"Assalamu'alaikum" kami seolah serentak mengatakannya.
Dua hari lepas Pak Khalid hubungi aku, katanya mahu bersua. Petang kelmarin, seperti dijanjikan, aku hadir untuk sembang santai dengan Pak Khalid sambil menanti mula Siri Forum Intelektual yang terkini MEGC - Dr Alinor Kadir, Setiausaha ASASI membentang tajuk "Menggali Kepengetahuan Melayu Pra Islam". Di sebelah dewan kecil kami, Majlis Belia Malaysia mengadakan Sidang Meja Bulat Arah Tuju Pengundi Muda PRU-12.
Dari bual santai soal uniknya PRU-12, Pak Khalid meneruskan sebab sebenar pertemuan kami. Pak Khalid mahu aku mengambil posisi YB Amir Sari di Institut Kajian Dasar (IKD, tapi kawan-kawan di Telawi suka menyebut Ikade, hehe). Dalam tempoh meyakinkan aku, kami banyak berkongsi pandangan berkaitan peranan IKD untuk menggerakkan Program Pencerahan 2008 di Selangor. IKD tempat minat politik aku diasuh, tempat aku mengimbangi idealisme muda aku dan tempat berpijak di bumi nyata. Pak Khalid beri masa untuk aku jawab tapi SEGERA (atau dibuka untuk yang berminat) kerana dia akan ke luar negara atas jemputan pelbagai pihak - kerja-kerja intelektual yang menyebabkan Pak Khalid istimewa di sisi Anwar Ibrahim.
Jauh di sudut hati aku mahu bersama IKD dan aku cukup yakin pengalaman dan pengetahuan aku cukup bersedia untuk posisi tersebut. Entah apakah ini memang dirancang atau kebetulan. Sejak 2004 memang YB Amir Sari pernah memberi kiasan agar aku bersedia untuk mengambil posisi itu.
Tapi akhirnya aku terpaksa membuat keputusan untuk MENOLAK buat masa ini dan bukan selamanya. Circle Reformasi 1998 di 'Republic Bangsar' kini bertebaran di merata tempat dan masing-masing masih kekal dengan gaya dulu tapi bernafas baru. Harapnya perpindahan IKD ke Bukit Beruntung tidak selamanya menjarakkan hubungan aku dengan IKD.
Amir kini sudah jadi YB muda. Walaupun tidak banyak masa dapat diluangkan bersama, tekad Amir sejak kampus sangat aku puji. Kami bukanlah kelompok anak orang kaya, tapi kami cukup optimis untuk memperkasa diri dan meneroka potensi. Walaupun aku boleh membina nama sejak diangkat sebagai pimpinan kampus, aku tidak fikir itu jalan pintas. Meski Amir pernah tewas dalam PR Kampus, aku jadi saksi bahawa Amir orang yang layak di pentas Wakil Rakyat.
Keputusan menolak pelawaan Pak Khalid sudah pasti satu kerugian amat untuk siapa yang benar-benar mengenali Pak Khalid, sekurang-kurangnya ikut sama bergelut di medan kegemarannya - pemikiran dan falsafah.
Datang dan pergi adalah lumrah hidup. Pilihan aku mungkin salah dan terus salah...Hidup perlukan Optimisme..Untuk Amir dan kawan-kawan lain, ini adalah masanya membina masyarakat Malaysia yang baru. Doa aku untuk kalian. InsyaAllah aku akan terus membantu.
Friday, March 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment