rafidah dan sebagainya. Mereka adalah ahli politik yang terperangkap dalam situasi ini. Mereka tahu kebobrokan mereka ada pada Tun dan DS Abdullah, lalu apa sikap yang boleh mereka ambil dalam realiti DS Abdullah adalah Perdana Menteri?
DS Abdullah bukanlah dilihat bersih tapi itu tidak harus menjadikan Tun bersih juga. Sama ada Perdana Menteri sekarang berani atau tidak, atau dia lebih senang dengan sikap "hang makan diam-diam, aku boleh buat juga..so fair and aquare..jangan bising-bising".
Eloklah kita tanya sikap sebenar kita, benarkah kita mahu maklumat telus, integriti dan banyak lagi nilai lain sebagai pemacu pertumbuhan negara yang boleh menatijahkan keamanan dan keadilan di bumi Malaysia?
Elok kita tanya, sampai bila kita perlukan subsidi? Aku tulis ini bukan kerana setuju minyak naik sekarang tapi aku percaya mekanisme lain sepatutnya boleh dibentuk untuk mengurangkan subsidi minyak ini seterusnya menghapuskan sama sekali subsidi berlebihan. Dan itu tidak pula menidakkan akauntibiliti dana Petronas kepada kerajaan selama ini yang selama 22 tahun di bawah perhatian Tun. Di mana simpanan 5 billion untuk Pendidikan Masa Depan semasa DS Anwar menjadi Menteri Kewangan (sebelum dipecat)?
Walaupun penjelasan Tun tentang kebolehan memberi subsidi dari hasil minyak lebih terang berbanding DS Anwar, matematik mudah DS Anwar - separuh guna sebagai subsidi dan separuh belanja pembangunan dan pengurusan kerajaan - dalam kempen PRU-12 sudah cukup untuk difahami.
Dalam kes ini bukanlah pembelaan untuk DS Anwar malah aku suka mengingatkan pendokong Reformasi di Malaysia bahawa kebergantungan mutlak kepada DS Anwar atau mana-mana tokoh dari Pakatan Rakyat adalah tindakan mengundang binasa. Ya, sudah tentu tahap pemahaman dan ansuran untuk penyesuaian diri dengan perkembangan dunia memerlukan gerak kerja tersusun kerajaan dan juga kita sendiri, masyarakat sivil.
Melihat perlahannya YB Salahuddin Ayob berdepan dengan YB Shahrir Samad cukup untuk memberi signal kepada kita generasi muda agar tidak gopoh tapi perlu lekas menyesuaikan diri dengan wacana berat.
Dan semua ini adalah pesan untuk aku dan kita yang mahu turut sama..
Thursday, June 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Salam,
ReplyDeleteAnak muda memang tak patut berdalih. Terus terang nyatakan pendirian. Syabas!
Tulisan yang adil. Boleh memimpin negara, insya ALLAH.
Salam.