Aku agak gembira membaca artikel ini di Malaysia Today. Kegembiraan aku bukan didorong oleh rasa perkauman, tetapi hakikat bahawa 'change must come from within' atau mudahnya perubahan harus bermula dari diri kita dulu. Dalam konteks berparti ia harus bermula dari dalam parti.
Aku tidak pasti sama ada penulis tersebut wujud atau tidak tapi aku mahu ucapkan tahniah kepadanya. Kritikan demi kritikan aku pada cara UMNO sebagai parti Melayu memimpin negara ini bukanlah kerana kebencian pada bangsa aku sendiri melainkan aku melihat asal kejadian kita dari konteks yang lebih objektif.
Kita boleh tengok dalam mana-mana forum jika ada panelnya Melayu dan Cina, akan ada ciri defensif pada panelis Cina untuk mengutarakan pandangan yang mungkin sensitif untuk kita dengar, meskipun ia rasional. Ada juga kecenderungan untuk masing-masing play safe bercakap sekitar permukaan. Ada juga panelis Melayu yang lebih sudu dari kuah. Hal ini tidak membina dalam kita mahu memupuk integrasi antara kaum.
Untuk aku, dengan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, ia membolehkan kita memulakan komunikasi. Pemilihan bahasa ini tidak perlulah dijadikan pertikaian besar memandangkan ada faktor sejarah yang kita harus hormati kekayaannya. Malah kaum Cina dan India harus berasa bangga kerana mereka diwajibkan menguasai bahasa lain yang tentunya menjadikan mereka lebih potensi. Dari hal agama, Rasulullah s.a.w. sendiri menggalakkan kita untuk mengetahui bahasa lain untuk mengelakkan kita diambil kesempatan. Justeru, orang Melayu juga boleh belajar bahasa lain.
Pernah sekali di sekolah aku dulu ada pelajar 'bertekak' dengan guru Fizik kami hingga kemudiannya dia berpindah ke sekolah Cina (dan akhirnya menjadi lulusan Cambridge serta bekerja di UK. Dia memaki guru Fizik kami dalam Bahasa Cina tetapi rupanya guru kami itu memahaminya! Dalam kes lain, seorang kawan berbangsa India langsung tidak boleh bercakap Tamil! Dengar mungkin lucu, tapi bahasa mempunyai kekuatannya kerana ia mengungkap makna kepada sesuatu. Dalam kes ini, agenda memartabatkan Bahasa Melayu harus disokong dalam konteks kerja-kerja yang praktikal. Entah kenapa, dalam hal pengungkapan rasa, aku dapati Bahasa Inggeris cukup kaya - entah sama ada kesusasteraan kita akan sampai ke tahapnya yang unggul. Semasa 'Usrah - Risalah Kaum Muslimin' bersama YB Lembah Pantai, aku menikmati kekayaan bahasa Melayu dari buah tangan Prof. Syed Naquib Al-Attas.
Ramai orang Melayu hari ini menganggap apa yang diistilahkan sebagai 'kontrak sosial' sebagai muktamad (meski Prof. Diraja Ungku Aziz) berulang kali menyatakan tidak pernah wujud istilah itu dalam mana-mana bukti sejarah - terima kasih atas rasa kasih sayang kepada ilmu (yang tentunya untuk tujuan kebenaran) yang lebih tinggi daripada sentimen kaum. Ramai yang gagal melihat konteks sebelum Merdeka di mana 'give and take' muncul untuk membolehkan keutamaan Merdeka diraih.
Sudah 51 tahun negara Malaysia Merdeka, dan muda sebelumnya menjadi Malaysia dengan Singapura menjadi negara Merdeka yang asing. Beban sejarah tidak selamanya harus dicampak ke bahu generasi baru sebagai mimpi ngeri. Sebagai seorang Muslim, aku melihat agenda rahmatan lil-'alamin lebih jauh dari persoalan etnosentrik yang tak berpenghujung. Pasca era Tun Razak dan Tun Dr Ismail, aku belum menemukan permulaan yang jelas untuk Malaysia menjadi sebuah negara di mana seluruh warganya dapat hidup berkasih sayang dan berasa bangga menjadi warganya tanpa fanatik melulu. Kisah-kisah orang Cina balik ke China, orang India balik ke India adalah cebisan seruan yang tidak harus didendangkan lagi.
Suka atau tidak kita harus bermula untuk sebuah masa depan yang lebih baik, dan kita mampu untuk ini - orang Melayu harus bangga dengan khazanah budayanya yang kaya, begitu juga orang Cina dan India. Pilihlah budaya yang lebih tinggi - di mana keadilan dan toleransi yang jujur dari lubuk hati sebagai ganti sentimen budaya remah yang melihat diri lebih mulia dari selainnya. Khazanah kita tidak akan sunyi dari makna hidup yang lebih besar.
Merdeka yang ke-51, ayuh kita mulakan!
* Aku tidak berhasrat sekurang-kurangnya buat masa ini untuk mengupas perihal Bajet 2009. Bajet? Aduh..
Friday, August 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment