Kasih 1
Aminah sudah hamil. Seperti wanita lain umumnya dia pun bersalin. Selesai bersalin, dikirimnya berita kepada Abdul Mutalib di Kaabah. Abdul Mutaliblah tempat mengadu setelah Abdullah suaminya meninggal di Madinah selepas sakit di tempat kediaman saudara sebelah ibunya.
Harith, abangnya telah diutus Abdul Mutalib untuk melihat keadaan Abdullah tetapi sayang beliau telah meninggal dan dikebumikan di sana. Sebelum itu Abdullah telah ke Syria dan Gaza untuk berdagang.
Abdul Mutalib sangat gembira mendapat khabar cucunya seorang lelaki, lantas ia teringatkan Abdullah. Bayi ini diangkat ke Kaabah dan diberi nama Muhammad, nama yang tidak umum di kalangan orang Arab tetapi cukup dikenal. Sebagaimana adat bangsawan Arab, mereka menanti siapakah dari keluarga Saad yang akan menyusukan bayi ini.
Ada perbezaan pendapat tentang tahun kelahiran Muhammad. Sebahagian besar mengatakan ianya pada tahun Gajah (570 Masehi). Ibnu Abbas menyatakan ia dilahirkan 15 tahun sebelum tahun Gajah. Ada yang mengatakan selepas, malah ada yang berkata sebelum hingga 30 dan 70 tahun!
Begitu juga dengan bulan kelahirannya. Sebahagian besar mengatakan Rabiulawal. Ada yang mengatakan Muharam, ada Rejab dan ada Safar malah Ramadhan. Malah hari juga, ada yang mengatakan malam kedua Rabiulawal, ada lapan dan ada sembilan. Pendapat Ibnu Ishak dan lain umumnya mengatakan 12 Rabiulawal. Waktu siang dan malam juga ada perbezaan.
Pada hari ketujuh kelahiran Muhammad, Abdul Mutalib menyembelih unta dan menjamu masyarakat Quraisy. Setelah mengetahui namanya Muhammad, mereka tertanya kenapa ia tidak diberi nama nenek moyang? Abdul Mutalib menjawab "Kuinginkan dia menjadi orang yang terpuji bagi Tuhan di langit dan bagi makhluk-Nya di bumi".
Kasih 2
Subuh itu Muhammad s.a.w. ke masjid ditopang Saidina Ali k.w. r.a. dan Fadzl bin al-Abbas. Abu Bakar r.a. sedang memimpin solat sebagaimana diperintah Rasulullah s.a.w.. Hatta saat Abu Bakar r.a. tidak ada di tempatnya selepas Bilal r.a. melaungkan azan, lalu sahabat memilih Umar r.a., bertanya Rasulullah s.a.w. "Mana Abu Bakar? Allah s.w.t. dan kaum muslimin tidak mengkehendaki yang demikian".
Berita saat akhir Rasulullah s.a.w. hidup diketahui Fatimah r.anha dari bisik Rasulullah s.a.w. kepadanya. Dia menangis dan ketawa. Saat ditanya, tangisnya kerana diketahui sakit ini akan membawa Rasulullah s.a.w. menghadap Allah s.w.t. dan tawanya kerana dialah yang pertama akan mengirinya Rasulullah s.a.w.. 7 dinar terakhir milik Muhammad s.a.w. disedekahkan kepada fakir miskin sebagaimana kehendaknya.
Saat Baginda s.a.w. masuk ke masjid, muslimin gembira dan hampir terpengaruh dalam solat mereka. Hanya saja Rasulullah s.a.w. memberikan syarat untuk mereka terus bersolat dan Baginda s.a.w. sendiri bersolat di sebelah kanan Abu Bakar r.a.. "Pimpin terus orang bersolat" kata Rasulullah s.a.w. kepada Abu Bakar r.a..
Usai solat Baginda s.a.w. berkata "Saudara-saudara. Api (neraka) sudah bertiup. Fitnah pun datang seperti malam gelap gelita. Demi Allah, jangan sekali kamu berlindung kepadaku terhadap suatu apa pun. Demi Allah, aku tidak akan menghalalkan sesuatu, kecuali yang dihalalkan oleh Quran; aku juga tidak mengharamkan sesuatu kecuali yang diharamkan oleh Quran. Laknat Tuhan kepada golongan yang menggunakan perkuburan mereka sebagai masjid".
Kaum muslimin merasa gembira kerana Rasulullah s.a.w. kelihatan sihat. Usama bin Zaid meminta izin Baginda s.a.w. untuk terus membawa pasukannya ke Syam dan Abu Bakar r.a. juga diizinkan memenuhi bahagian Bint Kharija di Sunh, luar kota Madinah - tempat tinggal isterinya.
Dalam hal Rasulullah s.a.w. menghadapi sakaratul maut, ada sumber berbeza-beza. Selain dari kisah bisik akhir "ummati, ummati, ummati...", ada sumber mengkisahkan bahawa ia berlaku pada musim panas semenanjung itu - 8 Jun 632. Rasulullah s.a.w. meminta disediakan sebuah bejana besi berisi air dingin dan digunakan airnya untuk mengusap wajah. Pada waktu itu ada seorang lelaki dari keluarga Abu Bakar r.a. datang membawa siwak dan Nabi s.a.w. mengisyaratkan keinginannya. Aisyah r.anha mendapatkan siwak tersebut, mengunyah hingga lumut hujungnya (siapa pernah guna siwak tahu la kot?) dan diberi kepada Rasulullah s.a.w.. Kemudian Baginda s.a.w. menggunakannya sementara ia sedang dalam sakaratul maut. Lalu ia menghadapkan diri kepada Allah s.w.t. dan berdoa "Allhumma Ya Allah, tolonglah aku dalam sakaratul maut ini".
Aisyah r.anha waktu itu memangku kepala Rasulullah s.a.w. berkata "Terasa olehku Rasulullah s.a.w. sudah memberat di pangkuanku. Kuperhatikan air mukanya, ternyata pandangannya menatap ke atas seraya berkata "Ya Handai Tertinggi dari syurga".
Kataku, "Engkau telah dipilih maka engkau pun telah memilih. Demi yang mengutuskanmu dengan kebenaran". Maka Rasulullah s.a.w. pulang saat bersandar pada dada dan leher Aisyah r.anha.
Sementara itu di luar sana untuk beberapa waktu kecoh kerana ramai yang tidak percaya akan kewafatan Rasulullah s.a.w.. Lalu terungkap kata-kata mahsyur Saidina Abu Bakar r.a. sebagaimana dipetik dari Al-Quran, mukjizat unggul "Saudara-saudara, barangsiapa menyembah Muhammad, Muhammad sudah meninggal. Tetapi barangsiapa mahu menyembah Tuhan, Tuhan hidup selalu tidak pernah mati".
"Muhammad hanyalah seorang Rasul. Sebelum dia telah banyak Rasul yang diturunkan. Apabila dia mati atau terbunuh, apakah kamu akan berbalik ke belakang? Barangsiapa mahu berbalik ke belakang, ia tidak akan merugikan Tuhan walau sedikit pun. Dan Tuhan akan memberikan balasan kepada mereka yang bersyukur".
Maha Suci Tuhan, selalulah kita berselawat saat mendengar nama Muhammad s.a.w..
Monday, March 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Salam ziarah,,sebuah blog yang menarik,,,jemput ziarah ke blog saya untuk tujuan muzakarah dan sila add blog saya sebagai rakan blog anda...Jazakallahkhair....
ReplyDeleteamin. kau rupanya. ingat aku lagi? KOB A014. :)
ReplyDeleteAishah. Sabtu lepas aku, adi dan ari gi kenduri aje di Kluang.