Sunday, August 3, 2008

Wacana

Saat ini, mungkin YB Khairy Jamaluddin, YB Tony Pua dan YB Nik Nazmi sedang bersiap untuk duduk dalam forum penting di Persidangan Pemimpin Pelajar Kebangsaan di Hotel Nikko. Tajuk forum untuk YB dari kalangan anak muda ini ialah persoalan Subsidi. Alangkah baiknya jika YB Nurul Izzah dapat mewakili PKR di sana dan juga simbol kepentingan wanita di kalangan generasi muda.

Semalam, forum yang bertukar menjadi 'debat' antara YM Prof Diraja Ungku Aziz dan sdr Khoo Kay Peng juga menarik untuk diperhatikan, persoalan Perpaduan Nasional sebelum kemudiannya forum senget (kerana landasan tajuk dan respon audiens sebahagiannya) tentang persoalan Gender dan Agama yang sejak mula menarik persepsi dengan membariskan Puan Zainah Anwar, mantan Pengarah Sister In Islam (SIS).

Inisiatif UKEC, sejak kali pertama, dan banyak program mereka adalah cukup baik untuk aku. Undangan dari mantan Presiden UKEC, sdr Wan Mohd Firdaus aku sambut selepas program seumpamanya dan pertama tahun lepas aku gagal hadir kerana ada urusan lain.

Pandangan aku dari perkembangan ini ialah: Malaysia benar-benar berada di persimpangan baru. Kita sedang bergelut dengan 'pemikiran lama dan baru' dan ia adalah cukup baik untuk aku, dengan harapan kita tidak gopoh (baca:quick fix) dan sentiasa mahu berlapang dada serta bersabar dengan proses ini.

Masih aku ingat bila dalam program yang diselenggara oleh aku dan teman-teman di UKM berkaitan isu Ekonomi di mana perspektif Islam cuba dirujuk, ada sebilangan audiens yang tidak begitu selesa kerana katanya 'ia bersifat eksklusif' dek terma Islam yang digunakan. Untuk aku, Islam atau tidak, kita harus bermula pada landasan yang betul. Persoalan ilmu harus tidak terperangkap dengan label. Dan persoalan pandangan tidak menuntut kita wajib bersetuju malah pergelutan dengannya melalui proses soal-jawab, kritik dan sumbang saran adalah proses yang membina dunia keilmuan itu sendiri. Dan pada tingkat tertentu ia eksklusif.

Masih ada dari kalangan aktivis yang 'takut' berdepan dengan persoalan rencam dalam dunia keilmuan. Kita akan sangat bermasalah jika menganggap bahawa sesuatu yang di luar institusi usrah, atau di luar pandangan muslim (ditambah dengan dakwaan pandangan mesti muncul dari mereka yang berautoriti) sebagai tidak Islamik. Kenapa perlu takut untuk menangguhkan sikap untuk meneroka pandangan yang rencam?

Aku tidak pasti bila bermula persoalan autoritatif dalam pandangan. Hatta Rasulullah s.a.w. sangat gembira menjelaskan kepada pemuka-pemuka pandangan yang berbeza darinya (sama ada ia bersifat teks tulen, teks dalam konteks atau selainnya). Seorang teman mengingatkan aku bahawa ia muncul dari sejarah perlupusan teks-teks yang berbeza dari seorang pemuka agama di zaman lampau. Ya, aku pernah dengar tentangnya, tapi terlupa siapakah dia.

Sesungguhnya yang paling bertaqwa adalah yang paling berilmu di kalangan kita. Dan ilmu itu adalah milik kita (muslim dan mukmin), di mana saja kita temui, kitalah yang paling berhak untuk mengambilnya - sama ada dari seorang kafir, fasiq atau munafiq.

No comments:

Post a Comment