Aku setuju AUKU dirombak atau dimansuh. Pokoknya mahasiswa mesti diberi kebebasan dan sebenarnya kebebasan dari segi apa pun sentiasa difahami oleh mahasiswa bahawa ia turut mengendong pertanggungjawaban.
Tapi untuk mengatakan AUKU sebagai punca mahasiswa tolak BN, untuk aku ia boleh diperdebatkan.
Seharusnya perjuangan merombak atau memansuhkan AUKU ini dikemukakan atas prinsip yang jelas - kebebasan dan keadilan. Menjadikan AUKU sebagai landasan mahasiswa tolak BN tanpa menyatakan prinsip ini adalah tempang kerana aku tidak setuju AUKU jadi modal murah untuk 'bargaining power'. Ya, sudah tentu kita tak dapat mengelakkan ia jadi modal, tapi dengan penyataan prinsip ini, kita sebenarnya bukan sahaja mengingatkan BN, tapi juga diri kita bahawa kebebasan dan keadilan itu adalah isu penting malah tidak boleh dikompromi. Cuma mungkin pendekatan untuk menangani isu kebebasan dan keadilan ini boleh dibincangkan.
Bila bercakap soal ini, sebenarnya ia sukar, apatah lagi jika kita mahu membiarkan diri kita terperangkap dalam penjara konservatif. Konservatif bukan selamanya buruk, malah berguna dengan cara berfikir yang betul. Liberal juga tidak mutlak, tetapi juga berguna dengan cara berfikir yang betul.
Untuk aku, kita tidak harus melihat isu AUKU sekadar isu politik. Pemansuhan AUKU tidak harus jadi tiket untuk melawan kerajaan. Ia seharusnya menjadi pintu kepada kebebasan dan keadilan di kampus yang disambut dengan rancaknya wacana matang di pelbagai peringkat dan pelbagai bentuk. Jangan kita terpesona dengan tuntutan pemansuhan AUKU hanya sekadar untuk menghalalkan demonstrasi dan tunjuk rasa kerana demonstrasi dan tunjuk rasa tanpa idea pendorong akan tenggelam bila sampai waktunya.
Aku percaya dalam perkembangan dunia dan setempat, Malaysia memerlukan keupayaan kognitif yang tidak sedikit. Dan keupayaan kognitif ini tidak mungkin muncul dari sentimen Ultra Melayu, Ultra Chauvinis, Ultra Islam, Ultra Sosialis, Ultra Liberal dan pelbagai Ultra lagi.
Amerika Syarikat bukanlah penanda aras kepada kemajuan. Tapi pada tingkat tertentu dan umumnya kuasa rakyat mereka yang bebas adalah harus dipuji. Dan kini mereka telah menunjukkan kesediaan mereka untuk memungkin seorang kulit hitam menjadi Presiden terbaru mereka.
Apakah wacana untuk mengangkat selain Melayu Islam berani diangkat kepada khalayak umum di Malaysia?
Wednesday, June 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment