Sunday, August 24, 2008

Perhentian

Berakhir sudah semalam Akademi Merdeka 2008. Sebahagian rakan-rakan yang cenderung Marxis berasa tergugat dan kelihatan hampir runtuh pegangan mereka. Sebagai manusia yang menghargai kebebasan, bukanlah tugas aku untuk ubah pegangan orang kepada sesuatu melainkan menawarkan pilihan untuk mereka berfikir.

Alhamdulillah ada bibit penjernihan pandangan terhadap idea libertarian juga kepada kelompok yang berminat dengan dakwah Islam. Mereka yang sebelum ini neutral juga melihat bahawa libertarian sekurang-kurangnya telah membawa mereka beranjak dari pandangan melulu terhadap konservatif.

Kebetulan di tempat yang sama adalah seminar PUM untuk menangani gejala Islam Liberal, dan kami bertemu kenalan baru dengan mengambil kesempatan bertukar pandangan untuk menjernihkan kegopohan pandangan aktivis dakwah Islam terhadap idea-idea yang dilihat datang 'dari luar pandangan Islam' dan begitu juga pandangan keterlaluan mereka ini terhadap penampilan Islam (dalam kes ini sudah tentu kami membela pandangan libertarian). Ada kata putus yang jelas dari perbincangan kami di meja makan meski di luar skop libertarian, aku sendiri mempunyai beberapa persoalan untuk diajukan kepada ustaz PUM tersebut (hanya saja menghormati skop perbualan kami saat itu).

Libertarian bukanlah pandangan agama, ia lebih kepada alat berfikir dan bertindak serta untuk aku, ia lebih dekat dan cocok dengan pandangan Islam. Tempoh program membawa aku untuk melayani maklum balas bertubi-tubi dari mereka yang cenderung aliran Marxis, aktivis dakwah dan mereka yang neutral (bukan centrist! tapi tak ada sikap langsung terhadap mana-mana ideologi).

Kursus singkat dan lebih kepada pengenalan ini adalah perhentian awal terhadap usaha panjang mengajak umat menghormati dan menghargai ilmu melalui pergelutan di dalam dunianya.

Program kami berakhir dengan Seminar Kedaulatan Undang-Undang yang membariskan YM Raja Aziz Addruse, Prof. Abdul Aziz Bari dan Prof. Shad Saleem Faruqi. Sebahagian dari komentarnya di sini.

Ada berita yang mengejutkan kami - Tunku Aziz (Transparency International) masuk DAP! Lalu lekas aku jelaskan apa yang boleh difahami dari tindakan ini - ia mungkin tidak bersifat ideologikal, tetapi ia lebih kepada menangani isu asas yang tidak selesai di Malaysia - bahawa orang Melayu-Islam boleh saja bersama DAP yang dilihat sebagai sebuah Parti Cina.

Harapan Baru untuk Malaysia!

4 comments:

  1. sebetulnya progam tersebut telah 'membawa pening lalat' kepada saya.
    seusai habis pada pukul 5 petang semalam (lebih kurang) saya jadi tidak tahu arah ke mana hendak di tuju (mujurla UPM hanya sekangkang kera dari sana).
    di tambah dengan perbincangan dengan en.wan saiful dan adik khairul (dari malaysiakini saya agak) betul2 terkesan dalam hati saya.
    saya amat berharap dapat terus berhubung dengan mereka kerana terlalu banyak persoalan yang ingin saya ajukan...
    bagi saya, ia amat menarik untuk difikirkan..
    apa - apa pun saya juga melihat libertarism adalah satu alat yang boleh digunakan untuk memakmurkan lagi 'percampuran' kaum dan pemikiran yang ada di Malaysia ni.
    jika ia menjadi keperluan.

    ReplyDelete
  2. lihatlah dunia tuhan ini dengan jiwa yang seluas luasnya.

    ReplyDelete
  3. Tuan Amin yang saya hormati ilmunya,

    Saya menyokong orang-orang Melayu masuk DAP. Sangat saya sokong!

    ReplyDelete
  4. Puan Ainon,

    Ilmu saya tidak banyak mana, tapi saya diajar (oleh kawan-kawan yang cenderung disebut sebagai 'Barat') bahawa apa yang kita kongsi adalah lebih baik dari apa yang kita miliki (it's not how much we have, but how much we share). Sudah tentu dalam proses kongsi ini akan menemukan kita dengan pelbagai jama' pandangan yang menuntut kesabaran dan kemampuan untuk memberi artikulasi pandangan yang membina - dan self sufficient ini saya lihat sebagai satu tuntutan dari erti hidup beragama.

    Solehati,

    Rasa 'pening lalat' itu penting kerana inkuiri itu membawa kepada pencarian. Akhirnya menjadi tanggungjawab individu untuk memperkasakan dirinya - dan ia akan membantu mengukuhkan maksud firman Allah s.w.t. - i) setiap dari kamu adalah pemimpin ii) dan juga dosa tiap dari kita tidak ditanggung oleh yang lain.

    Terlalu banyak persoalan yang mahu diajukan adalah resam kepada upaya mencari kebenaran.

    Adik Khairil barangkali - setahu saya dia pelajar A Level dan tidak pula diketahui hubungannya dengan Malaysiakini (mungkin pelatih?)

    ReplyDelete