Monday, August 18, 2008

Universiti dan AUKU

Aku agak bersetuju dengan kenyataan diplomatik Tun Dr Mahathir berkaitan AUKU. Meski dalam konteks sejarah, agak sukar kita melihat kenyataan Tun sebagai kenyataan yang jujur, inti dari ucapan Tun tidak harus dikesampingkan - bahawa mahasiswa tidak harus menjadikan tiket kebebasan dari AUKU untuk mengabaikan kualiti ilmu yang perlu dihadam.

Dan untuk hal ini, aku juga mengambil pendirian untuk berbeza pendapat dengan Tun iaitu aku percaya bahawa mahasiswa harus dibenarkan untuk hadir dalam rapat umum termasuk protes aman terhadap pelbagai isu. Hanya saja aku percaya kerja yang lebih harus digiatkan di kampus ialah menjana kematangan mahasiswa melalui kekerapan wacana yang serius dan wujudnya ruang yang bebas untuk itu. Lebih elok jika mahasiswa sendiri menjadi jurucakap dalam wacana-wacana ini, dan bagus jika digandingkan untuk mahasiswa beradu pendapat dengan pensyarah. Hanya saja jika pensyarah tidak mencintai kebebasan sebagai jalan lurus mendapat ilmu yang masak ranum, maka mahasiswa akan terpasung oleh mereka yang cemburu dengan kebijaksanaan.

Bicara apa saja, tidak ada yang terlalu sensitif untuk dibicarakan kerana lambat laun kebebasan ini akan mengajar kematangan mahasiswa untuk memilih keutamaan wacana. Mengongkong kebebasan wacana sebenarnya membunuh kematangan, bukan menidakkan ketidakmatangan. Seperti mana pesan lalu, kegelapan tidak boleh dihalau...nyalakan lampu!

Aku yakin mahasiswa akan belajar berpijak di bumi yang nyata. Dalam mengakui kekurangan mahasiswa, tidaklah salah mahasiswa mencabar kerana proses itu akan membantu mereka menyusun semula faham dan pengetahuan serta melihat semula bagaimana idealisme yang diperjuangkan dapat direalisasikan.

Protes AUKU baru-baru ini aku lihat dengan perspektif yang skeptikal. Apa wajarnya mahasiswa menuntut AUKU digantikan dengan akta yang lain? Aku tidak tahu sama ada kehebatan universiti luar negara yang anak-anak menteri berebut memasukinya serta korporat-korporat kita jenuh menajanya itu ada akta berupa AUKU atau sebagainya?

Kita cukup undang-undang untuk mengawal kebebasan tanpa tanggungjawab, tetapi kita kurang penguasa dan masyarakat sivil yang tahu dan mahu melaksanakan kedaulatan undang-undang di samping memperjuangkan hak yang adil untuk semua.

2 comments:

  1. Tuan Amin yang dihormati,

    Betulkah pendapat saya ini, bahawa kesalahan yang dilakukan apabila kita mengatakan sesuatu yang salah tentang agama adalah dosa peribadi.

    Semasa Nabi Muhammad masih hidup dahulu, apa yang tidak dikatakan kepada beliau oleh individu -individu yang menentang beliau dan ajaran-ajaran beliau.

    Apabila musuh-musuh beliau mengkritik agama beliau, beliau tidak pula menggubal dan menggunakan 'akta' bagi menyekat kebebasan musuh-musuh beliau daripada terus bersuara.

    Dalam suatu peristiwa, musuh beliau membacakan puisi yang mengkritik agama beliau, lalu beliau meminta seorang penyair supaya membacakan puisi bagi menjawab puisi musuh beliau itu.

    Jadi, kita ikutlah cara Nabi Muhammad itu. Apabila ada orang menulis buku-buku yang mengkritik agama kita, respon yang betul adalah supaya penulis-penulis kita menulis buku bagi menjawab kritikan itu.

    Mari kita menulis buku!

    ReplyDelete
  2. Puan Ainon, Sifu yang dihormati.

    Ya, malah dalam teks rujukan kita - Al-Quran jelas menegaskan bahawa dosa individu tidak ditanggung oleh individu yang lain. Untuk saya, perlakuan Rasulullah s.a.w. tidak lebih dari penegasan terhadap teks ini. Rasulullah s.a.w. bukan saja dihina, tetapi batang tubuhnya juga disakiti. Belum saya temui Rasulullah s.a.w. mengambil reaksi balas yang lebih keras melainkan ada sahabat r.a. yang mahu membalas tetapi dihalang oleh Baginda s.a.w..

    Saya fikir misi dakwah Baginda s.a.w. lebih dari misi 'mahu mengawal umat dari pelbagai perlakuan'. Sebab itu dengan menyalakan lampu, insyaAllah jiwa akan bebas dalam mengamalkan konsep hamba Allah s.w.t.. Dan ini adalah aspek libertarian dalam pengalaman sejarah Baginda s.a.w..

    Saya berhajat untuk bersama Puan menganjurkan bengkel penulisan untuk anak muda, agar anak muda lebih bersedia dan mampu menampilkan hujah mapan terhadap pelbagai isu dan gaya berfikir. Anak muda ini sudah semestinya termasuk saya. Jika Puan berminat, bolehlah saya usahakan, saya percaya ada saja YB yang berminat untuk menyediakan ruang kepada kita.

    ReplyDelete