Monday, March 17, 2008

Kualiti Kepimpinan

Sekarang adalah tempoh untuk 'cool down' hal-hal PRU-12. Maka, untuk tidak berlaku drastik, kita mula secara perlahan. Posting ini masih berkait dengan PRU-12, cuma 'bebannya' mungkin tidak ada nilai emosi kepartian. Kita (harus) belajar banyak perkara dari persoalan PRU-12 ini.

Sebetulnya apakah kualiti kepimpinan yang kita mahukan?

Selama ini kita melaungkan Negara Islam, Hak Ketuanan Melayu, Demokrasi, Hak Sama Rata dan macam-macam lagi jargon yang mudah dimanipulasi. Di Malaysia, meski ada sisa, politik ideologi mungkin telah merosot selepas kejatuhan Russia.

Bila kita bercakap soal kepimpinan sebagai peranan, melebihi persoalan hak, adakah kita benar-benar bersedia untuk melepaskan apa yang kita dakwa sebagai hak kita atas maksud hak bersama?

Tidak ada yang mahukan ahli politik yang lemah - tiada komitmen, rendah moral dan sebagainya. Tapi bagaimana kita mahu memastikan semua ini? Dari ceramah politik? Dari cakap-cakap ramai? Budaya popular dalam politik Malaysia lebih kurang budaya popular dalam soal seni sastera dan hiburan. Maka, sekali lagi, benarkah kita bersedia untuk wajah Malaysia Baru?

Sebab itu aku optimis dengan proses dan kita harus jelas bahawa yang kita bicarakan dalam politik ialah persoalan sistem, bukan sekadar pemimpin. Sistem yang baik akan sentiasa membantu proses yang sihat. Dan jangan lupa bahawa sistem tidak bergerak sendiri melainkan digerakkan oleh manusia. Sebab itu bicara politik tidak terlepas dari mengkritik pemimpin. Kita, dalam ribut berkehendakkan Negara Islam, hak sama rata, demokrasi dan sebagainya harus sedia menggalas tugas ini.

Jangan kita hanya tahu bersorak saja! Action speaks louder than words!

* Tulisan ini adalah peringatan untuk diri aku dan teman-teman yang optimis dengan masa depan Malaysia yang lebih baik dan dirasai rakyatnya.

No comments:

Post a Comment