Sunday, August 17, 2008

"Melayu!" kata UMNO

Aku hanya pernah sekali ke BTN dan waktu itu teman-teman melantik aku menjadi Imam di surau di mana tanggungjawab aku menguruskan solat 5 waktu dan juga memastikan semua bersedia untuk solat jemaah serta hadir semasa sesi tazkirah.

Oleh kerana aku imam, hadir dalam program khusus untuk membentuk 'fikrah' politik UMNO-BN, maka tiba-tiba pegawai bertugas di sana bercerita soal Assobiyah, dengan menyatakan ia tuduhan yang salah. Dia cuba menguatkan dakwaannya dengan meminta persetujuan dari aku "Ustaz, apa maksud Assobiyah tolong bagitau kawan-kawan".

Aku bukan ustaz (dalam faham kita bahawa ia adalah gelar bagi guru agama, bukan Encik ya!), tapi aku mengagak dia mengharap aku menyantuni dengan kupasan Assobiyah dari pandangan Ibnu Khaldun. Tapi aku mahu memetik sumber yang lebih baik iaitu ketika sahabat Rasulullah s.a.w. menyoal Baginda s.a.w. apa erti Assobiyah di mana Rasulullah s.a.w. sebelumnya bersabda mereka yang berjuang dan mati kerana Assobiyah s.a.w. bukan dari golongan Baginda s.a.w..

Menjawab soalan para sahabat r.a. "Assobiyah beerti mereka yang menolong saudaranya dan pada masa yang sama menzalimi orang lain". Jawapan aku disambut dengan muka cuka dari pegawai tersebut.

Esoknya aku ditugaskan membentang isu Melayu-Islam di kampus. Kataku, pertamanya kita mesti mampu memahami dalam konteks Perlembagaan bahawa Melayu itu adalah mereka yang berbahasa Melayu, mengamal adat budaya Melayu dan beragama Islam. Dalam konteks ini kita harus faham bahawa Ah Chong dan Ramasamy juga boleh berbahasa Melayu dan mengamal adat budaya Melayu, cuma mereka tidak beragama Islam. Justeru, pemboleh ubah sama ada mereka Melayu atau tidak disandarkan kepada Islam. Tetapi ada isu lain - bagaimana jika seorang Melayu itu murtad? Jadi bangsa apa dia? Maka aku katakan - tafsiran bangsa Melayu adalah cukup longgar.

Kedua, aku tegaskan bahawa tidak ada dari kita yang minta dari Tuhan untuk dilahirkan sebagai Melayu. Akal waras mengatakan, jika Ah Chong dan Ramasamy tahu akan dilahirkan di Malaysia dengan Dasar Bumiputera, maka mereka juga mahu jadi Melayu. Ah Chong dan Ramasamy tidak minta dijadikan selain Melayu! Asas kemanusiaan ini harus difahami kerana hatta jenazah Yahudi sekalipun menerima hormat dari Rasulullah s.a.w.. Ketaqwaan sebagai kayu ukur membeza kualiti manusia bukanlah sekadar pada syahadah tetapi bagaimana seluruh hidup kita dihadapkan pada kelurusan petunjuk wahyu. Peristiwa Rasulullah s.a.w. meruntuhkan tembok dasar yang menjadikan satu bangsa atau kabilah lebih tinggi dari yang lain ini telah membawa revolusi yang cukup besar terhadap kehidupan jahiliyah. Maka kerana itu, selepas wafatnya Baginda s.a.w., janganlah kita berbalik kepada jahiliyah.

Ada orang politik yang terkenal dengan sumpahnya. Hatta bertukar parti juga konon kerana idealisme perjuangan. Dia mahu mengalih pandangan umum kini bahawa isu yang dibawa adalah isu Melayu walhal pertukaran baju perjuangan adalah konon atas melawan rasuah dan percaya Perdana Menteri tegas melawan rasuah. Kita harus tanya dia - apa sikapnya terhadap rasuah yang melibatkan Perdana Menteri dan juaknya kini? Di mana suara Ezam?

Khabarnya Ezam bersuara dalam kes Sumpah Saiful. Ya, saudara Ezam, ia bukan mudah tetapi ia banyak kali dilakukan sebagaimana telah ditulis bahawa semua kenyataan di mahkamah adalah didahului dengan sumpah dan saudara juga telah biasa dengan sumpah ini. Saudara tidak perlu mencabar DS Anwar, sama seperti Tun Dr Mahathir kerana jika benar ia persoalan jenayah, maka biarlah institusi perundangan jadi medan bicara. Cakap saudara bahawa medan perundangan tidak memadai adalah cakap mereka yang terdesak.

Saudara adalah salah seorang yang disoal polis. Saudara juga adalah salah seorang yang bakal diheret ke mahkamah nanti jika perbicaraan akan diteruskan. Saudara diam dan jadi penakut untuk mengulas bukti-bukti hospital dan bagaimana teruknya kes tuduhan liwat ini dikendalikan. Ini yang saudara kata kekal menentang korupsi dan salah guna kuasa?

Dalam Islam kita ada persoalan jenayah untuk dibicarakan. Dan seorang Melayu yang jujur akan faham konteks Melayu yang telah dibicarakan di atas ini. Berhentilah berpura-pura saudara Ezam. DS Anwar tidak akan cuba memenangi Pilihan Raya dengan cara terdesak untuk ikut sama bersumpah jika itulah jalan politik yang selamat baginya. Itu sudah cukup menunjukkan bagaimana ketakutan kepada Allah s.w.t. harus mendahului perhitungan manusiawi seorang Islam.

Semoga saudara ingat, sebagaimana dakwa saudara - mengkhatamkan Al-Quran di dalam ISA yang saudara banggakan itu. Aku hanya mahu memetik sebahagian darinya buat peringatan saudara.

Aku Melayu dan ia tidak menjadikan aku merasa lebih mulia dari selainku meski ada rasa bangga dengan kekayaan khazanah budaya Melayu.

4 comments:

  1. sbnarnya aku amat khuatir apabila semngat ketuanan dan hak melayu ini ditiupkan,apa kata bangsa lain(walaupun mereka seakan diam)?dan utk siswa-siswi uitm yg berdemo itu tidakkah mereka tahu yg apabila masuk ke alam kerja nanti bagaimanakah mereka akan berinteraksi dgn bangsa lain.fahaman racist ini aku kira kita kena hapuskan.

    ReplyDelete
  2. saya fikir isu utama yang perlu dijelaskan ialah keadilan untuk semua dan indikator awal ialah dengan dengan mengendurkan malah bergerak ke arah penghapusan rasa 'lebih mulia berasaskan bangsa dan agama'..jika ada sekalipun, ia harus jadi pegangan dalam wilayah peribadi dan sudah tentu 'mulianya' itu harus dijelmakan dalam bentuk keadilan untuk semua.

    entah apa perasaan mereka saat mrsm di terengganu ditutup pada 1999..hanya kerana pegangan politik! ini melayu kategori bangsar barangkali! saya jarang berlaku kasar tapi jika itu bahasa yang boleh memahamkan mereka, maka itu bahasa yang akan saya guna.

    ReplyDelete
  3. salam Bro...

    Hanya Ketuanan Islam penyelamat dunia dan akhirat..Wallahualam

    ReplyDelete
  4. Ketuanan Islam itu tidak harus indah di madah semata-mata melainkan diterjemah. Dalam konteks kita bagaimana? Sejak bila Islam memberi keistimewaan kepada bangsa? Sejak bila juga Islam menyekat wacana terbuka seolah2 Islam tidak ada daya saing dalam hujah?

    ReplyDelete