Tuesday, March 10, 2009

Tentang Skema dan Minta Maaf

Seingat aku perihal minta maaf ni aku belajar sejak kecil. Sebati dah. Oh ya, memang sejak dulu meskipun aku nakal, aku tak dapat mengelak dari 'konon' berbudaya. Kalau jalan depan orang tua mesti nak tunduk sikit sambil tangan ke depan macam minta izin lalu. Aku perasan benda ni masa aku sekolah rendah, lalu depan cikgu yang dok sembang tepi koridor...hurm, tapi sebab benda tu dah macam kebiasaan, aku buat. Bila dah besar sikit ni masih ada saki baki 'berbudaya' ni.

Selain dari itu, masa sekolah rendah kami (atau aku saja?) memang dah terbiasa jumpa cikgu bagi salam. Tapi bila masuk sekolah menengah aku amal jugalah cuma tak macam sekolah rendah. Puncanya, cikgu-cikgu sekolah menengah ni sebahagiannya kerek. Bukan setakat tak jawab salam (atau mungkin mereka jawab dalam hati), tapi muka tu ketat je. Depa ingat aku bodek atau skema terlebih kot? haha

Oh ya, semalam kawan aku tanya skema tu apa ya? Pergh, susah nak jawab tu. Apa ya? Aku malas nak rujuk kamus untuk menulis ni dan masa kawan aku tanya tu pun kami atas motor. Biasalah malam-malam keluar borak hal hidup di mapley terdekat - Azwath Equine Park.

Aku cuba ingat konteks guna kata skema ni dan terlintas di kepala otak - skema jawapan. Oh, aku rasa skema ni mungkin orang yang jenis ikut peraturan kot, atau lurus? Oh, jika begitu aku ni kategori separuh skema la...sebab ada hal-hal aku memang ikut peraturan dan kebiasaan, tapi ada hal-hal pergi mampus la. Aku rasa hampir semua orang pun macam tu kot? Tapi dari segi imej semasa, mungkin aku ni boleh masuk kategori skema. Hurm, mungkin aku skema ala-ala Rivers Cuomo kot? hehe..

Ah, untuk aku kau nak jadi apa pun jadilah. Kau ada otak, kau ada akal. Fikir dan pilih. Jangan buat jahat kat orang sudah. Kau nak melingkup pun kau boleh pilih tapi jika tanya aku, tentu saja aku tak mau kau melingkup sebab garis prinsipnya kita sama - ada potensi. Kau nak gilap ke mana itu kau pilih. Dari sekurang-kurangnya 8 jenis kebijaksaan manusia dalam teori, mesti ada yang kau mampu.

Aku syukur jumpa dan kenal ramai orang. Macam-macam perangai dan identiti. Dan aku syukur terlibat dalam bidang latihan (err, nak kata lama ada lagi yang laaagi lama!). Tapi pendek kata aku jumpa macam-macam karenah. Di sana aku temukan hidupnya pesan-pesan wahyu dan fungsi akal. Skema atau tidak dah tak jadi isu untuk aku sebab pada aku yang lebih penting sekarang apa yang kita buat untuk diri dan orang ramai.

Ada pendapat kata selesaikan masalah diri sendiri dulu baru boleh tolong orang. Aku percaya tak semestinya. Sebab itu kalau ikut Teori Maslow, para sahabat Nabi s.a.w. tak ikut hierarki yang ada pada tiap masa. Mungkin tergantung pada konteks. Ini bukan bermakna Teori Maslow salah. Teori dalam sains sosial, kalau kau buat ujian Cronbach Alpha dan segala jadah Kebolehpercayaan dan Keabsahan - kau tak mungkin dapat angka sempurna 1. Malah dalam pembentukan soalan borang soal selidik pun kau tak mungkin boleh terus ke langkah seterusnya jika dapat 1 (yang bermaksud semua soalan tu punya erti yang sama). Pendek kata 0.7-0.9 tu dah kira ok...kalau terlalu hampir kepada 1 ia mungkin akan dipertikai.

Oh, terlalu skema kah penulisan ini?

Sebenarnya aku hanya nak argue tentang orang-orang praktikal yang menolak teori. Sebenarnya tak ada hitam dan putih - ia banyak bergantung pada konteks. Sama macam isu ekonomi antara ekstrim kanan dan ekstrim kiri - dan mungkin sebab ni Keynesian jadi lebih popular berbanding yang lain. Mungkin!

Dalam hal manusia berbeza pendapat, kita akan buat salah. Maka maaf berfungsi. Memang tercatat dalam firman Tuhan bahawa memaafkan itu lebih baik. Sebab itu aku suka kawan-kawan yang belajar menutur maaf. Ia tidak semudah yang disangka kerana manusia ada ego. Tapi ego ni sering dibiar jadi id, bukan sekadar superego lagi dah! Cewah, itu terma-terma Sigmund Freud dalam psikologi.

Aku selalu percaya manusia yang belajar menutur maaf dan berusaha sedikit demi sedikit memperbaiki diri adalah mereka yang wajar diberikan ruang yang banyak malah dipimpin - maksud aku support system - untuk dia merasa diri sebagai manusia. Siapa yang tak mahu dan kental egonya, aku tak boleh kata apa. Ego tetap ada baiknya jika diletakkan pada tempatnya.

Kenapa manusia sukar menutur maaf? Sebab maaf itu sering digambarkan orang ramai sebagai kalah dan salah. Pada aku tidak semestinya. Jika kau benar sekalipun kau harus belajar menutur maaf, mungkin kerana apa yang kau faham sebagai kebenaran itu tidak sama dengan orang lain, maka kerana salah faham itu kau berkeras dan sebagainya.

Hidup penuh kasih sayang, gurau senda dan maaf memaafi...aku percaya ia membantu untuk sebuah hidup yang sihat. Marah dan kecil hati tidak salah, tapi kenapa perlu biar ia jadi dendam yang dalam?

Ah, apahal aku sentimental ni? Dah, buat kerja!

No comments:

Post a Comment