Tuesday, March 25, 2008

AUKU akan dipinda?

Tadi balik dari kuliah, sempat menjengok poll TV3 tentang pemansuhan AUKU. Tak sempat pula tengok keputusannya. Bukan apa, entah signifikan atau tidak.

Aku tak tahu keikhlasan kerajaan BN untuk membuat pindaan AUKU ni kerana telah sekian lama gesaan ini dibuat, dan tidak ada seorang pun kecuali Dato' Zaid Ibrahim yang aku pernah dengar sendiri membuat kenyataan jelas tentang perlunya AUKU dipinda, atau pada tahap lain dimansuhkan sama sekali dengan mewujudkan bentuk undang-undang yang lebih sesuai.

Jawatankuasa yang diketuai Dato' Dr. Wan Zahid telah dibiayai menggunakan wang rakyat namun laporan mereka telah dibakul sampahkan! Dan tidak ada yang mahu mempersoalkannya dari corong suara BN.

Entah apa waktu ini sedang difikirkan para TNC dan pencacai Aspirasi di kampus (harap maklum bahawa ada juga rakan-rakan di kalangan Aspirasi yang lebih baik berbanding aktivis Pro-Mahasiswa dari kaca mata saya).

Petang tadi aku 'dijemput' 2 orang pensyarah untuk 'sembang-sembang politik'. Waktu itu sebenarnya aku sedang rancak 'membasuh' seorang mahasiswa yang macam putus asa menjadi seorang Melayu kerana negerinya Perak dikuasai DAP.

Di Kampus Hijau khabarnya NC mahu memberi sedikit kelonggaran berkaitan aktiviti mahasiswa manakala ada Timbalannya sedang memburu kerusi NC berikutan kenaikan Menteri Pengajian Tinggi yang baru dari 'kampung'nya! Haha, khabarnya TNC ni mengundi di Jeli tempoh hari walaupun kampung asalnya Johor!

Entahla, aku hanya berminat dengan proses demokrasi. Jika UMNO mahu kekal dengan politik Melayu sempit, PAS mahu Negara Islam, PKR mahu Masyarakat Madani, DAP mahu Malaysian Malaysia, atau apa juga parti mahu itu dan ini, yang penting bagi aku biarlah proses itu terbuka dan rakyat dapat mengikutinya sebagai seorang yang dihormati kemuliaan dirinya sebagai insan.

Seperti biasa kataku kepada pensyarah-pensyarah berkenaan, ruang bebas akan meminggirkan 'politik kedai kopi' (politik sembang deras bak kata orang Perlis). Akan tiba saatnya politik bebas memaksa orang ramai bergerak ke satu tingkat persaingan sihat di mana keupayaan daya fikir, daya saring dan penterjemahan tindakan mengangkat rakyat ke satu tahap kualiti bertaraf maju. Saat itu aku akan senyum - bahawa kemuliaan insan dan martabat ilmu akan dihormati selayaknya. Dan aku akan terus berjuang untuk itu.

No comments:

Post a Comment