Sunday, August 10, 2008

Selamat Hari Lahir Anwar Ibrahim

Selamat Hari Lahir Anwar Ibrahim.

Kau tidak putus jadi berita sejak zaman mudamu,
Waktu itu gelanggang mahasiswa adalah medan rakyat berkongsi rasa,
Dan kau anak muda yang memilih penjara kerana rasa percaya pada perjuangan.

Kemudian kau beralih arah kerana percaya pada agenda baru,
Agenda dari pemimpin baru waktu itu yang juga dulu sepertimu,
Anak muda yang petah membela kewajaran dan keadilan bangsa.

Ramai yang kecewa dan sedikit yang mahu menilai semula,
Dan kau lekas mendaki tangga harapan sebagai anak emas,
Diam-diam, rakyat yang pernah kau bela masih terus mengharap kau dapat berbuat sesuatu.

Masa beransur dan negara semakin menikmati perubahan,
Sekurang-kurangnya ia cukup menjadi tanda bahawa sesuatu sedang dilakukan,
Maka rakyat terus memberi kepercayaan.

Jatuh bangun perjalanan tidak selamanya anak emas akan boleh bersenang,
Negara diuji terlanjur sikap para Raja dan pemimpin politik mengukuhkan kuasanya,
Negara diuji ketegasan hakim sebelum pemimpin politik memastikan singa di bawah takhta dijerat.
Negara diuji skandal korupsi dan pembunuhan politik.
Dan saudara waktu itu mahu kekal bersama dia, orang yang membawa saudara ke arena politik partisan.

Lekas detik berlalu jambatan yang dibakar dibina semula,
Isu tidak selesai, isu baru yang menguasai - perpaduan Melayu katanya,
Maka rakyat masih terus memberi harapan dan BN kekal memerintah,
Ekonomi terus subur sebelum digoncang badai ekonomi dunia maka saudara teruji.

Telah tersurat dalam perjalanan sejarah negara saudara pemimpin terbilang,
Tapi saudara terbuang oleh fitnah besar mereka yang tidak takutkan Tuhan,
Mendekam di penjara tidak pernah melunturkan semangat saudara berbanding mereka yang masih muda dan beria mengungkit mereka hero jalanan waktu itu dengan indikator 2 tahun ISA.

Alhamdulillah peralihan kecil regim memungkinkan keluarnya saudara dari penjara dan beroleh hak untuk bebas dari sudut undang-undang.
Tidak lama saudara, kebusukan penipuan tidak boleh disembunyi dan rakyat memberi harapan baru untuk Malaysia dari keputusan Pilihan Raya 2008,
Maka yang di kampung tertanya-tanya gerangan apa hampir seluruh bandar seluruh negara rakyat tidak lagi mahu pada regim lama yang bertukar muka..

Hidup rakyat terus dihimpit dan jalan keluarnya bukan mudah,
Kebejatan berterusan tidak mungkin boleh diselesaikan dalam sehari atau seratus hari,
Tapi rakyat kekal boleh bersabar dan rakyat telah bersedia untuk bekerjasama untuk nilai dan harapan baru untuk Malaysia.

Maka fitnah besar muncul lagi, dan saudara mungkin diseret ke penjara,
Mujur baru lagi hakim memberi hak untuk saudara bebas sebelum dibicara,
Dalam kepayahan, pertarungan di Permatang Pauh adalah medan untuk saudara kembali ke pangkuan rakyat.

Kami meminjam masa dan diri saudara, justeru kami sedia membayarnya,
Kami tidak mahu lagi hidup dalam adu domba perkauman,
Kami tidak mahu lagi ditipu pemimpin yang rasuah dan salah guna kuasa,
Kami tidak mahu lagi pemimpin membelakangkan undang-undang,
Dan kami sedia menghumban pemimpin yang tidak kenal erti kemanusiaan.

Saudara mungkin bertuah dimunculkan Tuhan dengan kekuatan luar biasa untuk bertahan,
Saudara mungkin bertuah dimunculkan pada waktu yang diperlukan,

Sebagai rakyat, sudilah kami berpesan..bahawa amanah bukan keistimewaan tapi akan dipertanggungjawabkan.
Sebagai rakyat kami sedia berkorban untuk memastikan kami dan generasi hadapan hidup berpanduan.
Meski korban kami bukan sepenuhnya untuk saudara, kami percaya saudara akan bersama kami menuju ke depan.

Saudara Anwar Ibrahim, Selamat Hari Lahir! Terima kasih kerana ketidaksempurnaan saudara jadi asbab untuk Tuhan mengenalkan saya pada erti keadilan dan keberanian menegakkannya.

No comments:

Post a Comment