Saturday, March 7, 2009

Membela Gerakan Mansuhkan PPSMI

PPSMI: Apa yang mereka bebelkan?

Saya fikir bukan saja saya, malah ramai lagi di luar sana tidak sangka dengan cara pihak polis melayani peristiwa 7 Mac di ibukota – perarakan menghantar memorandum kepada DYMM Tuanku Yang Dipertuan Agong menggesa pemansuhan Dasar Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Laporan media arus perdana milik pemerintah sejak mula memberi gambaran negatif dan ia boleh dilihat di media internet dan pada hari ini (8 Mac) di media cetak. Semalam, media televisyen juga menggasak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Apa yang mereka kata harus kita jawab.

Menteri Pelajaran kata kenapa baru sekarang?

Menteri Pelajaran tidak harus jadi bongok. Prof. Shaharir Mohd Zin telah menjelaskan bahawa penentangan ini telah pun dinyatakan sekian lama namun media tidak pernah mahu memberikan keadilan kepada usaha ini.

Sementelahan pula, Menteri Pelajaran sendiri memohon ruang membuktikan bahawa dasar ini akan berjaya. Dalam tempoh itulah, pelbagai siri penyelidikan dijalankan oleh pakar-pakar berkaitan dalam bidang ini dan dapatan daripada penyelidikan ini cukup untuk menunjukkan bahawa dasar ini gagal dan ia sepatutnya dimansuhkan!

Lebih besar daripada itu, tanpa penentangan sekalipun, Menteri Pelajaran yang datang kononnya daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaysia (UMNO) harus sedar bahawa perlaksanaan dasar ini bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia!

Ketua Polis kata kenapa demonstrasi dan perarakan?

Ini satu lagi kenyataan yang bongok. Apabila Istana memberikan perkenan untuk menerima memorandum ini, ia sudah cukup untuk memberi isyarat bahawa usaha ini akan berlaku secara aman. Rakyat tahu apa yang baik untuk dilakukan dan peringatan telah diberikan dalam notis-notis PPSMI berkaitan etika semasa seluruh proses ini berjalan.

Yang tampak jelas ialah kesesakan berpunca dari pihak polis yang mengadakan sekatan jalan raya hampir di seluruh jalan menuju ke Kuala Lumpur yang mengganggu kelancaran orang ramai untuk bergerak. Selain itu, pihak keselamatanlah yang bertindak ganas menyembur gas kimia hatta sampai ke dalam masjid semata-mata untuk menggagalkan perarakan ini.

Pihak polis mungkin lupa bahawa merekalah yang menetapkan perhimpunan hanya boleh dibuat di Masjid Negara. Sepatutnya mereka membenarkan orang ramai bergerak ke sana hingga ke Istana.

Pihak polis bukan tidak maklum bahawa di mana-mana telah dinyatakan perarakan ini mensasarkan 100 ribu rakyat. Justeru, adalah satu tindakan bodoh untuk menggambarkan kepada umum bahawa ia adalah perhimpunan haram.

Tindakan polis menutup jalan adalah tanda bahawa jalan tertentu tidak akan dilalui oleh kenderaan, justeru orang ramai memenuhi sebahagian jalan ini.

Menteri Pelajaran kata bermotifkan politik dan TV3 kata kerana ada beberapa pemimpin pembangkang yang turut hadir.

Ya dan tidak.

Memang perarakan ini bermotifkan politik kerana:
1. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan jelas memerlukan tindakan orang politik untuk bertindak yang sesuai dengannya.
2. Dasar PPSMI digubal oleh orang politik yang buta Perlembagaan Persekutuan dan tidak pernah memikirkan nasib anak bangsa khususnya di luar bandar.
3. Pada tahun 2002, Menteri Pelajaran sendiri pernah mencabar usaha memansuhkan PPSMI ini mesti ditunjukkan di peti undi pada tahun 2008.

Gerakan ini tidak sepenuhnya bermotifkan politik kerana:
1. Gerakan ini menyertakan kajian-kajian yang banyak dibuat selepas dasar ini diluluskan. Saya ingin mengulang cabaran Puan Ainon Mohd, “di mana kajian-kajian mereka yang mendokong PPSMI?”
2. Gerakan ini meliputi semua sektor dalam masyarakat yang perihatin. Sekiranya orang politik bersetuju dengan objektifnya, mereka juga boleh ikut serta. Hakikat bahawa Menteri Pelajaran memperkecilkan gerakan ini cukup untuk menunjukkan bahawa ada orang politik tidak bersetuju dengan gerakan ini.

“Surat-surat penonton di TV3” mengecam Gerakan Mansuhkan PPSMI dan nyatakan ia bagus.

Dasar mana-mana pun ada yang akan berjaya. Hakikatnya, di mana kajian yang lebih besar persampelannya?

Berlaku adillah bahawa ada jurang yang besar dalam dapatan kajian di bandar dan luar bandar.

Berlaku adillah bahawa dasar ini juga dijalankan tergesa-gesa kerana hakikatnya ramai guru yang tidak bersedia dan ia memberikan kesan besar kepada pencapaian murid.

Berlaku adillah bahawa usaha kerajaan tidak cukup untuk mendaulatkan Perkara 152 berkaitan bahasa Melayu!

Lebih memalukan mendengar pembelaan terhadap bahasa Inggeris sedangkan GMP tidak pernah memusuhi bahasa Inggeris. Hakikatnya bahasa Inggeris boleh terus diajar dan mekanisme terbaiknya ialah melalui sastera! Tidaklah diketahui bahawa graduan TESL perlu mengambil kursus khas Sains dan Matematik untuk menjadi guru bahasa Inggeris yang baik!

Lain-lain

Saya melihat penggubalan dan pembelaan dasar PPSMI adalah bermotifkan politik kepentingan peribadi dan kroni.

Saya mencabar Menteri Pelajaran untuk membentangkan ke mana habisnya peruntukan yang ada untuk menggerakkan dasar ini dan siapakah yang mendapat bahagian daripada kontrak-kontrak yang diberikan.

Saya mencabar Menteri Pelajaran untuk menunjukkan bahawa bahan bantu mengajar dalam bentuk CD khususnya adalah berkualiti dan mencapai piawai yang sepatutnya.

Saya juga mahu bertanya di mana NGO-NGO dan pertubuhan yang konon diasaskan untuk membela kepentingan Melayu berasaskan Perlembagaan Persekutuan?

Katakan saja bahawa pembelaan anda hanya ada bila ia melibatkan kepentingan politik UMNO. Pada anda semua yang UMNO buat itu untuk Melayu dan saya mahu katakan bahawa anda silap besar.

Sikap keangkuhan yang ada pada anda akan dihukum sedikit masa lagi wahai hipokrit sekalian!
__________________________________________________________
Amin Ahmad, 27 ialah mantan pimpinan pelajar di UPM. Beliau percaya bahawa Bahasa Melayu mesti didaulatkan di samping bahasa Inggeris terus dipelajari dan bahasa ketiga khususnya Arab, Cina dan Tamil diusahakan oleh kita semua.

* Jangan lupa baca 6 soalan untuk Datuk Zaid Ibrahim.



5 comments:

  1. Bravo, brother amin.
    kerana kebodohan pemimpin, maka anak muda melayu jadi mangsa. siapa mahu tanggung anak-anak yang sudah tak minat sains dan matematik?
    sungguh tergesa-gesa. tiada pelan yang baik.memburukkan prestasi anak-anak. apa lagi mahu dikata? kalau mata hati sudah buta, katalah apa pun, tak lekat punya. hanya mereka sahaja yang betul. dah nampak kesan buruknya pun, masih butakan mata. hmpph!!

    ReplyDelete
  2. bila amin dah membebel habis la kn..semua dia bantai.Hehehe.

    Polis memang bongok dan juga si bahalul menteri, hisyamuddin.

    Thanks amin..kupasan menarik.

    ReplyDelete
  3. orang mamai ni kadangkala kita perlu ketuk sikit.

    cakap baik2 mereka ingat kita ni lembut dan boleh diperolok!

    ReplyDelete
  4. salam

    sabtu lepas memang gila

    terutamanya pihak polis

    melihat mereka menyembur masjid negara dengan mata sendiri

    saya termenung

    apa sudah jadi dengan mereka dan orang atas mereka terutamanya?

    dan di sebelah malam

    menonton kesombongan KPN dan menteri pelajaran

    memang mengecewakan

    masih tak mahu berubah!

    ReplyDelete
  5. Yang penting kerajaan kena daulatkan bahasa Melayu. Jangan beri peluang bahasa asing ambil peluang untuk menidakkan bahasa Melayu di negara ini.

    ReplyDelete