Seingat aku ada perkara yang aku kurang senang, meskipun aku menghargai usaha sebahagian senior di kampus dulu. Awal mula kehidupan kampus memang agak mencabar, untuk memahami sistem kampus dan kedua untuk memahami gaya hidup kampus - apatah lagi waktu itu segala kebebasan wujud.
Maka sebahagian senior aku mengambil peluang mendoktrin kami dengan pentingnya pelajar Melayu bersatu dan berusaha untuk berjaya dalam pelajaran. Jujurnya aku dapat rasa kejujuran mereka saat itu, meski kemudiannya boleh dipersoalkan cuma aku rasa kurang selesa dengan konotasi Melayu yang diajukan.
Aku bukan anti-Melayu, cuma aku rasa sangat tidak selesa untuk berterusan hidup dalam persekitaran penuh adu domba. Ini juga bukan persoalan Melayu saja, tapi aku tahu dalam masyarakat Cina dan India juga wujud elemen perkauman yang cukup tebal. Sebab itu, aku percaya dalam proses perjuangan politik yang rencam dan panjang ini aku fikir persoalan ini cukup penting dan menentukan. Pokoknya bersediakah kita?
Seingat aku, keputusan SPM aku boleh dikategorikan antara yang baik dalam sekelian teman-teman ambilan Jun 2000. Ambilan Jun 2000 di UPM adalah ambilan pertama kampus seluruh Malaysia (waktu itu ambilan kampus tidak diselaraskan lagi). Jiwa yang besar untuk mengharungi kehidupan kampus cukup jelas di wajah masing-masing.
Selepas menempa 'glamour yang tak dipinta' semasa Orientasi Universiti, aku banyak buat hal sendiri namun pendirian aku dalam isu Reformasi jelas. Semua orang tahu aku 'kuat Reformasi', tapi aku jujurnya tidak kuat berkempen untuk mana-mana parti. Aku lebih senang mengajak kawan-kawan membentuk fikiran yang jelas. Sentimen sayang (Tun) Dr Mahathir waktu itu juga tebal terutama kawan-kawan dari Kedah malah dalam tabligh. Di Malaysia ada dua lapis aliran konservatif perlu diperhalusi - persoalan agama dan persoalan kaum. Dan banyaknya isu agama di Malaysia tersedut dalam kerangka kaum.
Dulu kuliah Tamadun Islam, Tamadun Asia dan Kenegaraan Malaysia tidak ada. Kami hanya perlu membeli buku teks dan baca. Cukup waktu kami perlu hadir peperiksaan pada waktu yang ditetapkan. Aku tak pernah tahu sebelumnya bagaimana. Pada satu sisi kami gembira kerana kami hanya ada dua kuliah seminggu - Kalkulus Awalan (atau Kalkulus 2) dan Biologi 1 (kursus ini ada waktu amali). Tapi akhirnya kami sedar tiada kuliah itu pada sisi lain rugi kerana kami tidak berpeluang untuk berargumentasi (tapi aku tak tahu juga sama ada argumentasi akan wujud jika ada kuliah, hehe). Hasilnya, ketiga-tiga kursus itu selalunya berselang sehari jadual peperiksaannya dan kami perlu menghabiskan paling tidak 18 bab untuk 3 kursus!
Aku masih ingat kursus Kalkulus Awalan - aku dan Tariq, rakan sebilik aku sentiasa mengutip markah penuh. Mungkin kerana kami masih segar dengan Matematik dan Matematik Tambahan di waktu SPM (yang boleh dikategorikan cemerlang). Sayangnya aku lalai pada peperiksaan akhir - tapi masih cemerlang :) Untuk kursus Biologi 1 pula aku masih ingat, kami akan berkejar ke kuliah untuk merebut kerusi di bahagian depan kerana ada pelajar Pertanian, Perladangan dan Sains Kesihatan Haiwan yang turut mengambil kursus yang sama - sekitar 500 orang satu kuliah! Peringkat mulanya boleh lagi la, lepas tu hanyut - sentiasa mengisi barisan belakang!
Puncanya memang takm boleh disalahkan sepenuhnya kepada bas. Jujurnya pengangkutan di UPM sangat terhad dan kami terpaksa berebut untuk menaiki bas. Bayangkan berpusu-pusu siswi pun turut sama nak berebut. Aku dengan pakai kopiah raihan waktu tu takkanla nak berebut sama (walaupun kalau ikut nafsu tu rugila kalau tak berebut!haha). Pernah juga di peringkat awal aku dapat naik - hasilnya hanya aku dan kawan aku saja laki dalam bas dan kami terpaksa berdiri sedangkan siswi-siswi nak juga 'sardinkan' bas tu. Keputusan akhir, aku mula jalan kaki. Tapi okla, dulu naik bas sekali bayar 40 sen, tak naik tak bayar. Sekarang khabarnya kekal naik tak naik kena bayar. Tak pasti bagaimana projek berbasikal di kampus semasa aku jadi MPP dulu (2004), sama ada berjalan terus atau bagaimana.
Di peringkat awal kehidupan kampus aku masih aktif bersukan. Setakat jogging 2 kilometer tu orang utara kata 'lauk' la. Mula-mula ramai juga yang ikut, lama-lama ramai yang berhenti sebab penat balik berjalan dari kuliah dan tersedut ke arena percintaan. Kawan-kawan aku banyaknya mat Skuter, mat Muzik dan mat Sukan - dah sah-sah kegilaan awek-awek. Dan aku pulak mamat kopiah yang layan lepak dengan diorang, selain bersukan.
Masa sekolah aku main ragbi untuk negeri Perlis. MSSM 1999 buat di Shah Pekan, Pahang. Ingat masuk UPM nak main ragbi juga la, tengok-tengok ramai betul pemain Malaysia di sana - Serdang Angel sangat gahla waktu tu. Tak apa, nanti aku akan tulis pula bab aktiviti ko-kurikulum masa aku Diploma.
bersambung....
Thursday, June 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment