Thursday, March 27, 2008

Demokrasi dan Individualisme

Telah menjadi persepsi yang menakutkan terutama di kalangan pendokong dakwah Islam bahawa idea liberalisme membawa pendekatan paling mendasar dan dipandang bertentangan dengan semangat kerja jemaah yang dipupuk oleh gerakan dakwah Islam iaitu kebebasan individu.

Dalam perbualan pendek (mungkin sesi suai kenal lebih tepat) aku dengan sdr. Wan Saiful beberapa bulan lepas, telah aku jelaskan kepadanya jenis ketakutan ini - individualisme. Aku kira pandangan Wan Saiful cukup kuat sebagai asas (dan aku cuba mengupas lanjut dalam jawapan asas moral liberalisme sebagai menjawab komentar sahabat, sdr. Aqil Fithri Dan mungkin ia tepat juga dengan pandangan Fathi Aris bahawa masalah 'usrah' ialah usaha mengepung minda dan bukan mencerahkan.

Persepsi berlebihan bahawa individualisme itu sesuatu yang tidak ada langsung sisi positifnya ditolak oleh aku. Dalam konteks masyarakat demokrasi yang sihat, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk setiap individu mengenengahkan cita-cita peribadi. Prosesnya lebih sukar dan sebahagiannya telah dirasakan pasca PRU-12. Oleh kerana kita tidak terbiasa, maka ia mungkin sukar, ditambah beberapa bahagian undang-undang yang mungkin perlu dinilai semula.

Aku percaya demokrasi akan berkembang baik bila setiap individu mahu bekerja keras untuk mendapatkan kebebasan bagi mereka menyertai proses hidup bernegara. Masa balik mengundi tempoh hari, aku dan Anam hampir pelik kerana perjuangan mendapatkan kebebasan dan hak sama rata ini seolah-olah satu cabaran yang dilihat anti-Islam dan anti-Melayu di Malaysia. Dalam perkembangan terkini, kertas kerja Dato' Dr. Ahmad Zahid Hamidi (baru lulus PhD UPM juga!) berkaitan Minda Kelas Pertama dari Perspektif Politik juga terlalu sarat dengan hasutan sejarah.

Hampir tenggelam persoalan asas bahawa penyertaan rakyat dalam proses hidup bernegara adalah sangat penting untuk memastikan wakil rakyat mereka mendapat maklumat sebenar (bukan nasihat yang salah!) dari akar umbi dan mereka lupa bahawa wakil rakyat memegang amanah untuk diketengahkan dalam Dewan Rakyat melalui konsensus dasar dan kehendak rakyat.

Aku kekal percaya bahawa sebagai rakyat, aku harus menikmati kebebasan individu dan aku wajar dinilai melalui keupayaan aku - dengan indikator yang adil, dan aku juga harus berkongsi tanggungjawab bersama setiap individu lain untuk membina masa depan yang lebih baik melalui nilai asas kebebasan dan self government.

No comments:

Post a Comment