Aku selalu inginkan penjelasan, jika bukan jawapan. Peristiwa ini bukan peristiwa baru. Malah sebahagian merayakan sebagai tanda kemenangan. Dan aku resah.
Kemenangan 'Barisan Rakyat' di kawasan-kawasan penting telah membawa banyak persoalan baru di samping hambatan 'kerja lama' yang harus diselesaikan. Rakyat sudah tentu tidak inginkan penindasan diganti dengan penindasan. Tidak ada rakyat yang mahu keluar dari mulut buaya untuk masuk ke mulut singa!
Baru-baru ini kita dengar Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang baru mahu meneruskan agenda 'Setinggan Sifar' dan mengenakan cukai levi kepada pekerja asing (persoalan levi ini memerlukan perhatian terhadap aspek undang-undang berkaitan bidang kuasa dan kemampuan perlaksanaannya). Tidak menunggu lebih lama, maklum balas muncul dari corong kelompok yang dekat dengan perspektif Sosialis (jangan lekas gerun dengan istilah ya!). JERIT (Jaringan Rakyat Tertindas), Dr. Nasir selaku Ahli Parlimen Kota Damansara, SUARAM dan sebagainya tegas menentang agenda ini (perlu diingat mereka adalah jaringan kerjasama menentang Barisan Nasional!).
Dari peristiwa ini sebenarnya ada beberapa perkara menarik. Bagi yang tidak mengerti persoalan masyarakat sivil, peristiwa ini mungkin jadi resah yang panjang. Begitu juga yang culas dengan pendekatan ekonomi liberal.
Ada tanda tanya besar, mendasar dan penting untuk diperhatikan Barisan Rakyat. Buat masa ini jujurnya aku tidak pernah terfikir PAS akan ikut serta menawarkan pandangan ekonomi mereka. Negeri Kebajikan sebagai tema PAS bunyinya menangkap minat pendokong idea ekonomi Sosialis. Dan itu yang diwar-warkan sekuatnya seorang kenalan JIM saat kami terserempak di sebuah restoran baru-baru ini. Nada over confident bahawa ekonomi Islam sangat mirip dengan Sosialis disambut senyum panjang oleh aku. Perkataan liberal mungkin telah haram dari kamus penentangnya, lalu mereka mahu juga bercakap dan 'menunjuk pandai' dan memilih perspektif yang sempit (sambil mendakwa merekalah juara rujuk silang, walaupun penulisan bersifat copy-paste!).
Kita, yang tidak mahu jadi politikus (sekurang-kurangnya untuk aku buat masa ini), harus sedar bahawa jalan yang kita pilih tidak seharusnya menguatkan struktur kuasa parti atau pemimpin. Dan inilah cabaran sebenar bagi rakyat. Adakah kita benar-benar bersedia mahu menjadi tenaga pendesak berbentuk masyarakat sivil?
Mari kita lihat dilema dalam sejarah.
Dalam satu peristiwa sejarah menentang seorang diktator yang zalim - kita namakan Z (ada diktator yang baik? mungkin Astora Jabat lebih tahu!), beberapa parti katakan parti A, parti B, parti C dan parti D telah bergabung dengan badan-badan NGO untuk mobilisasi rakyat menentang diktator Z. Hasilnya, dengan restu Allah s.w.t., tumbanglah sebuah kerajaan zalim yang dipimpin diktator Z.
Malangnya selepas itu parti A telah bergerak membolot kuasa penuh dalam pemerintahan. Pemimpin spiritualnya telah membunuh sebahagian pemimpin spiritual lain yang menentang keputusannya hingga seolah-olah orang hanya mengenal seorang sahaja pemimpin spiritual yang wujud. Semua penentangnya sama ada dipenjara atau dibunuh walaupun mereka adalah sebahagian besarnya bekerjasama dalam proses menjatuhkan diktator Z.
Peristiwa ini pernah berlaku di Iran dan tidak pernah lagi kita mendengar pendokong-pendokong 'kental' si pemimpin spiritual zalim tersebut mahu mengatakan tindakannya BATIL!
Malah dari masa ke masa kian lantang menjadi ayam yang kuat berkokok sambil ekor bergelumang tahi!
Dari peristiwa ini sebenarnya ada satu hambatan penting untuk difikirkan kita sebagai rakyat terutamanya mereka yang berada dalam lingkaran kuasa parti. Sejauh mana kesediaan kita mewujudkan mekanisme semak dan imbang yang nyata, jauh mengatasi damage control dalam parti. Ada dakwaan bahawa parti-parti politik mempunyai mekanisme tersendiri untuk proses kritik, supaya kelemahan parti dapat dibetulkan tanpa merosakkannya. Dari satu sudut nampak logik, tapi bagaimana pula untuk kelemahan yang melibatkan kepentingan rakyat seperti kes rasuah? Dan ini pengalaman UMNO-BN, bahawa mekanisme penentangan itu ada, tetapi dibuat dalam bentuk yang tidak merosakkan kepentingan UMNO-BN untuk terus berkuasa (dan kita tahu penentangan ini nampak lebih tidak ada dari ada!).
Bagaimana? Nampak hari ini proses ketegangan dalam UMNO-BN pula lebih demokratik berbanding Barisan Rakyat.
Kita sebagai masyarakat sivil (jika boleh dipanggil begitu) bagaimana pula? Sediakah kita dalam konflik yang mungkin wujud menjadi seorang hakim yang bercirikan neutral dalam proses pengadilan, dipercayai oleh pihak-pihak berkonflik dan mempunyai autoriti dalam membuat keputusan?
Nampaknya kerja kita kian runcing - sedar atau tidak. Memusatkan persoalan politik untuk diselesaikan politikus semata-mata hanya mengundang diktator baru dalam negara!
Sunday, March 30, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Salam Saudara Amin
ReplyDeleteSebenarnya ana juga membaca dan mendengar beberapa perkembangan tentang usul ini. Cuma minta penjelasan di antara perbezaan konsep ekonomi Islam dan sosiolis.
Dr Nasir itu Adun ana. Tulisan yang kritikal dan membina budaya fikir namun ana kurang nampak kesinambungan kepada beberapa persoalan yang diutarakan. Seolahnya kurang digarap isu yang sangat baik tersebut dengan baik. Namun sungguh tulisan-tulisan saudara memang membina minda!
Salam sdr Alqasam,
ReplyDeleteTerima kasih kerana singgah. Pandangan ringkas saya begini.
Sebenarnya bila kita bercakap persoalan Islam, kita tidak boleh memutuskan hubungan dengan persoalan wujudnya Allah s.w.t. dan tindakan serta sikap kita harus didorong oleh rasa berTuhankan Allah s.w.t. dan bukan sekadar simpati umum.
Sebagaimana kes setinggan, sudah tentu seruan setinggan sifar itu boleh memugar rasa simpati akan nasib mereka dari kalangan ramai, tapi pendekatan untuk menampung simpati itu mungkin berbeza. Ramai yang melihat ekonomi liberal sebagai ekonomi kapitalis yang menindas sedangkan jika kita benar-benar memahami tujuannya, saya tidak fikir begitu. Malah jangan terkejut bahawa pendekatan ekonomi yang mana pun terdedah kepada sikap manusia untuk menjadikannya zalim atau tidak. Sebagaimana zakat di Malaysia, kita sewajarnya bertanya kenapa lebihan zakat di Selangor tidak boleh diagihkan kepada negeri yang perlu?
Persoalan konsep-konsep ini akan jadi terlalu panjang tapi bagus untuk kita tekuni. InsyaAllah saya akan sentuh dari masa ke masa.