Wednesday, June 11, 2008

Polemik Islam Hadhari dan Politik Idea

Seorang pengunjung blog ini pernah meminta (melalui kotak bual di sebelah kanan) daripada aku untuk mengupas sikap aku bila melihat pengharaman Islam Hadhari sebagai tindakan ke belakang.

Seorang teman lama dari kelompok Telawi menulis tentang ini di UmmahOnline (sebenarnya bukanlah menyebut kelompok ini seolah ia istimewa lebih dari strata masyarakat yang lain, ia hanya rujukan kepada teman-teman di sana dan keistimewaannya adalah bersifat peribadi).

Pak Khalid semasa kami bertemu ringkas baru-baru ini, malah sebelum itu seolah meledakkan kekecewaan terpendam kepada kami tentang keterbelakangan kami (aku sendiri mungkin lebih tepat!) kerana lekas tersedut dengan budaya popular dalam menanggapi isu-isu Reformasi di Malaysia. Masakan tidak, Pak Khalid untuk aku seorang yang tabah. Tanpa obsesi politik, dia mungkin dilihat sebagai bukan ancaman dalam hierarki kuasa. Tapi Pak Khalid istimewa kerana mahu dan tanpa putus asa bertarung untuk merumuskan dasar dalam sistem rencam Parti keADILan Rakyat (PKR).

Justeru, harapnya kita faham bahawa rumusan penolakan program Islam Hadhari untuk aku dilihat dari perspektif campur tangan kekuasaan dalam ruang kebebasan individu, tidak lebih dari itu dan ia harus diperdebatkan. Sebab itu, dalam berbeza pendapat dengan pendokong program Islam Hadhari dalam tulisan berkaitan Salman Rushdie sebelum ini, aku tidak lekas menghukum Syiah kerana aspek pemikiran dan kepercayaan tidak semudah menggunakan kuasa untuk merungkai. Ia adalah sikap aku yang jelas - boleh dibaca dalam kenyataan di tepi blog ini.

Di kampus semasa menjawat kedudukan dalam organisasi mahasiswa, aku menerima program Islam Hadhari dalam konteks lain. Maksud aku realiti dunia Islam menunjukkan kenyataan bahawa ada orang memahami Islam dalam pelbagai bentuk. Dan istilah Islam Hadhari untuk aku hanyalah cubaan mewakili bentuk Islam yang bertamadun (dilihat dari konteks wujudnya mereka yang percaya kepada pendekatan Islam yang lain, bukan penafian terhadap ajaran Islam seolah ada dikotomi Islam yang mundur dan tidak). Sudah tentu aku tak mahu lekas tersedut dengan debat istilah tapi mahukan bukti konkrit dari mereka yang mahu menawarkan apa juga konsep dengan nama Islam, termasuk negara Islam. Dan debat YB Salahuddin dan YB Shahrir Samad berkaitan isu minyak untuk aku cukup menjadi tanda bahawa politik idea harus lekas mengambil tempat.

Aduh, politik idea sebenarnya akan mengangkat satu piawaian yang tinggi di mana untuk generasi akan datang, YB-YB dan kepimpinan di semua peringkat tidak boleh lagi selesa dengan politik sentimen dan adu domba seperti cerita babi dan cerita siapa lebih Islam!

Ya, tuduhan terhadap Islam Hadhari sebagai berkaitan 'aqidah juga harus konkrit. Alhamdulillah belum lagi aku dengar orang murtad kerana isytihar keluar Islam dan masuk Islam Hadhari!

Pandangan ini tidak mutlak, dan kalian bebas mengkritik - semoga iman kita bertambah baik dan Allah s.w.t. menerima kita sebagai hamba yang layak diredhai dan menghuni Jannah!

No comments:

Post a Comment