Sunday, August 31, 2008

Ramadhan al-Mubarak

Aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Berpuasa dan meraih berkat Ramadhan kepada seluruh umat Islam. Di awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya lepas dari siksa api neraka - siapakah dari kalangan kita yang terpilih?

Ramadhan sentiasa menggamit seribu pengertian sama ada dalam bentuk kerohanian, pengalaman dan lain-lain. Sukar untuk kita mengelak dari terkenangkan sejumlah makanan yang cukup lazat dan pelbagai saat berbuka. Sukar juga melupakan zaman kanak-kanak di mana pertarungan dengan nafsu membuak (sampai dapat upah untuk berpuasa! hehe). Di kejauhan (padahal di Malaysia lagi! hehe), teringat hal-hal sampingan seperti bermain mercun, tolong mak anyam ketupat dan bakar lemang, moreh dan lain-lain.

Ramadhan membawa sejumlah perkara untuk kita renungi antaranya:

i) Sejumlah ibadah khusus seperti zakat..
ii) Tarawikh
iii) Qiamullail, yang tentunya didorong oleh faktor Lailatul Qadar..
iv) Jangan dilupa turunnya Al-Quran di bulan yang penuh berkat ini.

Diberitakan para sahabat r.a. 'menangisi' pemergian Ramadhan. Ia tidaklah bermaksud mereka bencikan Syawal dan tidak bergembira dengannya. Ia hanyalah manifestasi kecintaan mereka kepada peluang merapatkan diri kepada Allah s.w.t..

Ada sejumlah ciri yang aku mahu tekankan dari kehadiran Ramadhan ini iaitu:

i) Bagaimana kita sebagai INDIVIDU bertanggungjawab terhadap amal kita, dan dalam gerak kerja masyarakat, kita tidak terlepas dari mendapat manfaat dan mudarat sebagai INDIVIDU. Maka, ia adalah pilihan kita sama ada untuk membaja iman atau menyemai dosa. Aku menyeru kepada diri aku dan kita semua untuk sama-sama meneguhkan diri untuk mengambil tanggungjawab khalifah ini dengan penuh rasa syukur dan terus cuba sedaya upaya untuk memperbaiki diri dan mengajak manusia kepada Allah s.w.t..

ii) Kita harus melihat masyarakat dengan penuh rasa kasih sayang dan cermin kepada diri, dan amalan yang kita sedekahkan kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk termasuk zakat ada bahagiannya untuk kita sebagai INDIVIDU. Maka, jika kita malas sekalipun untuk bekerja untuk masyarakat, janganlah kita mengelak dari tanggungjawab ini melalui cara lain misalnya zakat (walaupun kita boleh saja lari daripadanya). Aku pasti tidak ada antara kita mahu jalan hidup yang sukar dalam erti kata dihimpit kemiskinan, ditindas dan sebagainya. Justeru, kita hendaklah berusaha sedaya mungkin untuk mengelakkan nasib yang sama jatuh pada orang lain.

iii) Sebagai INDIVIDU, kita tidak sunyi dari salah dan silap terhadap diri dan orang lain. Maka, maafkanlah kesalahan saudara kita dan bertekadlah untuk memperbaiki diri. Dosa kita sentiasa dalam pengetahuan Allah s.w.t., justeru janganlah segan untuk menundukkan diri meminta belas ihsan agar kita selalu mengingati-Nya dan dikurniakan kehidupan yang memampukan kita taat kepada-Nya serta kesudahan hidup yang diredhai-Nya.

iv) Janganlah dilupakan pekerti Rasulullah s.a.w. dan mereka yang telah mengorbankan kehidupan demi meninggikan syiar Islam sebagai agama yang penuh kasih sayang dan memberi manfaat yang banyak dalam realiti jamak kehidupan. Pekerti ini bukanlah untuk sekadar diulang, sebaiknya adalah diteladani dalam amalan. Action speaks louder than words.

Dalam memaknai Ramadhan yang hadir selisih sehari dengan tarikh Pemahsyuran Kemerdekaan kita, marilah kita membebaskan diri kita dari kejahilan agar kita dapat membataskan diri kita sebagai INDIVIDU dari terus berlaku zalim, dan dengannya kita dapat mengisi keadilan di muka bumi bertuah ini dan mengembangkannya ke seluruh alam.

Amin!

No comments:

Post a Comment