Ampun Tuanku!
Patik membaca berita mengenai kenyataan Tuanku di Malaysiakini.
Maka patik memohon sikap yang lebih jelas dalam hal mendaulatkan Bahasa Melayu serta perkara-perkara lain sebagaimana dalam peruntukan Perlembagaan dan juga bidang kuasa Tuanku.
Adapun patik ingin membuat pengaduan bahawa emosi orang Melayu sebenarnya lama telah diguris oleh orang Melayu sendiri yang rasuah, merompak harta rakyat hatta harta dari perumahan rakyat termiskin.
Justeru, sebagai seorang Melayu, patik tidaklah nampak bagaimana rasa terguris patik kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ini melainkan mereka ini sebenarnya lebih banyak didokong oleh orang Melayu sendiri sebelum ini.
Patik hanya sedar bahawa Melayu yang menyokong mereka sama ada gilakan pangkat, kontrak atau mereka yang tidak berfikiran terbuka kepada pandangan lain kerana telah disogok dengan media yang tidak bebas dan dilindungi oleh penghakiman yang diragui.
Ampun Tuanku!
Patik berpendapat sistem di Malaysia dilaksanakan secara pincang dalam kawalan. Sayugia patik berpesan kepada diri patik dan kita semua bahawa sifat busuk itu meskipun mahu dilindungi, baunya akan merebak nanti...
Janganlah sampai Melayu ini jadi bangsa yang hina kerana Melayu ini tidak pandai berpesan-pesan untuk kebaikan dan berani menolak kepalsuan, kezaliman dan penyelewengan.
Ampun Tuanku!
Wednesday, November 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment