Selepas perubahan politik Malaysia pada 8 Mac 2008, ada teman kami berseloroh "alamak, aku kena sokong UMNO pula lepas ni, dah terbiasa membangkang...tak reti nak jadi kerajaan". Kami hanya ketawa. Jujurnya, dari kalangan teman-teman politik yang rapat dengan aku, kami selalunya tidak fanatik, kerana kami tak pandai menjatuhkan hukum kepada orang. Tapi kami selalu akan cuba mengolah persetujuan dengan cara yang pelbagai.
Kemenangan parti-parti dari Pakatan Rakyat bukanlah tidak menatijahkan keburukan. Dan ia adalah sebahagian proses untuk pembentukan sistem kemasyarakatan yang baik. Dan tidak semuanya keburukan ini datang dari parti, sebahagiannya dari pengikut, dan sebahagiannya lagi dari rakyat sendiri. Itu belum dikira dengan usaha pihak lawan!
1) Projek babi - meskipun untuk aku justifikasinya agak kuat di mana perihal alam sekitar, dengan dana yang diperoleh dari Bangsa Bersatu serta mengoptimumkan kualiti dan fungsi tanah serta bahan buangan, ia adalah projek yang baik. Tapi ia gagal memahami bahasa politik, maksud aku politik Malaysia. Dalam hal ini aku tak mahu salahkan sesiapa apatah lagi secara peribadi TS Khalid pernah berseloroh dalam satu program ekonomi di mana aku menjadi moderator forum, "Saya rasa lega sikit dapat berucap hal yang saya punya pengetahuan dan kemahiran, serta kurang politiknya".
2) Pakatan Rakyat sebenarnya untuk aku wujud sekadar untuk menafikan pemerintahan semula BN di negeri-negeri terbabit. Meskipun ini boleh dilihat sebagai agenda bersama dan aku fikir berasaskan prinsip yang betul - untuk keadilan, parti-parti yang terlibat aku lihat kurang mengadakan program-program yang lebih bersifat fundamental untuk menggerakkan kerjasama ini secara jelas. Sebab itu, sebagaimana telah sekian lama, hatta dalam gerakan pelajar sekalipun, mereka akhirnya cenderung gagal dan letih melayan suara-suara tuntutan pengikut mereka. Di pihak pengikut pula, ada semacam rasa terburu-buru, kononnya ini adalah prinsip. Untuk aku, baguslah bagi jawatan untuk mereka yang terburu-buru ini. Nak juga lihat silat mereka dalam politik rencam ini.
3) Media - aku fikir tidak cukup sekadar boikot media arus perdana, di mana media Pakatan Rakyat? Pakatan Rakyat tidak boleh hanya bersandar kepada kemudahan internet meskipun di lokasi bandar ia mudah diakses. Media boleh membantu mengajar rakyat membiasakan diri dengan situasi setuju untuk tidak bersetuju.
4) Ketua Pembangkang - aku kesian tengok Kak Wan. Pendokong parti terlalu melihat i) sosok DS Anwar ii) fanatisme kepada parti. Sepatutnya Ketua Pembangkang harus lebih ditonjolkan. Dahlah tak ada media, dalam blog pun macam tak ada! Sebab itu aku rasa Lim Kit Siang adalah sosok Ketua Pembangkang terbaik, tetapi telah dimanipulasikan oleh ramai (baca:UMNO) sebagai sosok bukan Melayu yang bila-bila masa akan mengancam Melayu.
5) Harta Rampasan Perang - ia hanyalah analogi. Baik PKR, PAS atau DAP, aku tak berapa nampak kerajaan-kerajaan negeri menunjukkan semangat Pakatan Rakyat sebaliknya masing-masing lebih nak tonjolkan parti mereka yang mampu memimpin.
Aku sebenarnya kini agak jauh dari lingkungan parti politik. Tapi insyaAllah sekali sekala berhubung juga bertanya khabar. Dan insyaAllah biasanya sebahagian yang aku tulis di sini telah aku sampaikan. Begitu juga kawan-kawan UMNO. Untuk aku, politik Malaysia harus diberi nafas baru. Sebagai generasi muda, aku tidak mahu lekas terperangkap dengan sepak terajang politik bosan di mana siapa naik siapa turun jadi perkiraan utama sepanjang masa. Ya, ia penting, tetapi idea juga perlu.
Aku bukanlah orang yang punya banyak idea, apatah lagi idea politik bukanlah mudah kerana perkiraannya banyak - dari bab mengekalkan kuasa, ia menyangkut bab persepsi. Dari bab persepsi ia melibatkan seluruh sektor yang membentuk persepsi. Tapi aku percaya idea-idea untuk kebaikan negara di peringkat mikro cukup banyak, jika tidak makro. Pokoknya, generasi muda seperti aku tidak mahu negara ini diwariskan secara cincai dan isu-isu yang tidak fundamental tidak diselesaikan sebaiknya setelah 50 tahun merdeka, malah hampir tidak ada usaha yang jelas untuk itu.
Aku kemudian bertanya "Siapa dari Pakatan Rakyat elok jadi Perdana Menteri - Anwar, Hj Hadi atau Kit Siang?"
Jawab teman aku "Lim Kit Siang!"...
Dan kami pun ketawa ...
Saturday, June 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Saya puas membaca entri ini.
ReplyDeleteterima kasih sifu PTS kerana sudi berkunjung..
ReplyDeletebloggers byk peranan..walaupun ada kalanya syok sendiri, tapi itu lebih baik dari sokong membawa rebah..