Wednesday, August 27, 2008

Projek Kita

Dikhabarkan DS Anwar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dari Permatang Pauh di Dewan Rakyat sekitar jam 10 pagi tadi. Ini tentunya menarik kerana beliau akan terlibat dalam perbahasan belanjawan dan juga Akta DNA yang dilihat sebagai usaha terdesak kerajaan untuk memerangkap beliau.

Projek 3P - Permatang Pauh - Parlimen - Putrajaya ini adalah projek politik. Sebagai ahli politik, tidak salah untuk mereka bercita-cita menjawat kedudukan lebih tinggi selagi mana prinsip keadilan dapat ditegakkan. Dan ia tidak mudah, malah cukup rumit dalam konteks prosesnya.

Projek kita sebagai rakyat? Pasca PRU-12 dan PR Kecil Permatang Pauh, untuk aku keutamaan yang perlu kita tumpukan ialah:

1) Perpaduan

Terlihat isu perkauman cukup membara di Malaysia di mana perspektif dan kupasan yang dibuat media dan maklum balas rakyat menunjukkan ada yang tidak kena dengan cara kita hidup bermasyarakat. Ini bukan hanya untuk Melayu khususnya UMNO, tetapi juga kepada kaum-kaum lain - di mana sentimen masyarakat kelas kedua meskipun ada justifikasi pada tahap tertentu, ia tidak harus digeneralisasi secara berlebihan. Bahasa Melayu harus kekal sebagai Bahasa Kebangsaan dan ia wajib dipelajari hingga mahir untuk membolehkan tahap perkongsian yang lebih baik dapat dibuat. Sudah tentu aku berharap persoalan integrasi lebih bermakna, polarisasi cukup jelas sehingga perkongsian hampir tidak jelas.

2) Integriti Sistem dan Penggerak Sistem - Kesaksamaan di Mata Hukum

Integriti adalah cermin karakter yang boleh dipertanggungjawabkan. Justeru, jenayah dan salah laku harus diperangi berasaskan peruntukan undang-undang yang bebas dan adil serta dilihat begitu. Badan penguatkuasa harus dipulihkan agar rakyat yakin dan boleh menjadikan mereka sandaran keamanan dan keselamatan secara adil dan bebas. Fenomena yang berkuasa sentiasa benar harus dilupuskan dari fikiran penjawat awam. Kita harus dididik untuk memahami bahawa yang benar di mata hukum harus tidak memilih bulu. Hanya dengan ini undang-undang akan dihormati dan perlembagaan akan dilihat tinggi. Dengan integriti ini, rakyat dapat melihat dengan lebih jelas hala tuju negara dengan rasa selamat di mana pendakwaan tidak memilih bulu. Hilangnya rasa percaya rakyat kepada sistem adalah jauh lebih parah dari hilangnya rasa percaya kepada pemimpin.

3) Ekonomi

Sudah tentu sukar untuk mengatakan ini, ia mencakupi ruang yang cukup luas dari persoalan dasar, integriti dan kebijaksanaan berurusan. Pokoknya, kuasa membeli rakyat mesti ditingkatkan dan peluang kerja mesti dibanyakkan. Ini adalah bentuk ekonomi pasaran bebas di mana hak pemilikan harta dan peluang berniaga dapat diluaskan pasarannya. Kita tidak boleh selamanya mengukuhkan pandangan dan sikap rakyat kepada subsidi dan kebajikan. Ia perlu hanya untuk mereka yang memerlukan, bukan jadi alat untuk menjana kekayaan bagi mereka yang berkemampuan. Dasar yang praktikal harus mengambil kira keperluan ini. Tender terbuka akan menggalakkan persaingan, justeru kualiti dapat ditingkatkan dengan harga patut. Rakyat tidak akan terbeban dengan kos yang bersandarkan harga tidak patut dan juga lebihan pemilikan harta akan meningkatkan kuasa membeli. Taks kerajaan harus serendah mungkin akan pasaran dapat bergerak dengan lebih lancar tanpa mengenakan bayaran tidak patut kepada pembeli, justeru harga barang dapat dikurangkan, pembeli dengan lebih pemilikan harta dapat membeli dengan lebih banyak juga menyimpan dengan lebih banyak. Teori bahawa pasaran menindas tidak selamanya betul. Beras Amerika akan lebih murah jika dipasarkan di sini, berbeza dengan hasil padi di Kedah yang tidak produktif tetapi harganya cukup tinggi. Kita tidak berniat menyebabkan Kedah hilang pasaran Padi, tapi persaingan akan membantu produktiviti dan mengurangkan birokrasi yang menyebabkan ketirisan yang akhirnya membebankan rakyat. Idea libertarian ini seharusnya dipertimbangkan semasak-masaknya.

4) Kurangkan campur tangan kerajaan untuk perkara tidak perlu

Masyarakat Madani adalah jelmaan kuasa rakyat di mana kebergantungan rakyat dapat digerakkan tanpa mengharapkan sepenuhnya kepada kuasa politik. Mengharap kepada kuasa politik hanya pemindahan lebihan kuasa kepada mereka. Kita rakyat seharusnya mengambil semula sebahagian kuasa yang tidak perlu ini untuk kita bebas menentukan apa yang patut kita sebagai masyarakat lakukan. Misalnya, dewan orang ramai harus diuruskan oleh masyarakat - bukan parti yang berkuasa! Parti yang berkuasa boleh turut sama dengan masyarakat menguruskannya dan ini akan menggalakkan hubungan yang sihat tanpa intimidasi parti secara berlebihan. Parti mana pun boleh menggunakan dewan orang ramai untuk program mereka dan rakyat mana pun bebas untuk hadir. Ini hanya contoh bagaimana kuasa rakyat dapat dijelmakan. Tetapi rakyat harus mengelak semua urusan ini secara primer diuruskan oleh kuasa negara, negeri atau parti politik.

Ada lagi, mungkin kalian dapat berkongsi...

3 comments:

  1. salam..

    sahabat..sy sokong anda punya keebasan bersuara dan melontarkan pandangan..
    tp saya ingin minta saudara berhati2 dgn fahaman libertian, kebanyakan tidak selari dgn agama kita..fahaman liberal tak akan menyelamatkan kita..tolak libertian. anda hanya perlu memilih keadilan. saya memg tidak punya hujah, tetapi saya pernah terbaca dalil2 yg menolak fahaman liberalisme..memg dr luaran nmpk selari dgn islam, tp byk yg jauh menyimpang dr konsep islam..konsep ekonomi misalnya, pasaran bebas bukanla carea pentadbiran ekonomi islam yg sebenarnya. dlm isu kesaksamaan gender, islam tidak mengiktiraf lelaki sama dgn wanita. tp islam iktiraf hak kedua2 nya. keadilan dlm fahaman barat ialah hak asasi manusia, kesaksamaan gender dan segala mcm kebebasan...tp dlm islam, keadilan ialah meletakkan sesuatu di tempatnya. ambil cnth mudah, songkok atau topi, letaknya di atas kepala, jika kita letak songkok/topi di lutut, kita telah menzaliminya.. saya harap sgt2 saudara dpt menerima teguran ini..saa pn berhasrat bertanya lebih lanjut kpd ilmuwan agama yg neutral tntg perkara ini..
    ,aaf jika terkasar bahasa.

    ReplyDelete
  2. Sdr Roti,

    Apabila menolak sesuatu sudut pandang, maka kita ikut bagaimana setiap kali al-Quran menolak sesuatu sudut pandang, maka dalam ayat yang sama Allah akan mengemukakan rational mengapa sudut pandang itu tertolak.

    Saya menolak gaya fikir tuan yang menggesa supaya kita menolak faham libertarian disebabkan tuan tidak mengemukakan bukti-bukti bagi meyakinkan saya.

    Kemukakan bukti-bukti spesifik atas dakwaan tuan bahawa faham libertarian "kebanyakan tidak selari dgn agama kita..fahaman liberal tak akan menyelamatkan kita.."

    Saya belum faham apa itu yang dikatakan faham libertarian. Saya tidak dapat menolak sesuatu yang saya belum faham. Saya telah google dan membaca dalam wiki, tetapi apa yang dituliskan dalam wiki tidak dapat saya terima sebagai 'the whole truth'.

    Disebabkan tuan sudah menolaknya, maka dapatlah saya simpulkan bahawa tuan amat memahaminya.

    Mohon tuan berikan saya pencerahan tentang apa sebenarnya faham libertarian itu supaya saya dapat menolaknya, dan terangkan dengan spesifik pada bahagian-bahagian mana faham itu "kebanyakan tidak selari dgn agama kita..fahaman liberal tak akan menyelamatkan kita.."

    Mudah-mudahan, saya dapat menolak sesuatu yang saya fahami.

    ReplyDelete
  3. Saya fikir Roti ada kekeliruan dan nampak cuba mencampur adukkan liberalisme dan libertarian. Di Amerika aliran liberal cenderung kiri sedangkan libertarian adalah kanan.

    Untuk saya tidak timbul saya menolak Islam dengan mengambil sudut pandang libertarian. Sebahagian dari kita cenderung kepada negara kebajikan yang merupakan idea dalam pemikiran sosialis, maka hilangkah keislaman mereka dengan itu?

    Saya mahu mengajak kita menjadi rasional. Memerintah negara bukan soal sentimen. Saya jemput kalian ke waubebas.org untuk meneliti beberapa sudut pandang di sana.

    ReplyDelete