Geert Wilders mungkin hanya satu lagi watak yang sama dengan wajah dan nama berlainan dalam siri kecaman terhadap pendekatan muslim berdasarkan ayat-ayat Al-Quran yang terdedah kepada interpretasi yang pelbagai. Reaksi umat diuji lagi dan anehnya kali ini aku melihat 'kemajuan' dalam politik UMNO untuk menyatakan bantahan terhadap filem pendek sekitar 17 minit ini.
Aku hanya melihat ini sebagai satu peluang untuk umat bersikap inklusif meskipun untuk aku generalisasi perlakuan umat sebagai menampakkan kebodohan dan kehodohan Wilders, malah pada tingkat yang lain menunjukkan kewibawaan Islam (atau muslim?).
Sebagai ahli politik, pendekatan Wilders ini mudah difahami. Ia hanya satu bentuk propaganda pengukuhan sambil memberi serangan paling tajam, mungkin untuk potensi pesaingnya. Realiti peningkatan jumlah umat Islam di Barat seharusnya dipandang Wilders sebagai satu persoalan penting - kenapa mereka memilih Islam? Kenapa tidak yang lain? Tindakan Wilders memburukkan imej Islam, untuk aku tidak menjadi bukti bahawa dia baik selaku alternatif (walaupun partinya berbunyi kebebasan!).
Sebenarnya kezaliman, kehuduhan dan segala bagai kesongsangan amalan 'Barat' dari seruan muluk mereka seperti keadilan, kebebasan dan sebagainya adalah satu faedah untuk umat Islam. Sebagaimana dalam konteks realiti politik Malaysia - 'busuk amalan' UMNO-BN yang diberi nama 'minyak wangi' telah memberi kelebihan kepada Barisan Rakyat.
Pokoknya, mesti ada penjernihan semula tafsir Islam yang mencerminkan semangat Islam. Sama seperti undang-undang, ia mempunya spirit and letter of the law.
Misalnya, dalam hadis Kullu maulud(in) yuladu ‘ala al-fitrah - setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah, kedua ibu bapanya lah yang menjadikan dia Yahudi ...(dan seterusnya).
Aku berpendapat jika hadis ini dirujuk silang dengan maksud ayat Al-Quran tentang Yahudi dan Nasrani selamanya tidak akan redha...(dan seterusnya), ia menunjukkan bahawa Allah s.w.t. tidak menamakan Yahudi (sebagai contoh) sebagai kaum, tetapi lebih kepada sikap. Kerana setiap bayi itu dilahirkan fitrah dan berpotensi menjadi Yahudi dan lain-lain. Dan kita tahu ada pergerakan Yahudi yang menentang pencerobohan hak di Palestin, malah sebahagian mereka menjadi mangsa, termasuk bukan Islam yang lain.
Geert pada satu tingkat memang salah, malah melampau. Tapi siapa dapat menafikan sebahagian contoh-contoh yang 'kelihatan ekstrim' sebagaimana yang ditunjukkannya? Bantahan kita harapnya jelas pada bahagian yang jelas serta jangan kita lupa bahawa pada tingkat lain, usaha harus digerakkan untuk memulihkan semula sikap inklusif dari kita untuk menawarkan kecantikan Islam kepada yang lain.
Kita jangan cepat rasa tertewas, malah mungkin kini tiba masanya untuk kita berbuat sesuatu bagi membersihkan interpretasi makna yang bercanggah dengan semangat teks Al-Quran yang harus dibaca.
Sesiapa juga harus jelas bahawa isu ini tidak harus membunuh kebebasan sebaliknya kita harus mendorong kebebasan yang bermakna. Membunuh kebebasan tidak akan sampai bila-bila memenangkan Islam, kerana iman yang sejahtera tidak memerlukan paksaan dan kongkongan.
Sunday, March 30, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment