Saturday, August 30, 2008

Merdeka

Entah kenapa, di mana-mana kita tidak dapat melihat keghairahan sambutan Merdeka. Apakah Merdeka kali ini tiada erti? Setahu aku, tidak ada kempen senyap anti-Merdeka (maksud aku sambutannya). Atau mungkinkah kerana ianya begitu hampir dengan Ramadhan, maka ianya tidaklah disambut bagai nak rak seperti sebelum ini. Atau sebenarnya negara kita menghadapi keruncingan ekonomi sampai nak sambut Merdeka pun fikir banyak kali?

Aku percaya Merdeka kali ini disambut dengan perasaan bercampur baur - antara kegelisahan terhadap nasib negara di bawah kepimpinan yang lemah (yang menatijahkan banyak kepincangan lain) dan harapan baru Malaysia yang serba tidak pasti.

Meski Isham Rais mempertikaikan tarikh pilihan ini (khabarnya dipilih oleh mantan orang kuat Pemuda PAS, Sheikh Abdullah Fahim, datuk kepada YAB Perdana Menteri), sejarah telah menunjukkan bahawa ia adalah tarikh Pemahsyuran Kemerdekaan dilaungkan. Ya, sudah tentu pertikaian sejarah berkaitan siapa agen British, siapa agen Komunis dan sebagainya boleh dipanjangkan, tetapi suka atau tidak kita harus menerima beberapa hakikat:

i) Banyak kelompok terlibat dalam perjuangan kemerdekaan, dan kita mesti mengiktiraf peranan semua pihak.

ii) UMNO hidup dengan slogan Hidup Melayu, dan rundingan berkaitan apa yang disebut 'Kontrak Sosial' pada hari ini tidak lebih dari usaha mendapatkan persetujuan British, bukanlah semata-mata kerana prinsip yang tidak boleh dirunding.

iii) Perjuangan Merdeka lebih awal dituntut oleh kelompok lain yang kita kenal sebagai Kesatuan Melayu Muda (KMM).

iv) Perjuangan Merdeka ada melibatkan pertumpahan darah, tetapi akhirnya kita mendapatkan persetujuan dengan rundingan.

v) Kehidupan masyarakat di bawah pecah dan perintah dicipta oleh bangsa penjajah yang akhirnya dipanjangkan kepada dasar-dasar pasca Merdeka untuk tujuan murni, bukan untuk menjadikan satu kaum lain lebih mulia dari selainnya.

vi) Tuntutan golongan agamawan dan perjuangan mereka juga tidak boleh dikesampingkan.

vii)Perisytiharan Kemerdekaan harus dihormati kerana ia menjamin keadilan dan kebebasan di mana kita mengenalnya sebagai sistem demokratik. Sifat undang-undang ialah digubal, dipinda atau dimansuhkan, justeru adalah amat penting untuk kita memahami dan menjaga maslahat undang-undang bagi tujuan kebebasan dan keadilan.

Selain dari 31 Ogos sebagai tarikh memperingati Pemahsyuran Kemerdekaan, kita juga harus mula menyambut 16 September sebagai tarikh penting kerana kita harus mula menganggap Sabah dan Sarawak sebagai tidak asing bagi kita, dan begitu juga sebaliknya.

* Pernah satu waktu kawan-kawan berbincang, kita mesti merekodkan catatan sejarah Reformasi 1998-pertukaran kerajaan dari sudut yang objektif di mana pergelutan dan pergolakannya harus ditatap oleh generasi kemudian agar kita dapat menemukan pandangan yang adil terhadap sesuatu peristiwa.

No comments:

Post a Comment